Laman Sumbangan

 

 

 

 

 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

PERAYAAN DI MALAYSIA

(Dari tulisan Yosri bin Mohamad Yong)

Dipersembahkan semula oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Barangsiapa meninggal dunia sedangkan ia meyakini bahawa tiada Tuhan selain Allah, maka ia masuk syurga."

(H.R. Muslim)

 

 

 
 

Hari Raya Korban Aidil Adha

Hari Raya Korban Aidil Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, yang merupakan rukun Islam kelima yang terakhir bagi mereka yang mampu, dan menandakan bermulanya ibadat korban untuk dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin. 

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. 

Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidil Fitri.  Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka. 

Hari Raya Puasa Aidil Fitri

Hari Raya Puasa merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan di mana umat Islam akan berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Hari Raya Puasa bermula apabila anak bulan kelihatan, menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke sepuluh dalam kalender Hijrah Islam. Anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik di Malaysia.

Perayaan Hari Raya Puasa bermula sebaik sahaja anak bulan disahkan kelihatan oleh pemegang Mohor Besar Diraja, dimana takbir akan bergema di masjid-masjid menandakan mulanya perayaan Hari Raya Puasa. Pada keesokkan harinya, pada awal sebelah pagi, sesetengah orang akan pergi membersihkan perkuburan orang yang disayangi dan berdoa agar roh mereka dirahmati Allah. Sembahyang sunat Hari Raya Puasa sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi antara sesama mereka. 

Hari Chap Goh Mei

Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina. Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upucara sembahyang secara besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi  meraikan Chap Goh Mei. 

Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk. Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai. Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, dan mengimbang bendera besar "Chingay".

Hari Ahad Easter 

Kepercayaan "Doktrine" Nasrani mempercayai bahawa Jesus Christ telah dihidupkan kembali "dibangkitkan" pada hari Ahad. Sebelum perayaan Easter, Minggu Suci "Holy Week" disambut oleh pengikut ugama Nasarani. Minggu Suci bermula dengan Ahad Palm "Palm Sunday" dimana setiap pengikut nasarani diberikan daun palma yang dijampi "blessed" pada perhimpunan hari Ahad. Ini diikuti dengan Khamis Maundy sempena peristiwa apabila Jesus Christ dipercayai makan malam terakhir bersama-sama pengikutnya sebelum dikhianati.

Jesus dikatakan dikhianat dan ditangkap di Gethsemane ketika dia pergi berdoa selepas Makan Terakhir "Last Supper". Pada pagi Jumaat yang dikenali sebagai Jumaat Bagus "Good Friday", Jesus telah disalib dan mati pada petang itu. Jumaat Bagus disambut sempena memperingati penyiksaan dan kematian Christ.

Jesus kononnya telah memberitahu pengikutnya bahawa dia akan hidup kembali pada hari ketiga. Pada hari Ahad, kuburnya kosong menandakan dia hidup kembali.

Hari Deepavali

Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut ugama Hindu diseluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (Antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayaakan sebagai perayaan Deepavali.

Pada pagi Deepavali penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upucara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.

Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.

Hari Gawai

Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964. 

Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.

Setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak.

Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya. 

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka. 

Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang. 

Hari Kaamatan

Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai ini disambut oleh kaum Kadazan / Dusun sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan "ketua pendita"

Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan'. 

Kaum Kadazan percaya kepada makhluk halus dan mereka mempercayai terdapat lima jenis makhluk halus yang dikenali sebagai :- Kinoingan, Ketua makluk halus dan Pencipta , Rusad semangat semua benda hidup kecuali manusia,  Koududuvo semangat manusia, Tombivo semangat orang yang telah meninggal, dan Rogon semangat jahat.

Menurut kepercayaan orang Kadazan, semangat padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan - yang juga dikenali sebagai Bambaazon, yang disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada kehidupan dan kewujupan. Semangat padi Bambaazon amat dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."

Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai "arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'.

Hari Kuih Bulan 

Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi). Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada bulan kelapan pada kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan.

Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.

Terdapat juga tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan kepada Dewa Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan lapuran buruk kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih Bulan yang manis itu.

Hari Natal (25 Disember)

Hari Natal (Krismas) merupakan perayaan menyambut kelahiran Jesus Christ di Bethlehem yang disambut oleh semua pengikut ugama Nasarani di dunia. Bagaimanapun, kajian menunjukkan Hari Natal bukanlah tarikh sebenar kelahiran Jesus Christ. 

Perayaan hari Natal bermula dengan menghiasi pokok Krismas di rumah dan di gereja. Ahli keluarga bertukar hadiah pada hari Natal dengan meletakkannya di bawah pokok krismas. Teater Krismas, parti nyanyian keugamaan (Carol) akan diadakan. 

