AN INTERVIEW WITH

Master Trainer in homoeopathy (4)

at MHVI (in B.Melayu)  -  Mr. Mohamed Hatta, HMD:

Kandungan:

1.      Di sebalik ubat cerdaskan minda

2.      Tidak benar kilang ubat homeopati belum wujud di Malaysia

3.      Malaysia Perlukan Farmakopeia Homeopati

Laman Utama

***********

 

Di sebalik ubat cerdaskan otak

Dalam pasaran di Malaysia hari ini terdapat begitu banyak penawar minda. Suatu kekeliruan yang berlaku di kalangan masyarakat pula iaitu kesan daripada iklan atau pernyataan-pernyataan orang tertentu yang mempromosi barangan mereka dengan nama ubat cerdas (smart pills) atau ubat kecemerlangan minda.

Ini termasuklah penawar-penawar homeopati, khususnya yang diiklankan oleh akhbar-akhbar yang bukannya akhbar arus perdana.

Pada hakikatnya, memanglah terdapat penawar-penawar homeopati yang mempunyai kesan terhadap minda. Sekiranya terdapat masalah mudah lupa, sukar faham apa yang diajar, resah bimbang dan seumpamanya, masalah-masalah itu boleh ditemukan dengan penawar-penawar homeopati tertentu.

Dari segi amalannya ia harus dipreskripsikan oleh pengamal homeopati setelah melalui proses konsultasi sebagaimana juga dalam merawat sebarang penyakit.

Tetapi oleh kerana penawar-penawar kombinasi menjadi semakin popular dan mudah dipasarkan, timbullah idea sesetengah syarikat untuk memasarkannya sebagai produk minda.

Masyarakat perlu jelas bahawa penawar homeopati dalam bentuk kombinasi pun memang boleh memberi kesan terhadap minda.

Ia boleh dipasarkan secara komersial justeru gabungan beberapa penawar itu memungkinkan lebih banyak simptom minda dan simptom fizikal dapat dikumpulkan di dalam satu remedi.

Tetapi seperti ubat-ubatan lain, ia bukanlah ubat bagi mencerdaskan atau mencemerlangkan pencapaian dalam peperiksaan. Walaupun kesan pada peringkat akhir boleh jadi sampai ke situ.

Konsep mencerdaskan minda jauh berbeza dengan tindakan penawar dari segi mengaktifkan, merangsang atau merawat simptom minda.

Sesetengah kanak-kanak menunjukkan perubahan yang positif setelah mengambil penawar minda homeopati tertentu. Ini pasti berlaku sekiranya simptom pengguna itu menepati simptom penawar yang diambil, seperti yang tertera dalam prinsip asas rawatan homeopati.

Tetapi korelasi di antara pengambilan penawar itu dengan kecemerlangan seseorang dalam peperiksaan adalah sesuatu yang sukar diukur.

Suatu perkara yang diketahui umum juga, semua ubat tradisional perlu didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan untuk tujuan pemasaran dan keselamatan pengguna.

Ubat-ubat itu diproses di sini dan kandungannya yang kasar memerlukan penelitian bagi memastikan ia selamat digunakan oleh pengguna. Tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun kilang homeopati wujud di Malaysia. Hampir keseluruhan penawar homeopati diimport masuk dan dibancuh secara farmasi bagi kegunaan klinik.

Kaedah itu jugalah yang digunakan dalam membuat penawar minda homeopati, sama ada ia dikomersialkan atau diberikan di klinik.

Seandainya kilang homeopati sudah bertapak di Malaysia, sudah tentu ramai pengamal homeopati di Malaysia berpesta lega justeru tidak perlu membeli dari syarikat yang mengimportnya dari England, Jerman, Pakistan dan India.

Demikian juga sudah pasti di negara kita boleh ditemui Malaysian Homoeopathic Pharmocopoeia sebagaimana yang ada di negara-negara lain yang memberi garis panduan bagaimana penawar-penawar itu dibuat atau dikilangkan.

Taktik menggembar-gemburkan sesetengah ubat hoemopati itu sebagai dikilangkan oleh kilang bertaraf GMP mengelirukan ramai pengguna, bahkan pengedar barangan itu sendiri.

Pertama urusan pengilangan yang sebenar tidak berlaku. Kedua, kilang GMP tradisional hanya diperiksa dari sudut keselamatan bukan keberkesanan ubat. Ketiga, dalam keadaan bagaimanapun, dispensing penawar homeopati adalah selamat kerana tiada kandungan dadah dan urusan ini boleh dirujuk kepada Bahagian Farmaseutikal Kebangsaan, Pusat Racun Negara atau Kementerian Kesihatan.

