Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

CABARAN 2015:

HARAPAN TINGGI MENGGUNUNG

(Esei HBI - HOMEOLIBRARY)

 

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

PENGENALAN

Selalunya setiap kali menjelang awal Tahun Baru kita cenderung untuk memperkatakan ataupun meletakkan azam baru. Tetapi kali ini kita akan bawa cerita baru yang berbeza kerana perubatan homeopati di Malaysia telah memasuki gerbang baru dan senario yang semakin berubah.

  Dengan lahirnya tujuh graduan pertama Bachelor in Homoeopathic Medical Science (BHMS-HONS) dari Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS) yang sempurna pembelajaran mereka selama empat tahun, maka sekalian yang terlibat di dalam mengusahakan pengiktirafan kelulusan homeopati di bumi Malaysia bukan sahaja menghulurkan ucapan tahniah, tetapi turut berbangga di atas usaha puluhan tahun mereka menjadikan kelulusan homeopati yang diiktiraf di Malaysia menjadi suatu realiti.

  Paling berbangga di antara mereka ialah Ahli Lembaga  Eksekutif Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) dan tokoh-tokoh/pengamal homeopati yang terdahulu termasuk mereka yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita. Dengan lahirnya pemegang ijazah homeopati permata dan bakal-bakal graduan seterusnya, kita akan menyaksikan satu sinar baru dalam sejarah perkembangan perubatan homeopati tanah air. 

  Sebagai pemegang ijazah BHMS yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, mereka bukan saja boleh membuka klinik sendiri seperti pusat-pusat rawatan homeopati yang dikendalikan oleh pengamal-pengamal homeopati sedia ada, malahan mereka boleh diambil bekerja di hospital-hospital kerajaan di bawah skim gaji yang sama dengan pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam yang lain.

PENGALAMAN BARU

  Meskipun mereka merupakan pengamal homeopati yang diiktiraf oleh kerajaan dan dunia akademik, mungkin beberapa perkara harus dilakukan bagi membantu meningkatkan kemahiran mereka di dalam bidang homeopati. Jika tidak, akan terdapat beberapa jurang di antara mereka yang berkelulusan akademik dan pengamal sedia ada.

  Pertama, seeloknya mereka segera terlibat secara praktikal di hospital kerajaan sebagai tambahan kepada housemanship di universiti. Jika tidakpun, mereka boleh bekerja bersama-sama pengamal sedia ada bagi mendapat lebih pengalaman dan banyak kes-kes rawatan. Ini penting kerana dunia pembelajaran di universiti dan latihan sangat berbeza dengan pengamal yang berurusan dengan masyarakat secara harian.

  Kedua, mereka harus melibatkan diri di dalam persatuan sebagai pengamal. Di dalam persatuan, mereka boleh bergaul dalam satu komuniti dan belajar melihat dan menilai di mana mereka boleh turut sama memberi sumbangan dalam membangunkan homeopati. Jika mampu, mereka juga boleh memikul beberapa tanggungjawab di dalam persatuan supaya mereka boleh menjadi pelapis dalam menggerakkan persatuan di masa akan datang.

  Ketiga, harus terbuka di dalam pergaulan dengan pengamal-pengamal sedia ada. Pengamal-pengamal sedia ada pula tidak harus kedekut ilmu atau dari segi yang lain tidak merasa inferiority complex dalam isu kelulusan kepada anak-anak lulusan BHMS CUCMS ini. Melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman praktikal, pemegang BHMS CUCMS akan lebih selesa berada di dalam masyarakat homeopati dan pengamal-pengamal sedia adapun akan mendapat manfaat bersama.

  Keempat, mereka juga harus lebih banyak membaca dan merujuk buku-buku homeopati di samping mempraktik dan menerima kes-kes baru. Harus diingat, ilmu yang diperolehi dalam kelas dan ijazah yang digondol bukan penamat dan mencukupi dalam melalui kehidupan sebagai seorang homeopath.

  Perbincangan dalam penyelesaian kes di dalam kelas harus dibawa keluar ke alam sebenar dengan cara selalu berinteraksi dan berdiskusi, merujuk kepada panduan daripada perbincangan sesama rakan pengamal, buku-buku rujukan atau panduan maya di samping penggunaan repertori.

SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

  Satu perkara penting sebagai insan pengamal homeopati di dalam masyarakat ialah mungkin kita boleh meletakkan garis mula pada waktu ini dan tinjau ke hadapan apakah yang ingin kita capai dalam sepuluh tahun, dua puluh tahun atau sepanjang hidup akan datang.

