Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

Penulisan semula sejarah ringkas perkembangan homeopati di Malaysia ini dibuat bagi tujuan mengemaskini penulisan sejarah perkembangan homeopati di Malaysia seperti yang terdapat di dalam buku "Perubatan Homoeopati" yang diterbitkan pada tahun 1997.

PENULISAN SEJARAH BARU HOMEOPATI 2016:

PERKEMBANGAN MUTAKHIR HOMEOPATI DI MALAYSIA

(Esei HBI - HOMEOLIBRARY)

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

PENGENALAN:

Homeopati Sebelum Perang Dunia

            Homeopati dilaporkan telah dibawa masuk ke Malaysia oleh orang-orang India sejak sekitar tahun 1912 lagi tetapi ianya tidak dikembangkan. Rekod secara tepat tidak diperoleh melainkan ada disebut di dalam tulisan esei Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Laman web Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) menyebut bahawa pada tahun 1920 hingga 1928, Rev Fr John Leo Quinn telah mempraktik homeopati di Priest Residence dalam premis St Theresa’s Church di Tambunan, Sabah. Kemudian amalan homeopati juga dipraktikkan oleh Col Dr Azim S. Rajah, iaitu seorang pegawai militari British berbangsa India di Johor Bahru, Johor.

Penemuan naskhah tulisan jawi “Buku Keputusan Elmu Dukun (Homoeopathy)” yang dipercayai ditulis oleh murid atau orang paling hampir dengan Prof A.S. Rajah yang dicetak pada tahun 1935 memberi petunjuk bahawa kuliah homeopati pernah dibuat lebih awal darripada yang dilaporkan oleh Prof Mohd Nor Noordin. [1]

Jika satu ketetapan boleh dibuat, Prof A.S. Rajah boleh dianggap sebagai pelopor atau pengasas kepada pengajaran homeopati di Malaysia. Tarikh tahun 1928 (seperti yang tercatat dalam laman web MPHM) boleh dianggap sebagai tahun bermulanya praktik homeopati yang diasaskan oleh Prof A.S. Rajah.

Ini bukanlah bermakna kita memperkecilkan peranan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Sebagaimana umum menerima bahawa perubatan homeopati telah diperkenalkan oleh Dr. Burhanuddin,  bolehlah kita nyatakan bahawa homeopati telah diasaskan secara sistematik oleh seorang tokoh yang amat berjasa kepada tanah air iaitu Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969).

Dr. Burhanuddin bukan sahaja seorang tokoh yang bergiat cergas dalam organisasi politik dan agama ketika itu, bahkan salah seorang pengasas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pernah menjawat jawatan presiden Partai Islam Se Malaysia (PAS). Sementara dalam lapangan homeopati beliau juga memberi impak berdasarkan peranan, idea-idea, kata-kata dan tindakan-tindakannya.

Homeopati  diperkenalkan semula secara tersusun di Tanah Melayu oleh Dr. Burhanuddin apabila beliau pulang ke Malaya pada tahun 1929 dan dilaksanakan selepas perang Dunia Kedua.  Bukti menunjukkan bahawa beliau merupakan graduan daripada Ismaeliah Medical College, New Delhi. Tempat beliau belajar homeopati tidak dapat dketahui dengan pasti.

Berdasarkan keterangannya, homeopati begitu berjasa kepadanya  kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit lelah yang dialaminya.  Selanjutnya, pada tahun 1937 hingga tahun 1942, beliau bersama Prof. Dr. Rajah membuka Gedung Homeopati  di Singapura dan Johor Bharu. 

Homeopati Selepas Perang Dunia Kedua

        Usaha atau aktiviti Gedung Homeopati yang disebutkan dibuka bersama Prof A.S.Rajah terhenti apabila Dr. Buhanuuddin sibuk  menguruskan soal-soal agama dan  tanah  air.  Malah beliau  pernah ditahan selepas tragedi NATRAH di Pulau Sekijang, untuk tempoh Ogos 1951 - Sept. 1952.

Pada akhir tahun 1952, beliau mula kembali mengamal dan menggunakan penawar homeopati dengan memberikan banyak pertolongan  kepada keluarga dan sahabat handai.  Kemudiannya, dalam pertemuan dengan beberapa orang pemuda, beliau mencadangkan supaya ilmu perubatan homeopati dipelajari dan dikembangkan sehingga menjadi perubatan nasional bagi negara Malaysia Merdeka.  (Idea beliau sebagaimana dicatat oleh Prof Mohd Nor ini merupakan idea yang amat tinggi dan mempunyai intipati cita-cita yang dalam - pen.)