Derma akan diberikan kepada golongan yang tua dan miskin. Secara tradisi, hadiah akan diberikan oleh Santa Claus kepada mereka yang memerlukan. Pada masa sekarang, perayaan hari Natal bersifat lebih komersial di mana gedung-gedung jualan akan berhias dan membuat persediaan jualan hari Natal semenjak awal Disember lagi. 

Hari Maulud Nabi (12 Rabiul Awal)

Hari Maulud (kelahiran) Nabi Muhammad SAW bertujuan untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW berasaskan firman Allah dalam Al-Quran (terjemahannya ) :-
 

"maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung."
Al-Araf: 157 


Hari Maulud pertama kali diselenggarakan oleh Sultan Salahudin al Ayyubi ketika menghadapi pasukan salib bagi membakar semangat berjuang dan berkorban, untuk menyelamatkan umat Islam dan sebagai memperingati kejayaan Sultan Salahuddin al Ayyubi berhasil memimpin tentera Islam memasuki Jurusalem. 

Maulud Nabi disambut setiap 12 Rabiul Awal dimana zikir khusus akan diadakan di masjid-masjid. Perarakan secara besar-besaran yang disertai oleh lelaki, perempuan, dan kanak-kanak akan diadakan di bandar dan kampung sambil menyanyikan lagu-lagu memuji Nabi Muhammad S.A.W. juga akan diadakan untuk meriahkan hari Maulud mulia ini. Jamuan makan juga dianjurkan diadakan oleh orang perseorangan atau pertubuhan untuk fakir miskin. 

Terdapat 2 pendapat mengenai Maulud Nabi, iaitu pendapat pertama melakukannya adalah satu perbuatan yang dianjurkan bagi umat Islam. Pendapat kedua pula menyatakan menyambut hari Maulud adalah satu bidaah disebabkan ia tidak pernah dilakukan semasa zaman Rasullullah dan para sahabat.

Menurut pendapat pertama, hujah mengapa Maulud Nabi boleh diraikan adalah :-

Bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi S.A.W. bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?" 

Jawab mereka: Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan.

Maka Nabi S.A.W. berkata: 

"Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu."

Riwayat Bukhari dan Muslim.


Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum: 

  • Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, miraj dan lain-lain. 
  • Nabi pun turut memperingati hari tenggelamnya Firaun dan bebasnya Musa, dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak. 


Rujukan 
http://www.kusza.edu.my/~hakim/Islam/Masalah/maulud.html
 

Hari Thaiponggol

Thaiponggol merupakan perayaan menuai yang diraikan mengikut kalender Hindu. Disebabkan hari perayaan Thaiponggol ditetapkan dalam kalender Hindu, hari Thaiponggol disambut berbeza dengan tempoh menuai yang sebenar. Pada kebiasaannya, orang-orang Tamil akan meraikan perayaan menuai Thaiponggol pada minggu kedua bulan Januari.

Pada subuh pagi Thaiponggol, para petani akan bangun dan memasak bijiran yang baru dituai yang dikenali sebagai Ponggol. Masakan Ponggol ini merupakan masakan hasil tuaian baru yang akan dipersembahkan kepada matahari pada waktu pagi.

Pesta Thaiponggol merupakan hari bagi memuliakan Dewa Matahari yang penting kepada semua tanaman. Upacara penyembahan juga diadakan di kuil secara besar-besaran, dan di rumah secara kecil-kecilan.

Bagi perayaan di rumah, seluruh keluarga akan bangun awal dan mandi dan berpakaian cantik sebelum subuh. Semua ini dilakukan tanpa menggunakan cahaya. Apabila semua ahli keluarga telah bersedia, mereka berkumpul mengelilingi gubahan buah dan bunga. Hanya ketika itu lampu akan di gunakan. Gambaran kecantikan alam semulajadi mesti merupakan gambaran pertama dilihat pada waktu pagi. Pada pagi hari, makanan pagi dari tumbuhan sepenuhnya "vegetarian" akan dihidangkan kepada semua ahli keluarga.

Hari San Pedro

Perayaan San Pedro merupakan salah satu peninggalan Portugis di Malaysia. Perayaan San Pedro merupakan perayaan menyambut hari jadi San Pedro, penaung kepada nelayan. Ia disambut meriah oleh masyarakat berketurunan Portugis yang tinggal di Melaka. Perayaan San Pedro diraikan antara 24 Jun - 26 Jun setiap tahun.

Pada hari perayaan San Pedro, kapal nelayan yang dihiasi indah bersempena pesta ini akan diberi restu dan didoakan agar mendapat hasil yang lebih lumayan pada musim menangkap ikan pada masa akan datang.

Hari Sembilan Maharaja Dewa

Perayaan Sembilan Maharaja Dewa juga dikenali sebagai Kow Wong Yeh disambut pada hari kesembilan pada bulan sembilan dalam kalender lunar Cina. Penganut kepercayaan Taoist akan berkumpul di kuil untuk menyambut perayaan ini. 