Malang sekali dalam perkembangan homeopati di Malaysia, ada syarikat-syarikat ubat tradisional yang tidak mengetahui apa-apa pun mengenai homeopati boleh mengiklankan bahawa mereka mengilangkan penawar homeopati dengan kilang GMP herba.

Ada daripada kalangan mereka tidak mempunyai seorang pengamal pun di pejabat dan tidak mampu melayan sebarang masalah yang dibangkitkan pengguna apabila pertanyaan-pertanyaan dikemukakan oleh pengguna mengenai kesan ubat atau masalah-masalah sampingan lain.

Ini merupakan sesuatu yang mengaibkan pengamal dan Persatuan Perubatan Homeopati di Malaysia.

Tetapi tiada apa pun yang dapat mereka lakukan justeru pihak berkenaan telah tersilap meletakkan perubatan homeopati di bawah sistem perubatan tradisional. Suatu perkara yang tidak wajar berlaku di peringkat awal lagi.

Dalam keadaan perubatan tradisional gah dengan kilang-kilang GMPnya, mereka yang kononnya memperjuangkan homeopati tersepit di antara ketidakmampuan membina kilang sendiri dan akta yang ada.

- MOHAMED HATTA ABU BAKAR, Besut, Terengganu.

Kirim pendapat anda melalui faks 03-92239854

atau pendapat@utusan.com.my

[Utusan Malaysia - 26 March 2002]

 Tidak benar kilang ubat homeopati

                    belum wujud di Malaysia

 

                    Saudara Pengarang,

                    SAYA tertarik dengan tulisan Mohamed Hatta Abu Bakar bertajuk Di sebalik ubat cerdaskan minda, yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Utusan Malaysia 26 Mac, 2002. Saya ingin berkongsi pendapat beliau sambil menambah fakta.

 

                    Memang benar kini terdapat banyak produk yang dikaitkan dengan minda - daripada susu, kain lampin kanak-kanak, hinggalah kepada produk jenis ubatan   berasaskan herba (seperti Gingko, Ginseng), homeopati

dan biokimia.

 

                    Saya tidak tertarik untuk mempersoalkan pandangan penulis tentang kesan produk-produk tersebut. Cuma beliau tersilap apabila menyatakan, ``tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun kilang homeopati wujud di Malaysia.''

 

              Untuk pengetahuan pembaca memang sudah wujud kilang homeopati di tanah air kita ini, iaitu Darulaman Homeopathic Laboratories (M) Sdn. Bhd. (Pendaftaran No. ), yang beroperasi di alamat 58 dan 62, Taman Industri KEDA, Napoh, Jitra, Kedah. Kilang ini, ringkasnya Homeolab, telah beroperasi sejak 1998, dan    mempunyai Lesen Pengilang No. MALLP20000700 serta Sijil PBKD 000554. Homeolab adalah sebuah kilang farmaseutikal yang memenuhi piawaian GMP.

 

          Kini antara keluarannya ialah ubat berasas sistem homeopati, biokimia Schuessler dan herba. Memang      Homeolab berhasrat mengeluarkan tinktur dan remedi   cairan homeopati, ubatan biokimia Schuessler untuk jualan kepada pengamal homeopati di seluruh Malaysia.

 

          Namun demikian buat masa ini pengeluaran adalah terhad kepada kegunaan sendiri dan bekalan kepada Era Edar Marketing Sdn. Bhd. dan cawangan-cawangan klinik Prof Dr Azizan Ismail. Kami tetap menaruh harapan bahawa suatu hari nanti Homeolab berupaya membekalkan ubatan homeopati bagi memenuhi permintaan pengamal homeopati Malaysia.

 

            Penubuhan Homeolab adalah atas usaha yang gigih dan dorongan daripada Prof. Dr. Burhanuddin al Helmi yang telah disampaikan kepada Prof. Dr. Azizan oleh seorang rakan karibnya di Pulau Pinang.

 

            Penaung dan Penasihat Homeolab ialah Prof. Dr. Azizan Ismail dan beliau menyarankan rumusan ubatan homeopati dan biokimia berdasarkan Farmakopeia Homeopati Amerika Syarikat.

 

            Memang terdapat banyak farmakopeia (buku rujukan penyediaan ubatan). Antara yang terkenal ialah

farmakopeia Amerika Syarikat, British, Eropah, Jerman,

Perancis, Itali, Rusia, Pakistan dan India. Sebenarnya kita

tidak memerlukan satu farmakopeia khusus untuk Malaysia, sebab hampir keseluruhan ubat-ubatan homeopati diperoleh daripada kawasan iklim sederhana

dan kajian pengesahannya pun dijalankan di sana. Lainlah

jika kita hendak mengeluarkan ubat-ubatan homeopati

daripada tumbuh-tumbuhan iklim khatulistiwa seperti yang

terddapat di negara kita ini.