Berdasarkan tulisan Prof. Dr. Mohd Nor, selepas lebih enam bulan, barulah dapat dikumpulkan seramai dua belas orang penuntut.  Pada 15 hb. Dis. 1953, Dr. Burhanuddin telah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran Singapura untuk mengajar dan mempraktik homeopati.  

Dalam surat jawapan terhadap permohonan itu, disebutkan bahawa  amalan  mempraktik homeopati  tidak  diiktiraf  dan kerana itu lesen mempraktik homeopati tidak perlu dikeluarkan. Ini juga bermaksud bahawa hasrat bagi menjalankan kuliah rasmi perubatan homeopati boleh diteruskan. Namun pengamal homeopati tidak boleh didaftarkan sebagai  Medical Practitioners  mengikut  Medical Registration  Ordinance  dan tidak boleh dipanggil “Doktor.”

Penubuhan Pusat Pengajian dan Persatuan Homeopati   

            Oleh kerana tidak ada sebarang masalah dalam mempelajari dan mempraktikan amalan perubatan homeopati, bagi pengikut generasi pertama homeopati, tahun  1953/1954 dianggap sebagai tahun yang bersejarah  dalam tinta tanah air.  Pada tahun tersebut, lahirlah sebuah institusi  atau pusat pengajian homeopati yang pertama secara informal di rumah Dr. Burhanuddin sendiri iaitu Kampung Pachitan,  Singapura.

Tulisan daripada pengamal dan makalah persatuan mencatatkan bahawa dua belas orang pemuda yang menjadi perintis dan mengikut kuliah homeopati secara langgsung daripada Dr. Burhanuddin. Nama-nama itu termasuklah Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin, Dr. Hj. Dali b. Hj. Muin,  Dr. Mohammed Hj. Yaakub dan Dr. Abd.  Rahman  Hj. Hashim.

Teks yang digunakan dalam kuliah homeopati bagi generasi  pengasas pada  waktu itu terdiri daripada:  The Organon of Medicine (Hahnemann); Materia  Medica (Nash, Kent, Chauldry);  Philosophy (Kent); dan The Chronic Diseases (Hahnemann). Tetapi Dr. Mohd Nor Noordin turut menyenaraikan kitab Hadis Arbain dan Muqaddimah (Ibnu  Khaldun) sebagai antara buku-buku bagi subjek tambahan dalam kuliah Dr. Burhanddin. 

Keterangan Dr. Mohd Nor juga menyyebut bahawa asas sumpah Hippocrates yang masyhur telah dijadikan asas “Janji Setia”. Justeru itu, setiap pelajar perubatan homeopati: harus menganggap Gurunya sebagai Bapa dan anak mereka sebagai saudara kandung, sanggup memandang sesama sendiri sebagai keluarga; berjanji tidak memberi “Drug” yang membahayakan serta membunuh kepada pesakitnya; berjanji tidak memberi ubat bagi menggugurkan Janin dalam kandungan; menjaga kehormatan seni rawatan dengan penghormatan yang tinggi; dan sentiasa sedia memberi khidmat di mana sahaja dia berada.

Meskipun ilmu perubatan homeopati tersangat baru dan pelbagai anggapan negatif dihadapi, tetapi Dr. Burhanuddin menjelaskan betapa pentingnya menyemaikan ilmu kepada anak bangsa terutama  ilmu  berkaitan dengan kesihatan sebagai melengkapkan pengisian  kemerdekaan suatu bangsa.  Kerana itu, dalam ucapan pembukaan kuliah sulungnya, beliau menyatakan:

            “.......  saya berpendapat, ilmu kedoktoran homeopati ini adalah satu milik bangsa (national asset) yang dapat saya sembahkan menjadi  pusaka kekal buat negara yang merdeka kelak.”

            “Selain dari itu yang menjadi pilihan saya kepada homeopati ialah kerana pengalaman saya mengidap penyakit  lelah di mana puas saya berubat dengan ubat-ubat lain tetapi  tidak mahu sembuh.  Tetapi setelah saya mencuba ubat homeopati, maka  idapan saya yang selama ini tidak  baik-baik,  telahpun pulih.”