Sembilan Maharaja Dewa merupakan kult bomoh kuasa halus "spirit-medium cult" yang dikenali sebagai 'Jieu Hwang Yeh'. Sembilan Maharaja Dewa ini dipercayai tinggal di syurga di langit di bawah pemerintahan 'Thien Hou', Ratu Syurga yang menjaga buku kehidupan dan kematian. Sembilan Maharaja Dewa ini juga merupakan anak kepada 'Thien Hou' Ratu Syurga ini.

Pada petang bulan kesembilan, tokong Dewa mengadakan upucara untuk memuja dan menyambut 'Jien Hwang Yeh'. Pada sebelah petang hari kesembilan pada bulan sembilan dalam kalender lunar Cina, satu tempat menyembah akan disediakan, sementara satu tempat khas akan ditanda dengan bendera. Orang ramai akan menyalakan lilin dan membakar gaharu ketika upacara sembahyang dilakukan dengan diiringi bunyi gong, gendang, dan sebatan. Selepas itu mereka akan bersiap sedia untuk menyambut ketibaan Sembilan Maharaja Dewa itu.

Oleh kerana ketibaan Sembilan Maharaja Dewa dipercayai sampai melalui jalan air, perarakan diadakan dari kuil ke tepi pantai atau sungai sebagai lambang kepercayaan ini. Pengikut Taoist berpakaian serba putih, membawa gaharu dan lilin, menunggu ketibaan 'Maharaja.'

Setelah rombongan yang membawa Sembilan Maharaja Dewa kembali daripada tempat mereka menjemput ketibaan Sembilan Maharaja Dewa, kerusi tandu tersebut akan diletakkan di dalam tokong di satu tempat khas. Dengan tamatnya upacara ini, bermulalah perayaan Sembilan Maharaja Dewa dengan rasminya. Tanglong akan dipasang dikemuncak tiang yang tinggi sebagai permulaan perayaan Sembilan Maharaja Dewa.

Suasana berpesta menyelubungi kuil sepanjang perayaan sembilan hari. Dalam tempoh ini, bunyi loceng sembahyang dan penyembahan oleh para sami didengari secara berterusan. Kebanyakan pengikut Taoist tinggal di tokong, memakan sayur-sayuran sahaja dan menyembah secara berterusan. 

Sementara itu ban roti berbentuk penyu yang bertulis perkataan yang baik-baik seperti Hidup Aman dan Panjang Umur, Keluarga Bahagia, dan Keluarga Sihat dan Kaya. Roti-roti ini akan diletakkan di tokong untuk mendapatkan restu Sembilan Maharaja Dewa ketika mereka berada di sana. Selepas itu roti-roti ini akan dibawa balik untuk dimakan.

Perayaan Sembilan Maharaja Dewa ditamatkan dengan perarakan besar-besaran bertujuan menghantar Sembilan Maharaja Dewa pulang kembali melalui jalan air

Hari Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina merupakan pesta Perayaan Musim Bunga "Spring" terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalender lunar Cina. Kalender lunar Cina terbahagi kepada kitaran dua belas tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Menurut turutan, haiwan tersebut adalah tikus, kerbau, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing, dan babi. Kepercayaan popular menyatakan perangai dan nasib seseorang ditentukan oleh tahun kelahiran mereka.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun akan dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau hantu jahat dan nasib tidak baik. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau kumquat. 

Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti itik salai, sosej, kek beras, dan limau mandrin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang bekeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian Naga atau Singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Hari Thaipusam

Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan 'Thai'.

 Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.

 Sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.

 Masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.

 Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi. Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.

 Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa 'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut rentak lagu yang dimainkan.

 Di Malaysia, pembawa 'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa. Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.

 Perayaan Thaipusam di Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat yang beragama Hindu. Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat yang berbangsa lain. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong yang datang dan merakamkan suasana menarik semasa sambutan perayaan ini.

 

Hari Wesak

Hari Wesak merupakan hati terpenting bagi penganut agama Buddha kerana hari Wesak melambangkan kelahiran, kesedaran, dan kematian Gautama Buddha. Penganut Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha "Sutras". Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.

Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami. Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut agama Buddha di seluruh dunia.

Dikalangan penganut Buddha di Singapura dan Taiwan, terdapat amalan mencederakan diri ketika menyambut hari Wesak seperti berjalan di atas bara api sebagai menyambut hari kelahiran dewa Bao-sheng Da-di.

  1. Ia dirayakan dalam bulan Mei pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:
    Kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
  2. Siddharta Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35 tahun di tahun 588 S.M.
  3. Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.

 

Source: http://perayaan.bravepages.com/PerayaanKuihBulan.htm

 

HBI Health & Homoeopathy Centre Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2011