  Antara lain, wajar kita sama-sama saling ingat-mengingati, bahawa selain mengambil bidang homeopati ini sebagai kerjaya (career), hendaklah kita membawa semangat simpati dan empati di dalam homeopati lebih jauh lagi. Dalam ertikata lain, kita harus bersedia untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan menjadi pengamal di luar batasan.

  Hanya dengan cara ini saja kita boleh membezakan diri kita daripada orang yang mengambil kerjaya ini sebagai tempat mencari makan semata atau daripada golongan yang semata-mata ingin mencetak nama dalam diari perjuangan homeopati

  Dalam kejadian banjir yang buruk yang melanda negara khususnya Kelantan di penghujung 2014 baru-baru ini, banyak khidmat yang boleh diberikan oleh lulusan BHMS (seperti juga pengamal-pengamal lain). Kita boleh membantu memberi makanan, pakaian, ubat-ubatan, konsultasi percuma, mengendurkan kesusahan serta derita keperitan bencana, menyediakan talian bebas untuk panggilan kecemasan/pertanyaan, dan berbagai bentuk pertolongan lain.

   Sebelum inipun, kita pernah mendengar berita pengamal-pengamal sedia ada memikul tugas seperti ini. Pemegang ijazah BHMS harus juga dijinakkan dengan aktiviti-aktiviti seumpama ini supaya dengan itu kita berjaya menunjukkan kehadiran (kewujudan) kita yang bermakna di persada masyarakat Malaysia.

SUMBANGAN KEPADA ILMU

  Di Malaysia perkembangan di dalam ilmu perubatan homeopati boleh dikatakan sangat perlahan berbanding perkembangan ilmu perubatan homeopati di Eropah. Semangat mengembang dan berkongsi ilmu yang ada kebanyakannya adalah di sekitar komuniti homeopati sahaja (di dalam persatuan atau di kalangan keluarga dan sahabat handai masing-masing), dan lebih teruk lagi ialah mereka yang gemar menyimpan ilmu untuk diri sendiri semata-mata.

  Sebagai lulusan homeopati BHMS yang bermutu akademik, mereka harus keluar daripada kepompong ini dan bertindak secara lebih intelek dan bijaksana. Apakah sumbangan dari segi ini yang boleh pemegang ijazah homeopati BHMS lakukan? Antaranya:

  - Mereka harus melibatkan diri di dalam kajian-kajian homeopati yang banyak diabaikan. Kajian-kajian kes dan rumusan-rumusan kes harus diperbanyakkan dengan asas pembuktian (evidence-based). Lebih baik lagi jika kajian-kajian ini dibentangkan di dalam seminar-seminar (kebangsaan atau antara bangsa) dan dibukukan sebagai rujukan autoritatif masa akan datang.

  - Mereka harus meneroka sumber-sumber ubat-ubat baru berdasarkan kekayaan bahan-bahan tempatan. Dengan kemudahan fasiliti di CUCMS atau di makmal-makmal kerajaan dan universiti tempatan, kita percaya perkara ini dapat dilakukan. Masyarakat Malaysia, seperti juga masyarakat India, China dan Eropah, mempunyai banyak sumber herba yang belum diteroka bagi dijadikan penawar homeopati, dibuat proving dan membantu menambahkan stok ubat-ubat homeopati di dalam materia medika.

  - Mereka harus rajin menulis untuk masyarakat. Homeopati bukannya ilmu untuk VVIP atau orang terpilih sahaja. Ada informasi atau maklumat-maklumat yang wajar dimaklumkan kepada masyarakat dan orang-orang awam. Berapa banyak buku-buku berkaitan perubatan konvensional yang telah diterbitkan dan dijual kepada orang awam (dan orang awam membelinya untuk ilmu dan pembacaan), tetapi homeopati sendiri sangat ketandusan dari segi penyebaran/penyampaian ilmu ini, terutamanya dalam bahasa Malaysia.

  - Mereka juga harus mempamerkan suatu kelainan dalam amalan ilmu perubatan homeopati berbanding banyak rawatan alternatif yang lain supaya masyarakat juga jelas bahawa homeopati ini bukan tradisional dan klasik. Ia dibangun berasaskan sains Hahnemann yang amat saintifik serta amalan seni dalam amalan perubatan. Ia hanya berbeza daripada kaedah perubatan konvensional kerana pembuktian sains modern yang diwar-warkan sebagai 'evidence-based' tidak dapat menerima asas pembuktian yang sedia ada di dalam perubatan homeopati itu sendiri seperti potentisation dan Law of Curenya.