 

             Memang ada potensi tumbuhan kita dijadikan ubat homeopati. Akan tetapi tidak perlulah kita ada farmakopeia sendiri, memadai diguna pakai kaedah yang ditunjukkan dalam farmakopeia luar negara.

 

             Seperkara yang harus disebutkan juga ialah bukan suatu hal yang mudah hendak menyediakan ubat homeopati yang boleh dijamin mutu dan efikasinya. Mutu dan efikasi berkait rapat dengan sediaan bahan ubat yang betul, musim memungut dan peringkat pertumbuhan herba, dan tempat dipungut. Juga harus diingat oleh setiap pengamal homeopati tulen bahawa ubat-ubat yang diimport dar negara-negara tertentu tidak semestinya mempunyai mutu yang diharapkan.

 

              Faktor pencemaran udara dan air yang mencemar bahan ubat juga menjadi faktor yang harus diutamakan. Misalnya selepas peristiwa kebocoran kilang nuklear di Chernobil di Ukraine (April 1986), pihak kami terus tidak mendapat bekalan bahan ubat dari Caucasus atau Eropah Timur kerana bimbang akan bahan ubat yang tercemar oleh bahan nuklear.

 

               Demikian juga semasa meletupnya kilang Union Carbide di Bhopal, India (Disember 1984) dan ujian meletupkan bom nuklear di India dan Pakistan (Mei 1998) menimbulkan rasa bimbang akan tercemarnya bahan tumbuhan ubat yang memaksa kami tidak mendapatkan ubat daripada negara-negara tersebut.

 

               Kesihatan pesakit adalah diutamakan, bukan keuntungan semata-mata.

 - JAMALUDDIN MAT PIAH,

                    Pengarah Urusan, Homeolab.

[Utusan Malaysia – 28 March 2002]

 

 

 

Malaysia Perlukan Farmakopeia Homeopati

(die-mail kepada ruangan Forum Utusan Malaysia – tidak disiarkan)

 Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada respons daripada wakil Homeolab. Bagaimanapun nampaknya reaksi daripada pengilang lain, khususnya yang membuat iklan mega di dalam akhbar bukan arus perdana, belum kelihatan. Begitu juga pemerhati lain. Persatuan dan pengamal homeopati, umpamanya….

                  Sebenarnya negara kita memang memerlukan sebuah farmakopeia homeopati. Farmakopeia merupakan suatu buku yang penting, tertinggi dan autoritatif yang dikeluarkan oleh kerajaan sesebuah negara atau badan yang dipertanggungjawabkan oleh pihak kerajaan negara berkenaan. Di dalamnya terdapat fakta saintifik dan logik mengenai peraturan-peraturan penyelarasan bahan-bahan ubat, yang mengandungi arahan-arahan dalam mengumpul bahan daripada pelbagai sumber bagi menyediakan, mengawetkan, menyebatikan dan mengkombinasikan pelbagai ubat-ubatan.

                        Selain sebagai sebuah buku saintifik dan teoretikal, dalam homeopati farmakopeia mengandungi arahan-arahan bagaimana untuk mendispens penawar. Farmakopeia yang diterbitkan oleh badan berautoriti dianggap “rasmi” sementara yang dikeluarkan oleh individu dianggap “tidak rasmi”. Amerika Syarikat, Britain, Eropah, Jerman, Perancis, Itali, Rusia, Pakistan dan India semuanya mempunyai farmakopeia masing-masing.

                  Tanggapan yang menyatakan bahawa “tidak perlulah kita ada farmakopeia sendiri, memadai diguna pakai kaedah yang ditunjukkan dalam farmakopeia luar negara” (tulisan sdr Jamaluddin Mat Piah, Utusan Malaysia 28 March) adalah suatu langkah mundur dan tidak membantu memajukan sebuah negara Malaysia. Alasan-alasan yang dikemukakan untuk tidak mewujudkan sebuah farmakopeia sendiri tidak lebih daripada kenyataan apologi.

                  Sekiranya Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed boleh mengilham dan mengusahakan sehingga Malaysia mampu mengeluarkan kereta nasional hanya selepas beberapa tahun menjadi Perdana Menteri, adalah sangat tidak patut pengamal homeopati ataupun pengilang ubat homeopati masih berdiri dan tercungap-cungap mengatakan “tidak perlulah kita ada farmakopeia sendiri, memadai diguna pakai kaedah yang ditunjukkan dalam farmakopeia luar negara”.

