AN INTERVIEW WITH

Master Trainer in homoeopathy (11)

at MHVI (in B.Melayu) 12 Ogos 2011  -  Mr. Mohamed Hatta, HMD

Diploma Homeopati diiktiraf?.. revisited?
 

Laman Utama

***********

Isu Institusi dan Ijazah Homeopati Malaysia

 

Sekarang kita bakal ada graduan homeopati yang pasti diiktiraf oleh MQA (Malaysian Qualifications Agency) dan kementerian?

Kita menyambut baik semua itu. Suatu usaha murni dari pihak CUCMS, pihak kerajaan dan persatuan homeopati yang mendokongnya. Dengan cara itu calon graduan akan mempunyai masa hadapan yang cerah. Dia boleh mendapat kerja di sektor kerajaan ataupun swasta.

Apakah hanya CUCMS akan mengeluarkan ijazah dalam homeopati?

Saya percaya banyak lagi institusi yang berminat. Masalahnya ialah bagaimana mereka boleh mendapatkan pensyarah yang boleh mengajar pelajar-pelajar ini dalam perubatan homeopati. Sebab bukan sembarang orang boleh mengajar ilmu ini. Doktor-doktor biasa tidak boleh. Memahamkannyapun cukup sukar. Itulah menyebabkan timbul ketidakpercayaan doktor konvensional terhadap falsafah, konsep, sistem dan amalan perubatan homeopati.

Bagaimana dengan pengamal homeopati dari persatuan?

Itulah masalahnya dengan sistem, prosedur dan kehendak kementerian dan MQA. Satu, mereka tidak mahu iktiraf pengamal dan kelayakan pengamal sedia ada. Kedua mereka meletakkan syarat yang ketat untuk menubuhkan institut. Tanpa modal berjuta-juta, sukar untuk menubuhkannya. Ketiga, kita tidak nampak budi bicara yang bersesuaian dalam kes pemberian sijil, diploma dan ijazah.

Apa maksud Dr dengan budi bicara?

Sebagaimana yang kita maklum, homeopati (homeopathy) sudah bertapak di Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu. Orang dan persatuan yang terlibat telah memainkan peranan yang besar membangunkan kaedah pendidikan homeopati, walaupun secara tidak formal melalui pengajaran di klinik-klink, hotel-hotel, sama ada dikendalikan oleh individu, persatuan maupun syarikat. Walaupun kaedah ini sukar diterima oleh kerajaan, kita harus lebih banyak bertolak-ansur dalam melakukan perubahan. Dalam tolak-ansur ini mungkin ada pengubahsuaian, dan/namun yang penting kita hendak lihat keberlangsungan. 

Kesinambungan yang macam mana maksud Dr.??

Yalah. Mengapa kita hendak hentikan sistem pengajaran dan pembelajaran yang sedia berlangsung, khususnya yang dijalankan oleh persatuan homeopati (homeopathy)? Mengapa kita semata-mata ingin menumpukan kepada penganugerahan ijazah atau kelayakan melalui universiti dan kolej? Cerita ini tidak lebih seperti kita menamatkan khidmat bidan-bidan kampung dahulu dan terus menggantikan dengan jururawat-jururawat dan doktor kerajaan sehingga akhirnya ilmu tradisi yang dimiliki oleh bidan-bidan kampung itu terhapus dan tidak sempat diperturunkan. Kita juga kehilangan bidan-bidan wanita yang berkebolehan dan terpaksa menggantikannya dengan kaum Adam (justeru kekurangan doktor).

Jelaskan lagi maksud Dr.?

Cuba kita perhatikan sistem pondok dalam pendidikan agama. Apakah sistem itu dihapuskan? Tidak. Ia berlangsung walaupun tidak diiktiraf sepenuhnya. Dan seingat saya, suatu waktu dahulu ada kaedah di mana pelajar-pelajar yang memasuki pondok moden dibenar belajar selama 5 atau 7 tahun, kemudian dibenarkan melanjutkan pelajaran ke universiti. Mereka yang melalui sistem persekolahan biasa memasuki universiti boleh mendapat ijazah dalam masa 3 atau 4 tahun, tetapi mereka yang melalui sistem pondok mengambil masa hampir sepuluh tahun untuk tamat. Tetapi mereka masih diberi peluang.

Jadi apakah Dr. menyarankan sistem seumpama itu juga dalam pendidikan homeopati?

Secara tak langsung..., ya. Tapi maksud saya sebenarnya ialah supaya pihak berkenaan memberi sekurang-kurangnya dua laluan dalam sistem pembelajaran homeopati. Apa salahnya kita membenarkan persatuan atau institusi lain (dengan kerjasama universiti tertentu, mungkin) menjalankan pengajaran dan pembelajaran homeopati seperti biasa hingga ke suatu peringkat. Umpamanya dibenarkan dan diiktiraf pendidikan mereka sehingga ke peringkat Diploma Homeopathy sahaja. Kemudian pelajar-pelajar ini boleh menyambung lagi selama dua atau tiga tahun di mana-mana universiti yang mengeluarkan ijazah, dalam ataupun luar negara. Kita iktiraf pelajar-pelajar ini di peringkat Diploma dan di peringkat Ijazah. dan lagi...