            “Oleh itu, saudara-saudara perintis adalah merupakan angkatan yang menjadi harapan bangsa di masa akan datang. Apa lagi ilmu kedoktoran ini adalah satu cabang ilmu mengikut aliran tabii semula jadi.  Oleh itu ia merupakan suatu sistem yang sejajar dengan kehendak nature.”

Kuliah-kuliah homeopaati bergerak cergas di pusat Malaysia Health Centre (MHC) di 107, Jalan Sultan Singapura.  Pada tahun 1957 terdiri pulalah Dewan Kesihatan Melayu di Singapura dan Dewan Tata Hidup di Kuala Lumpur. 

Semangat  memperkembangkan homeopati  semakin  mendapat perangsang  apabila  Dr. Corea datang melawat Malaya secara rasmi  dengan  tugas Congress Perubatan Homoeopathy Sedunia pada masa Malaya Merdeka.  Dr. Edward Mac. Heyzer yang pernah bertugas  sebagai doktor dan surgeon tentera dalam angkatan tentera British semasa perang Jepun turut aktif membantu memperluas dan memperkenalkan homeopati di hospital dan golongan terpelajar.  Beberapa orang India yang mempelajari homeopati juga membantu dengan  bertindak secara layman physician dalam memberi rawatan atau membuka kedai-kedai ubat homeopati.

Pada  tahun  1960,  berkumpul pula para pendokong dan perintis homeopati di Kuala Lumpur untuk memikirkan nasib dan matlamat sistem perubatan homeopati serta menggariskan perjuangan untuk dekad-dekad akan datang.  Berkat azam yang kuat dan sama semuafakat, maka tertubuhlah sebuah persatuan homeopati yang pertama di Malaysia yang dikenali dengan nama “Persatuan Homoeopathy Malaya” (Homoeopathic Society of Malaya).

Persatuan Homeopathy Malaya

            Persatuan Homoeopathy Malaya didaftarkan secara rasmi  pada tahun 1961 di mana Presiden pertamanya ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri.  Setiausaha agungnya, Dr. Mohammad bin Hanif  dan  Bendahari agungnya ialah Dr. Yaakob Ibrahim.   Ahli-ahli jawatankuasa yang lain termasuk Dr. Rahmat b. Ma’dom,  Dr. Rashad  Shamsuddin, Dr. Abd. Rahman Hashim, Dr. Bahrom Shah dan Dr. Ismail b. Muhammad. Ibu pejabat persatuan homeopati di waktu itu ialah di 38-B Jalan Hale (Raja Abdullah) Kuala Lumpur.

Di dalam ucapan semasa merasmikan persatuan ini, Prof. Dr. Burhanuddin menggariskan tujuan dan matlamat persatuan homeopati sebagai:

-        Mendirikan dan memajukan perubatan homeopati dan lain-lain cara tabii.

-        Menggalak dan meninggikan kesihatan, kewarasan,  kecerdasan rohani dan jasmani.

-        Mengadakan kemudahan bertukar fikiran dan pengetahuan antara ahli dan orang ramai dengan mengadakan ceramah dan lain cara yang halal.

-        Memajukan kepentingan bersama, meninggikan akhlak dan pelajaran.

-        Menanam semangat dan kemahuan untuk memajukan diri sendiri dan mengajarkan kepada ahli akan kegiatan-kegiatan homeopati.

Persatuan yang ulung ini membuka keahliannya kepada tiga jenis keahlian ialitu: ahli penuh, ahli bersekutu dan ahli penyokong di mana hanya orang yang mempunyai kelayakan sahaja diterima sebagai ahli penuh. Bersama dengan itu juga, Dr. Burhanuddin menganjurkan agar pusat-pusat rawatan homeopati ditubuhkan. Di samping memberi rawatan, pusat-pusat ini juga boleh menjadi tempat-tempat latihan kepada pelajar-pelajar homeopati.

Jasa Dr. Burhanuddin seterusnya ialah menyuarakan isu-isu homeopati beberapa kali di Parlimen semasa beliau menjadi ahli parlimen bagi tahun 1959-1964.  Suaranya yang lantang membolehkan aktiviti mengembangkan ilmu perubatan homeopati bergerak ke seluruh negara.  Kemudian dalam mengembangkan homeopati seterusnya beliau berusaha mengumpulkan pelajar-pelajar yang setia untuk mengikuti kuliah homeopati di Ehya Assharif Gunung Semanggol, Perak. 

