AN INTERVIEW WITH

Master Trainer in homoeopathy (6)

at MHVI (in B.Melayu)  -  Mr. Mohamed Hatta, HMD

 Siapa pengamal homeopati sepenuh masa??

Laman Utama

***********

Berapa ramaikah pengamal homeopati sepenuh masa di Malaysia?

Sebelum saya jawab soalan sdr, saya ingin tahu siapakah yang dimaksudkan oleh sdr sebagai pengamal homeopati sepebuh masa itu?

 Sudah tentu saya merujuk kepada pengamal yang membuka klinik dan bertugas sepenuh masa di klinik. Apa…. salahkah tanggapan saya itu?

Pada pendapat saya, soalan sdr sebenarnya keliru dan mengelirukan. Seorang yang membuka klinik tidak semestinya boleh dianggap pengamal homeopati sepenuh masa. Begitu juga seorang yang mengamal homeopati sepenuh masa tidak semestinya membuka klinik (kalau klinik yang sdr maksudkan itu dalam konteks “business clinic”).

 Mengapa begitu?

Biar saya mulakan dengan suatu contoh. Saya pernah jumpa seorang pengamal yang membuka klinik homeopati dari jam 9 pagi sehingga 5 petang. Dalam konteks pendapat kebanyakan pengamal dan pada kaca mata persatuan dia adalah pengamal sepenuh masa. Malangnya ketika saya selesai berurusan di tempat berkenaan, saya melihat ada seorang pelanggan membawa anaknya yang sakit untuk dirawat. Pengamal berkenaan enggan merawat kerana jam sudah pukul lima. Katanya, waktu rawatan sudah tamat dan dia perlu tutup klinik. Dia menyarankan pesakit itu datang semula esok walaupun dirayu oleh pelanggan tersebut.

 Jadi?

Jadi saya banyak berfikir dan membandingkan dengan amalan Dr. Samuel Hahnemann. Akhirnya saya berpuas hati memutuskan bahawa pengamal yang membuka klinik homeopati sahaja tidak layak digelar pengamal homeopati sepenuh masa. Mereka adalah pengamal homeopati waktu pejabat atau pengamal dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Dr. Hahnemann tidak pernah membuka kliniknya untuk waktu-waktu tertentu sahaja. Mereka yang membaca sejarah hidup beliau pasti mendapat banyak cerita yang menunjukkan Dr. Hahnemann merawat tanpa mengira waktu siang atau malam. Sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dan mengetuk pintu rumahnya bagi mendapatkan rawatan akan dibantu.

Itu di zaman Hahnemann yang sudah berlalu 200 tahun dahulu. Apakah sesuai lagi perbandingan itu dengan keadaan sekarang?

Ya. Seharusnya demikian sekiranya kita memahami dan berpegang kepada para 1 Organon of Medicine.

 Apakah yang disebutkan di dalam Organon para 1 itu?

Kata Dr. Hahnemann, “The physician’s high and only mission is to restore the sick health, to cure as it is termed”. Dan sdr harus meneliti perincian atau nota kaki pada buku tersebut. Para pengamal juga wajar merujuk kepada tafsiran yang diberikan oleh Dr. Kent di dalam Lectures on Homoeopathic Philosophy.

 

 

 

 

 Boleh berikan sedikit lagi penjelasan?

Tegasnya kerja seorang doktor homeopati dan tugas merawat hanya untuk menyembuhkan pesakit. Bukan matlamat seorang doktor untuk menjadi popular dengan menunjukkan kepandaian dan pengetahuannya mengenai penyakit. Bukan matlamatnya untuk glamour, mengumpul kekayaan dan wang ringgit. Bukan tugasnya untuk menyibukkan dirinya dengan sebarang kerja remeh.

Maknanya juga, matlamat utama doktor itu seharusnya tertumpu kepada menyembuhkan pesakitnya. Dan dia harus merawat tanpa memilih pesakit. Dia tidak harus mengenakan caj rawatan yang tinggi. Dia tidak boleh melaksanakan dasar rawatan 8 jam sehari tanpa ruang budi bicara. Dia tidak harus memilih waktu untuk merawat pesakit yang memerlukan pertolongan. Dia harus boleh membezakan di antara matlamat bisnes klinik (atau lain-lain bisnes) dengan tugasnya sebagai seorang doktor.

 Mungkinkah seorang yang bekerja dan merawat secara sambilan boleh dianggap pengamal homeopati sepenuh masa?

Sama ada seorang itu bekerja di bidang lain atau duduk 8 jam (bahkan 12 jam) di klinik bukan persoalan. Hakikatnya ialah dia harus bersedia menjalankan tugas sebagaimana yang dinyatakan di dalam Organon. Membuka klinik bukan kriteria utama mendapat title pengamal sepenuh masa. Mereka yang mengguna kriteria itu sahaja dalam mendefinisikan pengamal sepenuh masa adalah mereka yang belum mantap pemahamannya terhadap para 1 Organon.

Seorang yang bekerja boleh menjadi pengamal sepenuh masa sekiranya… dia boleh memainkan peranan sebagai pengamal perubatan di mana dan di dalam situasi mana dia berada. Sama ada di tempat kerja, di rumah sendiri, di rumah jiran atau keluarga, di tengah permusafiran atau di mana saja. Orang sakit tidak mengenal tempat. (Demikian juga doktornya). Di mana-manapun ada orang sakit dan mereka memerlukan rawatan apabila sakit. Bahkan lazimnya apabila mereka ke klinik, biasanya masa sudah terlewat. Pesakit akan mendapat lebih banyak manfaat apabila dibantu dengan segera.

 Saya menjangkakan pandangan tuan ini akan mencetuskan kontroversi.

Sebenarnya bukan kontroversi, tetapi menzahirkan hakikat dan kebenaran.

 Apakah pandangan tuan ini boleh diterima oleh persatuan homeopati di Malaysia?

Terserah. Persoalannya ialah kita harus perbetulkan sebarang persepsi yang salah dan penuh cemburu. Tidak sepatutnya wujud perbezaan kiranya kita ambil kenyataan Dr. Hahnemann sebagaimana teks asalnya. Banyak kelebihan yang boleh disumbangkan oleh pengamal homeopati sepenuh masa yang tidak membuka praktik klinik 8 jam sehari. Paling tidak dia dapat menjimatkan kos pengurusan dan kos rawatan, sekaligus memberi kebajikan kepada pesakit. Demikian juga ia membantu menepis ego pengamal yang hanya mahu merawat di klinik dan lupa akan tanggungjawab kemanusiaannya untuk merawat pesakit di mana saja dia berada dan diperlukan. Caj rawatan dan masa tidak harus menjadi syarat dalam memberi rawatan, khususnya dalam keadaan pesakit terdesak dan memerlukan pertolongan.

Lagipun….., saya menerima kerjaya ini sebagai orang yang ingin berkhidmat untuk homeopati dan kebajikan insan. Mereka (ahli persatuan) juga mendapat ilmu yang pada asasnya diperturunkan oleh Hahnemann. Kalau saya salah saya patut perbetulkan pendirian saya. Kalau mereka yang masih belum jelas, mereka juga harus bersikap terbuka dan bersedia untuk muhasabah.

 Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk kali ini.

Kembali. Demi kemaslahatan masyarakat dan memajukan homeopati, InsyaAllah.