                  Walhal homeopati sudah bertapak di Malaysia selama lebih 50 tahun. Bagaimanakah dalam usia yang begitu lama, kita boleh berdiri di atas paksi yang lama dan sama, tidak maju-maju. Sedangkan pada waktu yang sama para pengamal homeopati memohon kepada Kementerian Kesihatan supaya diploma dan ijazah persatuan diiktiraf sebagai setaraf dengan “doktor” perubatan (???). Saya fikir, sekurang-kurangnya sebagai rakyat Malaysia yang membawa Visi 2020 kita harus mempunyai cita-cita ke arah mewujudkan satu farmakopeia bagi sebuah negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

                  Sekarang hakikatnya, GMP yang diperoleh oleh Homeolab sama saja dengan GMP yang didapati oleh lelain pengilang tradisional, sama ada mereka mengeluarkan penawar ikan linang, minyak gamat, madu halia atau herba pelangsing badan. Dalam keadaan itu, siapa boleh menghalang penawar-penawar homeopati dikilangkan (kononnya) oleh pengilang-pengilang berkenaan. Ini berlaku kerana kilang-kilang GMP mereka berada di bawah piawai yang sama. Dan ujian yang dibuat hanyalah ke atas keselamatan ubat bukan terhadap keberkesanan penawar.

                  Lagipun semua ubat-ubat homeopati dan herba tradisional boleh didaftarkan dengan menghantar borang dan menunjukkan surat persetujuan lantikan dari mana-mana pengilang GMP yang dilantik secara kontrak. Bahagian Farmaseutikal Kebangsaan atau Kementerian Kesihatan tidak memantau sama ada benar atau tidak penawar-penawar itu dibuat di kilang tersebut. Jadi apakah yang hendak digahkan dengan status GMP tradisional pada iklan sekiranya tiada pertanggungjawaban dari segi penggunaannya.

                  Apabila kita bangkitkan perkara ini, tidak pula bermakna kita ingin supaya pihak berkenaan memperketatkan peraturan. Kita tahu bahawa pihak kementerian berbuat demikian supaya tidak menyukarkan pengeluar-pengeluar herba tempatan yang kebanyakannya tidak mempunyai modal yang besar. Mereka tetap boleh mengeluarkan produk mereka walaupun tidak mempunyai kilang khas. Ini juga bagi tujuan memajukan produk herba tempatan di pasaran.

                  Sekiranya kita hendak membezakan penawar homeopati dengan penawar herba dan ubat moden alopati, saya lebih suka menyarankan supaya semua pengamal homeopati di Malaysia berkumpul dan mengusahakan satu cadangan farmakopeia tempatan di mana semua pengilang yang mendakwa mengeluarkan penawar-penawar homeopati mesti mematuhi garis panduan tersebut.

                  Selain itu, piawai bagi sebuah kilang penawar-penawar homeopati juga harus berbeza dengan piawai sebuah kilang herba. Di antaranya, hendaklah dimasukkan ujian keberkesanan terhadap penawar-penawar homeopati yang dikeluarkan. Kaedah ujian keberkesanan itu ialah menerusi amalan ‘ujibukti’ (atau “proving”) kerana semua yang terlibat dalam sistem perubatan ini sedia maklum bahawa itu saja kaedah yang diterimapakai dalam menguji keberkesanan penawar homeopati.

                  Mereka yang tidak mematuhi garis panduan di atas dan tidak menjalankan ujian keberkesanan yang disebut “proving” tidak wajar diberi pengiktirafan, sama ada pengiktirafan penawar itu sebagai penawar homeopati maupun pengiktirafan kilang itu sebagai kilang penawar homeopati. Ini menjamin ketulinan dan kesahihan penawar homeopati yang diproses.

                  Apabila mereka yang berilmu sahaja yang terlibat dalam urusan ini, tentulah pula mereka mempunyai pakar rujuk yang berupaya menangani sebarang persoalan dan masalah berhubung dengan penggunaan penawar yang dikeluarkan itu. Khidmat konsultasi bagi melayani masalah pelanggan apabila membekalkan penawar homeopati sewajarnya menjadi intipati dalam perniagaan barangan homeopati yang bertanggungjawab.

                  Saya percaya usaha murni ini boleh dilakukan, jika kita punya kemauan. Dr. Azizan Hj. Ismail, seorang sahabat dan jutawan homeopati, boleh memimpin jawatankuasa pembentukan farmakopeia ini sekiranya dipersetujui oleh semua pengamal homeopati di Malaysia.  Berfikirlah untuk negara Malaysia. Malaysia boleh. Ahli homeopati bagaimana??

 

 

- Mohamed Hatta Abu Bakar, Besut Terengganu.

 

[Laman web HBI – 12 April 2002]

 

 

Admin HBI ; huzib123@gmail.com

Malaysia Homeopathy Cyber Library edited 2011