            Tidak banyak tulisan-tulisan yang memperincikan kegiatan pengembangan  ilmu perubatan homeopati yang dilaksanakan oleh beliau di tahun-tahun berikutnya.  Akhirnya, pada 25 hb. Oktober 1969,  Dr. Burhanuddin pulang ke rahmatuLlah setelah berjaya menaburkan banyak  jasa-jasa  kepada masyarakat,  orang  Melayu,  Islam, politik tanah air dan tidak ketinggalan mewariskan amalan perubatan homeopati.  Justeru banyaknya jasa-jasa beliau seperti yang disebut-sebut dalam sejarah tanah air sebelum dan selepas  merdeka, maka beliau masih dikenang hingga ke hari ini.

Perkembangan Homeopati Selepas Dr. Burhanuddin

            Pemergian Allahyarham Dr. Burhanuddin memang sukar dicari ganti.  Tetapi demi untuk menerajui persatuan yang masih muda, lantas kepimpinan persatuan diberikan kepada timbalannya iaitu Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin.  Pergerakan homeopati dikatakan bergerak lebih aktif lagi selepas itu dengan menambah bilangan peminat dan  penyokongnya.  Pada tahun 1979, Persatuan Homeopathy Malaya diubah namanya  kepada  Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysia Homoeopathy Medical Association) atau ringkasnya PPHM.

Di bawah pimpinan Dr. Mohd. Nor, persatuan ini dikatakan semakin menggiatkan aktivitinya dengan menganjurkan ceramah, seminar dan memberi kuliah. Keadaan ini terutamanya berlaku apabila pusat-pusat rawatan homeopati mula tumbuh dengan pesatnya di Kuala  Terengganu, Guar Chempedak (Kedah), Parit Buntar, Krian (Perak), Muar (Johor),  Jasin (Melaka), Sungai Besar, Klang, Sekinchan (Selangor), Kota Bharu dan lelain tempat lagi di mana perkhidmatannya mendapat sambutan.

Pada tahun 1980an, persatuan ini juga mula mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan banyak seminar-seminar yang diadakan turut dinaungi oleh tokoh-tokoh  politik. Dengan pertolongan pengamal-pengamal seperti Dr. Dali, Dr. Abd. Ghani, Dr. Nik Omar, Dr. Teo, Dr. Ghulam Rasool dan ahli jawatankuasa PPHM 1970-1984, diberitakan bahawa homeopati berjaya  dikembangkan hingga ke universiti-universiti, terutama di UTM. 

Selain daripada perkembangan yang dialami di dalam pertubuhan PPHM, satu lagi trend baru mula berputik pada waktu itu. Trend yang diimaksudkan itu ialah tumbuhnya usaha dan semangat daripada kalangan pengamal bagi menubuhkan persatuan lain selain daripada PPHM. 

Lalu tertubuhlah persatuan homeopati di Selatan Tanah Air yang diasaskan oleh Dr. Mohamad Hj. Yaakob yang menubuhkan Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM) yang beroperasi menerusi ibu pejabat di Johor Bahru. Kemudian lahir pula Persatuan Pengamal-pengamal Perubatan Homeopathy Berdaftar Malaysia (MRHP) di bawah Dr. Nik Omar di Kota Bharu dan Persatuan Pengamal Perubatan Homeopathy Malaysia (PPPHM) yang  berpusat di Alor Star, Kedah. Persatuan PPPHM yang diasaskan oleh K. Mathiya kemudian menukar nama persatuan mereka kepada Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia.

Usaha Awal Penyatuan Semula Persatuan-persatuan Homeopati Dan Aktiviti Persendirian

            Aktiviti menubuhkan persatuan baru sama ada khusus berkaitan  homeopati ataupun bergabung dengan amalan perubatan alternatif lain berkembang sehingga ke alaf baru. Sedangkan pada waktu sama terdapat keperluan untuk bergabung di bawah satu payung supaya kerja-kerja untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia boleh dijalankan dengan lancar.

Pernah berlaku di mana kata sepakat dicapai antara PPHM dan PPHBM untuk menyelaraskan daya usaha dan tenaga serta menyambung amanah al-Marhum Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dengan bergabungnya kedua-dua kesatuan itu menubuhkan Majlis Homeopati Kebangsaan  Malaysia pada 11 April 1993. Bagaimanapun, tanpa kerjasama daripada persatuan lain, gabungan itu tidak mampu bertahan lama.

