Laman Konsultan HBI  drhatta.com
 

Laman Utama

***********

Masa Depan Homeopati Di Malaysia

 

 

Apakah senario terkini perkembangan homeopati di Malaysia?

Saya melihat perkembangan homeopati di Malaysia semakin perlahan. Aktiviti semakin berkurangan. Tekanan daripada pihak tertentu yang bermula apabila berlaku pertukaran menteri kabinet beberapa tahun yang lalu juga masih membimbangkan.

Apa maksud Dr dengan tekanan itu dan bilakah ia bermula?

Saya pun kurang pasti. Tetapi sejak tahun 2004, saya dapati perhatian terhadap perubatan alternatif, khususnya homeopati semakin terpinggir. Akta dan peraturan yang diwujudkan kemudiannya pula semakin meningkat. Semangat untuk memartabatkan persatuan seperti yang ditubuhkan semasa Dr Chua Jui Meng (yang telah dibubarkan) tidak kukuh. Pendaftaran ubat-ubatan semakin ketat dengan bayaran yang tinggi, yang bermakna ia mengutamakan syarikat dan pengilang yang sedia kaya atau bertaraf korporat. Penguatkuasaan pula banyak dilakukan berasaskan laporan pendaftaran ubat semata-mata. Ubat homeopati yang masyhur dengan tiada kandungan bahan aktif ubat/dadah tidak diambilkira. Sedangkan tujuan pengawalan seharusnya lebih tertumpu kepada kesan buruk ubat/dadah.

Apakah peraturan ini berniat tidak baik?

Bukan begitu maksud saya. Tetapi matlamatnya kurang jelas. Unsur ekonomi dan agenda meminggir perubatan alternatif itu semakin nampak.

Mengapa pula ada usaha meminggirkan perubatan homeopati?

Itu sudah lumrah sejak dulu. Semua perubatan alternatif dan homeopati merupakan saingan kepada perubatan moden. Peningkatan pelanggan perubatan alternatif boleh mengurangkan langganan terhadap ubat-ubat dan juga klien klinik perubatan moden. Mereka yang melihat keadaan ini sebagai ancaman akan mencari kaedah undang-undang untuk bersaing. Bahkan orang yang pemikiran tertutup boleh melaksanakan peraturan tanpa sebarang budi bicara.

Boleh Dr berikan satu contoh kesan akta dan penguatkuasaan?

Pendaftaran ubat-ubat. Bukan sahaja syarat ianya dikeluarkan oleh syarikat GMP, tetapi mesti dibayar dengan harga yang tinggi pula. Dulu saya dengar bayaran pendaftaran cuma RM100 bagi sejenis ubat. Sekarang saya difahamkan sudah sampai RM800. Anda bayangkan kalaulah saya mempunyai cukup syarat lain dan mahu mengimport semua dilution "single remedy" yang berjumlah lebih 2,000 jenis itu.... Saya pasti tidak mampu. Kalau saya kaya sekalipun saya tidak akan berbuat demikian kerana pasaran ubat-ubat homeopati bagi pelajar-pelajar homeopati dan klinik terlalu kecil.

Ada lagi?

Tidak cukup dengan tekanan itu, proses permohonan dengan sengaja dilambatkan bagi mendapat kelulusan. Maknanya sengaja dirumitkan. Tidak ada budi bicara dalam hal ini.

Buktinya?

Anda lihat Perkhidmatan Homeopathy Mulia. Itulah satu-satunya pengimport ubat-ubat homeopati dalam bentuk dilution untuk pusat-pusat rawatan homeopati di Malaysia. Kedainya diserbu pada awal tahun 2006. Sebahagian ubat-ubatnya dirampas. Rumah pemiliknya turut diserbu walaupun tiada sebarang barang larangan ditemui. Sementara permohonan syarikat itu untuk menambahkan senarai pendaftaran ubat-ubatnya tidak mendapat jawapan pihak berkenaan. Dan anda tahu tak...? Sampai sekarang kesannya telah memusnahkan harapan syarikat itu untuk berkembang maju. Jadi apakah maknanya ini? Mereka telah memusnahkan satu syarikat bumiputra yang baru meningkat maju. Sedangkan itulah satu-satunya pengimport terbesar dilution homeopati di Malaysia.

Di mana peranan persatuan?

Itu anda tanyalah kepada yang berkaitan. Sehingga ini saya tidak nampak ada persatuan berusaha untuk benar-benar membantu. Mereka mungkin terlalu sibuk dengan agenda persatuan yang tidak mampupun untuk melonjak setanding dengan persatuan perubatan arus perdana. Bahkan mereka juga tidak cukup dana untuk mendaftar dan  memasarkan dilution homeopati bagi pusat-pusat rawatan homeopati di Malaysia.

Habis, bagaimanakah masa depan homeopati?

Bagi saya, malap sekali. Tetapi bagaimana malap sekalipun, ia harus hidup demi kesejahteraan insan sejagat. Saya ingin tegaskan di sini bahawa perubatan moden juga tidak mampu menyelesaikan majoriti penyakit yang semakin bertambah. Biarpun betapa maju dan moden sekalipun peralatan mereka, mereka tidak mampu.

 

 

Admin HBI ; huzib123@gmail.com

Malaysia Homeopathy Cyber Library edited 2011