Lagi ?

Kita juga wajar meletakkan gelaran yang bersesuaian kepada lulusan ini. Peringkat Diploma ...apa kita nak panggil? Pengamal bertauliah, Perunding homeopati bertauliah. Berilah Hp ke, DHom ke? Yang ijazah berilah juga gelaran sepertimana diperoleh oleh doktor konvensional MBBS. Salah ke kita beri gelaran DrHom., Dr.(H) kepada mereka yang pakar dalam perubatan homeopati? Orang yang mendapat lulusan PhD pun kita panggil Doktor? Walaupun bidang persuratan, ekonomi atau sejarah, kita panggil doktor, dan tidak timbulpun kekeliruan dengan Doktor perubatan biasa. Kalau keliru, kita perjelaskanlah.

Itulah perkaranya kalau kita berfikir, berbincang, bertolak ansur dan berbudi bicara. Jangan kita dengan mudah mengeluarkan perkataan "tidak boleh", "jangan", "salah", "takut orang ramai keliru".

Bagaimana dengan syarat kemasukan?

Syarat kemasukan samalah juga halnya. Di Malaysia ini, universiti awam syaratnya tak sama pun dengan universiti swasta. Bayaran yuranpun tak sama. Swasta longgar sikit, bayarannya mahal sikit, pensyarah dan kemudahannya pun berbeza. Tapi jika kita buat begitu (seperti cadangan tadi), tentu ada kelebihannya.

Apa kelebihannya ?

Kelebihannya tentulah gurunya, pengajarnya, pensyarahnya. Mereka yang telah menunjukkan kelebihan mereka dari segi akademik, hasil tulisan, amalan klinikalnya, pengalamannya, kita beri pengiktirafan kelayakan. Kita benarkan mereka ini diambil dan mengajar pelajar di peringkat Diploma. Apa salahnya? Jika kita ingin pensyarah di peringkat PhD mengajar pelajar di peringkat ijzah, kita hantarlah mereka ini atau lulusan CUCMS nanti ke peringkat Master dan PhD ke luar negara.

Berbalik kepada syarat kemasukan tadi, apakah pelajar aliran sains saja dibenarkan memasuki jurusan ini?

Sebenarnya, dalam jurusan perubatan konvensionalpun, di sesetengah universiti di luar negara, sesiapapun boleh masuk dan ambil jurusan perubatan. Tidak ada masalah jurusan sains atau sastera. Tetapi kalau ada background dalam sains, itu adalah lebih baik.

Apa lagi dalam bidang homeopati. Kita juga harus ingat, homeopati bukan perubatan biasa. Homeopathy bukan semata-mata sains, tetapi ia juga adalah suatu seni. Tidakkah Dr. S. Hahnemann menyebutnya sebagai the art of healing. Dan buku Organonnya juga disebut sebagai Organon of the healting art.

Kita juga harus ingat, homeopati bukan membicarakan soal-soal material sahaja seperti doktor alopati. Sebab itu doktor konvensional yang tidak percaya kepada Tuhan, dengan yang ghaib atau apa-apa yang immaterial, dia tidak boleh belajar dan tidak dapat terima falsafah dan amalan perubatan homeopati

Inilah uniknya homeopati. Jadinya, mempunyai pengetahuan asas sains penting tetapi tidaklah menjadi suatu hal yang wajib.

Akhir sekali, ada apa-apa pesan Dr.?

Saya sangat gembira kalau kita boleh wujudkan satu institusi yang boleh kita rakamkan pengharagaan kepada Allahyarham Dr. Burhanuddin al-Helmy. Sumbangan beliau dalam memperkenal, mendidik dan membangunkan homeopati amat besar. Tiada bandingannya buat masa ini. Seperti yang pernah dibisikkan oleh Dr. Abd Rahman Hashim, kita namakan ia "Institut Burhanuddin al-Helmy".

Mengapakah kita harus beriri hati untuk membuat kebajikan dan memberi penghargaan seumpama ini? Kita bantu dan kita binalah. Walaupun dibenarkan sekadar mengeluarkan sijil di peringkat Diploma atau Diploma Lanjutan, ...pun tidak mengapa. Tetapi usahakanlah. Berilah persetujuan dan sokongan.

Kita mohon daripada pihak berkenaan, persatuan dan pengamal. Bersatulah ke arah usaha yang mulia ini.

 

HTML Comment Box is loading comments...

 

 

Admin HBI ; huzib123@gmail.com

Malaysia Homeopathy Cyber Library edited 2011