Bagaimanapun, sebagai persatuan homeopati paling tua, PPHM meneruskan aktivitinya seperti biasa. Pada tahun 1998, PPHM mengambil inisiatif menjalin usaha kerjasama dengan Fakultas Kedoktoran, Universitas Sumatera Utara (USU) Medan, Indonesia bagi tujuan memartabatkan taraf diploma perubatan homeopati dengan tujuan melahirkan graduan-graduan yang memegang Sarjana dan Ijazah Perubatan Homeopati.

Dalam suasana di mana kedua persatuan homeopati memperjuangkan untuk memartabatkan graduan perubatan homeopati, MRHP berjaya menonjolkan diri daripada segi perkembangan homeopati di mata masyarakat dengan menjalankan aktiviti yang bersifat komersil selain aktiviti  biasa memberi kursus dan ceramah seperti PPHM.  Banyak  barangan atau hasil keluaran homeopati daripada persatuan tersebut mendapat tempat di hati masyarakat.  Ini termasuk juga aktiviti dan usaha MRHP mengadakan seminar antarabangsa homeopati AHML dan membantu masyarakat Selatan Thai sewaktu mengalami banjir serta mangsa peperangan saudara di Afghanistan. 

Sementara penerokaan kursus jarak jauh dan penerbitan majalah  “Utusan Kesihatan” PDHM di Kedah turut membantu menghebahkan homeopati kepada umum. Meskipun PPHM yang bersikap tradisional mengkritik dan enggan mengiktiraf kursus seumpama itu, namun ia turut  berperanan membantu memperluaskan ilmu perubatan homeopati di mata masyarakat.  Dalam hal ini, pelantikan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah sebagai penaung PDHM mungkin membantu persatuan tersebut dalam kelangsungannya.

Selain itu, terdapat  aktiviti-aktiviti pengembangan homeopati yang dijalankan secara bersendirian.  Ini berlaku menerusi pembukaan pusat-pusat rawatan, pengeluaran  produk baru homeopati, jualan langsung (direct selling),  penerbitan majalah/makalah dan seumpamanya.  Walaupun aktiviti-aktiviti secara bersendirian tidak digemari oleh persatuan dan mungkin menimbulkan natijah sampingan, sedikit sebanyak ia telah membantu  menyebarkan  ilmu  perubatan  tersebut.  

Aktiviti Keusahawanan Dalam Homeopati

             Pengamal yang paling ketara memberi sumbangan dalam aktiviti homeopati yang bercirikan keusahawanan ini ialah pengasas Syarikat Sistem Era Edar Sdn Bhd yang dipelopori oleh Dr. Azizan Hj Ismail. Syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1990, meskipun aktiviti homeopati Dr Azizan sudahpun bermula lebih awal lagi. Beliau telah memulakan bisnes dan membuka kilang homeopati pertama bagi menjalankan kajian dan mengeluarkan ubat-ubat homeopati untuk pasaran awam sejak tahun 1994 dengan penubuhan Homeofarma Sdn Bhd.

Aktiviti yang bercirikan keusahawanan ini akhirnya menjadi ikutan beberapa pengamal lain. Ini termasuklah Farmina Bio Plus Industries & Consultants Sdn Bhd. Kesemua usaha-usaha keusahawanan ini menyasarkan kepada pasaran awam dengan membuat produk-produk kombinasi homeopati.

Usaha berbentuk kajian tentang ubat-ubat baru homeopati, mengilang dan memasarkan bahan-bahan seperti dilutions, globules, lactos dan sebagainya untuk kegunaan pengamal homeopati tidak menjadi keutamaan kerana kosnya tinggi berbanding dengan bekalan homeopati yang boleh didapati dari Pakistan, India atau United Kingdom.

Pada pertengahan tahun 1980an, Malaysia sudah mempunyai pengimport utama daripada Pakistan yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Homeopathy Mulia. Tetapi bagaimanapun, sehingga ke hari ini, nampaknya peranan membawa masuk atau mengimport bekalan farmasi bahan-bahan untuk pusat rawatan homeopati masih lagi bergantung kepada peniaga yang berasal daripada India dan Pakistan.

Penerbitan Buku-Buku Dan Saluran Informasi Homeopati

Banyak makalah-makalah awal diterbitkan sejak penubuhan Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (PPHM) dengan edaran buletin yang terhad. Sasaran penerbitan untuk awam tidak menjadi keutamaan pada era sehingga penghujung abad ke 20. Ada juga usaha individu pengamal homeopati dan persatuan menebitkan buku-buku homeopati, tetapi penerbitan buku-buku homeopati selalunya setakat pengeluaran sebanyak satu atau dua buah sahaja kerana ia dilihat tidak komersial dan menguntungkan.

