AN INTERVIEW WITH

Master Trainer in homoeopathy

at MHVI (in B.Melayu)  -  Mr. Mohamed Hatta, HMD:

Laman Utama

****************************

****************************

 

Sejak bila sdra berkecimpung dalam perubatan alternatif homeopati?

Sebenarnya saya masih baru dalam mengamalkan homeopati, tidak seperti ramai lagi pengamal lain. Saya mula menyertai homeopati pada awal tahun 1991, apabila saya bertemu dengan Dr. Teew yang membuka praktiknya di Kuala Terengganu. Saya belajar dengan beliau selama setahun sebelum mengikuti kursus daripada The British Institute of Homoeopathy.

Kami lihat sdra begitu giat berkarya dan menulis buku-buku homeopati. Kenapa agaknya?

Sebenarnya mungkin tidak tercetus dalam minda saya untuk menulis dalam bidang ini kalau persatuan-persatuan dan pendokong tugas ini telah menyempurnakan tugas mereka. Boleh saya ceritakan agak panjang sedikit?

Silakan.

Semasa saya menunggu keputusan kursus post-graduate dalam homeopati daripada The British Institute of Homoeopathy, saya telah mendaftarkan diri untuk pengajian Doktor Falsafah di UKM dalam bidang Sosiologi Perubatan dengan rancangan tesis berkaitan kajian Perubatan Homeopati di Malaysia (tahun 1995). Sewaktu saya sibuk mencari bahan rujukan, saya dapati kita kehilangan beberapa perkara: Pertama, tidak pernah ada kajian saintifik dibuat mengenai homeopati di Malaysia. Kedua, tulisan-tulisan Dr.Burhanuddin (yang harus merupakan peninggalan bersejarah dan berharga) tiada di mana-mana perpustakaan universiti atau di mana-mana perpustakaan di Malaysia. Maknanya ia dipendamkan oleh pengikut-pengikut beliau. Berikutan dari itu, saya telah berusaha menghubungi beberapa pengamal yang dipercayai menyimpannya, tetapi mendapat reaksi negatif. Justeru, saya berpendapat amanat Dr.Burhanuddin telah dialpakan.

Apakah ini sikap semua generasi ahli homeopati selepas Dr. Burhanuddin?

Tidak semua. Saya percaya anak didik beliau yang 12 orang itu agak berbeza. Saya pernah beberapa kali bertemu dengan Dr. Mohd Nor Noordin. Beliau bukan saja menghasilkan banyak karya homeopati tetapi turut berceramah ke merata tempat. Beliau tidak membungkus dirinya untuk hanya bercakap mengenai homeopati dalam seminar-seminar yang dianjurkan oleh persatuan. Saya percaya Dr. Muhammad Yaacob juga ada menulis buku-buku, Cuma tidak ada dengan saya, dan persatuan mungkin tidak peka atau berminat untuk menyebarkannya.

Apakah buku-buku mereka boleh didapati di pasaran?

Inilah masalahnya. Persatuan dan kebanyakan pengamalnya tidak proaktif. Tidak ada usaha pengembangan ilmu homeopati dalam aspek ini. Kita tidak ada penerbit seperti B.Jain Publishers di Malaysia.

Apakah menerbitkan buku-buku ilmiah seperti ini menguntungkan?

Kalau mereka hanya memikirkan untung, sampai bila homeopati akan dikenali oleh masyarakat secara dekat. Mereka tidak harus menunggu pihak akhbar, Kementerian Penerangan dan Kementerian Kesihatan sahaja mempromosi homeopati. Lagipun homeopati bukan agenda utama pihak berkenaan.

 

Apakah kursus yang dijalankan oleh sdra diiktiraf oleh persatuan atau kerajaan?

Saya memberi ilmu yang bersepadu untuk diamalkan. Saya bukan berkehendakkan pengiktirafan. Pelajar-pelajar saya juga bukan berkehendakkan pengiktirafan mereka. Sijil dan diploma yang kami keluarkan lebih kurang sama dengan sijil dan diploma perisian yang dikeluarkan oleh syarikat komputer swasta. Lagipun tidak ada satupun diploma homeopati yang dikeluarkan oleh persatuan diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan atau IPTA atau Lembaga Akreditasi Negara.

Habis kenapa mereka sibuk pasal pengiktirafan?

Jawapannya saya serahkan pada sdra. Tetapi saya ingin bangkitkan dua perkara. Satunya, ada seorang pelajar sebuah persatuan homeopati di utara runsing dan ragu-ragu mengenai diploma yang bakal diterimanya sedangkan dia telah menghabiskan ribuan ringgit. Dia bertanya kalau dia boleh menggunakan diploma tersebut untuk mohon kerja di hospital kerajaan. Saya secara jujur membalas e-mail beliau menyatakan bahawa tidak ada satupun diploma homeopati diiktiraf oleh IPTA atau LAN. Lagipun mana ada diploma yang diiktiraf oleh LAN dikeluarkan oleh persatuan. Ia seharusnya dikeluarkan oleh institusi atau universiti yang diluluskan.

Kedua, kalau maksudnya pengiktirafan seperti seorang doktor alopati, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam pemikiran mereka. Apakah mereka tidak membaca dan faham sejarah perjuangan Dr. Hahnemann?

Akhirnya, apa nasihat sdra Dr.?

Nasihat saya ialah dapatkan ilmu daripada guru yang sanggup memberikan ilmu secara padat dan bersepadu pada kos yang setimpal. Jangan dikejar pada sijil dan diploma sahaja sedang ilmu yang diperolehi tersangat sedikit, padahal bayaran yang dikenakan terlalu mahal. Amatilah para 1 Organon of Medicine dan Sumpah Setia Hippocrates, Itu matlamat seorang doktor sama ada sebagai seorang perawat, guru atau pelajar.