SUMBANGAN ALAM DIGITAL/VIRTUAL

  Perkembangan virtual sudah kian pesat. Persatuan dan individu juga telah mengambil inisiatif masing-masing bagi memperkayakan maklumat dengan mewujudkan website persatuan, membuka laman facebook, menghantar sms longgok, iklan produk serta servis dan sebagainya. Tetapi ianya masih jauh daripada mencukupi bagi anggota masyarakat Malaysia yang lebih 28 juta orang, apalagi di luar Malaysia.

  Jika mampu, mereka harus usahakan satu pangkalan data atau rangkaian maklumat bagi carian klinik-klinik homeopati di Malaysia di internet. Jangan jumud dan ego dengan menyenaraikan tujuh orang pemegang ijazah dan bakal lulusan CUCMS sahaja. Lima atau sepuluh tahun lagipun lulusan CUCMS tidak akan mampu memenuhi permintaan hospital kerajaan, apalagi keperluan rakyat Malaysia. Di talian HBI Health & Homoeopathy Centre sendiripun ramai yang selalu bertanya kalau di Kuala Terengganu, di Kelantan, di Melaka, di Johor bahkan di seluruh Malaysia, mereka bertanya: di mana kami boleh dapatkan rawatan homeopati?

  Di manakah pangkalan data homeopati pengamal-pengamal sedia ada di Malaysia, terutama yang boleh diakses oleh pengguna? Mereka dahagakan perkhidmatan, tetapi maklumat tidak ada atau tidak lengkap. Di antara persatuan, apa lagi di antara ahli sebuah persatuan dengan ahli persatuan yang lain belum nampak jelas connectivity atau network yang saling memberi manfaat bersama yang berkesan.

  Andainya network dan saling berhubungan ini bertambah baik lagi, pastinya masyarakat juga mendapat impak yang besar daripada kewujudan sistem perubatan homeopati di Malayisa.

  Demikian juga, sebagai pengamal yang diperakui tahap akademiknya, mereka harus menulis, harus ke hadapan dan harus sentiasa update dengan berita-berita, informasi dan kajian-kaijan terbaru untuk diri, pengamal dan buat paparan masyarakat dan dunia. Apabila terlibat di dalam persatuan, tidak cukup sekadar memaklumkan tarikh seminar, tarikh mesyuarat agung, bercakap di dalam dewan seminar sahaja atau memberi bahan maklumat yang terbatas.

  Kini seharusnya anda sudah mulai berlatih sebagai jurucakap homeopati. Maknanya, andalah yang berada di hadapan, atau bakal berada di hadapan (kerana anda masih memerlukan bimbingan).

  Sekarang dalam usaha memajukan homeopati lebih jauh, kita harus sentiasa bercakap mengenai global untuk global atau sekurang-kurangnya di dalam masyarakat Malaysia untuk Malaysia, bukannya sekadar di kalangan ahli atau rakan facebook. Jika keadaan ini tidak bergerak atau amat perlahan perubahannya, andalah yang harus membantu menggerak dan memajukannya.

  Kawan-kawan, kita sudah berada di dunia tanpa sempadan, bukannya katak-katak di bawah kawah atau kuali lagi. Berubahlah.

PENUTUP

  Jadi, sekali lagi kita petik makna surah al-'Asr "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, Kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh, Dan yang berpesan tentang kebenaran dan yang berpesan tentang kesabaran". (surah ke 103: al-'Asr)

  Selain beriman, marilah kita secara beramai melakukan amal saleh. Secara komited kita berikan sumbangan. Dengan semangat inginkan kebaikan buat semua, buang ego, kedekut, sombong, pemalas, dengki, mengejar duit dan nama semata-mata, kepada melakukan amal saleh dan berpesan tentang kebenaran ilmu, lalu bersabar.

  Marilah kita di tahun 2015 ini membuat suatu perubahan, khususnya anak-anak kita yang baru lulus BHMS dari CUCMS. Benar sekali, harapan kami tinggi menggunung, tetapi semua ini demi perkembangan homeopati yang lebih dinamik dan demi anda peneraju generasi baru.

Salam Tahun Baru 2015 !!!

Sekian. Wa Llahu a’lam.

Referens:

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2015