Tetapi, usaha menggalakkan perluasan dan penyebaran ilmu perubatan homeopati melalui penerbitan buku-buku dan laman-laman ilmu homeopati secara online telah dimulakan secara berfokus oleh syarikat HBI Health & Homoeopathy Centre yang menubuhkan pusat pertamanya di Banting, Selangor. Usaha itu bermula sejak tahun 1997 sehingga ke hari ini, dan syarikat HBI telah menerbitkan lebih daripada sepuluh buah buku-buku homeopati untuk rujukan pengamal, pelajar dan awam.

Kendatipun, mutakhir ini, hampir semua pengamal sudah semakin terbuka untuk memperluaskan pasaran dan saluran informasi secara online. Tetapi fokus untuk penerbitan dalam bentuk buku bercetak masih kurang. Ini berlaku kerana kos untuk menyediakan saluran informasi secara virtual tidak memerlukan belanja yang besar berbanding dengan usaha percetakan.

Penubuhan Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM)

Pada tahun 2001, selepas Majlis Homeopathy Kebangsaan Malaysia (MHKM) dibubarkan, wakil-wakil pelbagai persatuan homeopati bertemu kembali bagi menubuhkan Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM). Di dalam pertubuhan baru ini, lima buah persatuan telah bergabung iaitu Persatuan Pengamal Perubatan Homeopathy Berdaftar Malaysia (3HBM or MRHP), Persatuan Iktisad Homeopathy Malaysia (Polycrest), Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM), Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (PPHM), and Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia.

Tetapi sekali lagi krisis berlaku di mana tiga buah persatuan homeopati keluar daripada MPHM pada tahun 2003. Tetapi beberapa persatuan lain termasuk Persatuan Homeopathy dan Biokimia Malaysia kembali bergabung dengan MPHM. 

Oleh kerana sejak tahun 1990an, Kementerian Kesihatan Malaysia berhasrat untuk menyelaras semua jenis amalan perubatan alternatif di Malaysia, lantas Bahagian Perubatan Tradisonal dan Komplementari di Kementerian Kesihatan Malaysia ditubuhkan pada tahun 2004.

Pada tahun 2007 pula, kriteria dan amalan standard dalam amalan perubatan Tradisonal dan Komplementari diluluskan di peringkat Kementerian, termasuk program peringkat ijazah perubatan homeopati. Selepas beberapa pertemuan dengan wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, MPHM sahaja yang diiktiraf sebagai penaung semua persatuan homeopati. Oleh itu, semua pengamal harus mendaftarkan diri di bawah MPHM.

Pengiktirafan Kursus Perubatan Homeopati

Meskipun kursus-kursus perubatan homeopati masih berjalan di dalam persatuan homeopati tertentu, sekarang jelas bahawa semua kursus diploma atau ijazah lain yang dilaksanakan melalui persatuan tidak mendapat pengiktirafan Kementerian. Hanya kursus ijazah yang akan dkeluarkan menerusi institusi yang diiktiraf, iaitu Cyberjaya University College of Media Sciences (CUCMS) yang bakal diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sementara itu, pengamal sedia ada dan mempunyai sijil dan ijazah persatuan terdahulu dibenarkan terus mengamal homeopati berdasarkan sijil sedia ada dengan syarat mereka harus mengikuti program anjuran MPHM dan KKM dari masa ke semasa. MPHM diberi peranan untuk mengawalselia semua pengamal homeopati yang menjalankan praktis di Malayisa

CUCMS yang dibenarkan beroperasi memulakan program Bachelor of Homeopathic Medical Science mulai tahun 2010 telah mendapat bantuan awal daripada Dr. Suriyakhatun Osman dan pihak MPHM untuk membangunkan modul yang standard dan bersesuaian. Pengambilan pelajar juga harus mengikut kriteria seperti kursus-kursus lain di CUCMS. 

Dengan pengambilan pertama pelajar peringkat ijazah pada tahun 2010, CUCMS telah berjaya menyempurnakan tugasnya apabila lapan orang graduan homeopati tamat pengajian masing-masing pada tahun 2014 dengan cemerlang.

Salam Tahun Baru 2016 !!!

Sekian. Wa Llahu a’lam.

Referens:

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2016