MASALAH PEMEGANG DIPLOMA HOMEOPATI: .(9)

17 September 2005

****************************

Laman Utama

***********

 

 

 

Akhir-akhir ini ramai orang mempersoalkan sijil dan diploma yang diterima oleh pengamal rawatan alternatif. Ada juga mempersoalkan tentang title Dr.(H) yang digunapakai oleh pengamal homeopati.

Saya fikir perkara itu tidak harus timbul. Ini adalah kerana penerima sijil dan diploma rawatan alternatif telah melalui kursus yang lengkap dalam sistem perubatan itu. Dan sijil atau diploma itu sah sekiranya ia dikeluarkan oleh pakar, persatuan atau institusi berkaitan. Anugerah dikeluarkan berasaskan ilmu yang disampaikan. Ini adalah soal perakuan. Orang lain atau mereka dari sistem perubatan lain tidak berhak mempersoalkan perkara yang bukan dalam bidang atau kepakaran mereka. 

Walaupun ia tidak diiktirafkan oleh LAN?

Itu persoalan lain. Ini kita maksudkan hanya kepada perakuan dalam amalan perubatan masing-masing. Bukan persoalan pengiktirafan akademik. 

Maksudnya?

Maksudnya, orang lain yang bukan pakar dalam bidang ini tidak patut mempersoalkan dan menjadikannya satu kontroversi. Tetapi kalau orang yang dianugerahkan diploma atau ijazah itu tidak arif atau mengamal secara salah, maka diploma atau ijazahnya boleh dipersoalkan. Bukan saja pengamal boleh dipersoalkan, malah wibawa persatuan atau institusi yang mengeluarkan diploma itu juga diragui.

Boleh berikan contoh?

Umpamanya, baru-baru ini saya didatangi seorang ibu yang membawa anaknya yang sakit. Dia bertanyakan rawatan dan menunjukkan rawatan yang telah dilalui anaknya, termasuk perubatan moden dan homeopati. Semasa mendapatkan rawatan homeopati di Perak, anaknya mendapat preskripsi berikut: Argen. Nit. 3 botol, Phytolacca 3 botol dan Staphysagria 4 botol. Semuanya minta dihabiskan mengikut aturan nombor. 

Apakah preskripsi itu salah? 

Persoalannya ialah dia melanggar beberapa prinsip homeopati. Bukan saja melanggar prinsip rawatan dan single remedy, tetapi ia juga tidak mengikut proses dan prosedur rawatan. Dari satu segi ia tidak memahami Organon Perubatan, dari segi yang lain dia utamakan bisnes dan bukan rawatan. Sekaligus melanggar pesanan para satu Organon.

Apakah kelulusan pengamal itu? 

Ibu anak itu ada menunjukkan kad bisnesnya. Ada lulusan APHom dan BHMS. Ada juga lulusan lain. Yang agak pelik (tidak menepati amalan homeopati), dia boleh memberi preskripsi hanya dengan mendengar tangisan si anak itu.

Apakah itu menyalahi homeopati?

Itu bermakna dia tidak melakukan penyiasatan yang teliti. Dia tidak merawat berasaskan keseluruhan simptom.

Contoh lain?

Satu lagi. Akhir tahun lalu ada seorang pesakit wanita dari Kajang menghantar e-mel kepada saya bertanyakan mengenai rawatan yang beliau terima dari sebuah pusat rawatan.

Dari seorang pengamal homeopati?

Katanya begitulah. Tetapi saya tegaskan bahawa dia bukan seorang pengamal homeopati.

Sebabnya?

Katanya orang itu boleh memberitahu penyakit dan masalah kesihatannya hanya melalui jari dan rawatan urut turut diberikan kepadanya.  

Ada tak dia meminta nasihat tuan?

Ada. Tak perlu saya perincikan. Selain itu, saya juga menyarankan supaya beliau menjauhi rawatan serupa itu. Khususnya yang bertujuan mengambil kesempatan ke atas pesakit. 

Apakah pesanan terakhir tuan?

Bacalah Organon Perubatan. Malangnya ramai pengamal kurang mahir berbahasa Inggeris. Itu menyebabkan mereka tidak membaca Organon dan menjejaskan kefahaman falsafah perubatan mereka. Mereka belajar homeopati secara amatur dan merawat bagaikan seorang alopati. Maklumat yang diterima semasa tempoh kursus juga nampaknya tidak mencukupi. Ini juga bermakna pengajaran yang dikendalikan oleh persatuan tidak membantu mereka menjadi pengamal yang baik, beretika dan mahir seperti sepatutnya. 

Saya berharap semua persatuan melakukan muhasabah dan bukan saling menuding jari. 

 

 

Admin HBI ; huzib123@gmail.com

Malaysia Homeopathy Cyber Library edited 2011