Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

Artikel ini bertujuan mengembalikan siri interview dengan pengamal homeopati prolifik Malaysia yang pernah ke udara di layar virtual suatu waktu tika internet masih bertatih.

HOMEOPATI DI MALAYSIA HILANG MOMENTUM:

An Interview with Master Trainer of Malaysia Homoeopathy Cyber Library, Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

 

oleh:  Pengendali laman MHCL (30 Nov 2016)

 

Apa maksud tuan apabila tuan menyebutkan bahawa homeopati di Malaysia sudah hilang momentum?

        Maksud saya bukan hilang langsung. Perkembangan perubatan homeopati masih berlangsung terus. Tetapi kita semua harus menerima hakikat ini. Iaitu perkembangan homeopati sudah tidak serancak dulu. Justeru saya mengatakan bahawa homeopati sudah hilang atau merosot momentumnya.

Apakah tuan doc mempunyai bukti?

        Kita mungkin tidak perlu menyebutnya sebagai bukti. Tetapi fakta. Maksud fakta di sini ialah dari segi aktiviti, perhatian media terhadap perkembangan homeopati, penganjuran-penganjuran persidangan, pengeluaran majalah-majalah persatuan, tulisan-tulisan berinformasi (di akhbar atau internet), kajian-kajian atau penemuan baru, momokan atau promosi terhadap produk-produk homeopati secara agresif, dan yang seumpamanya.  

Mengapa agaknya berlaku demikian?   

        Satu faktor paling utama ialah kerana kita sudah kehilangan tokoh-tokoh berkaliber.

        Umpamanya, di tahun-tahun 50an dan 60an dahulu, kita ada Prof Dr. Burhanuddin dan dua belas pengikut-pengikut setianya. Banyak aktiviti bercorak kursus-kursus dan rekrut pelajar baru dibuat dari masa ke semasa. Ada kelas-kelas homeopati hujung minggu dan seminar bermusim. Ada pergerakan ke arah penubuhan persatuan dan penerokaan ke institusi bagi mendapatkan pelajar yang betul-betul berminat dan terbaik. [itu aktiviti baru pada waktu iti]

        Kemudian, pada tahun 1970an, apabila tampuk persatuan tertua (PPHM) berpindah kepada pengganti Dr. Burhanuddin, iaitu Dr. Mohd Noor Nordin, kerancakan aktiviti diteruskan. Masa itu, kita juga ada Prof Dr. Mohamad Yacob yang mempunyai pengaruh dan pengikut yang besar di selatan tanah air, juga ada Dr. Dali Mun, Dr. Teew Lian Eng dan lain-lain.

        Pada waktu itu pula kita melihat kelahiran tokoh-tokoh baru yang merancakkan lagi senario perkembangan homeopati di Malaysia. Mereka ini termasuk Dr. Nik Omar, Dr. Azizan Ismail, Dr. Zuhairni. Kehadiran mereka ini tepat dalam masa homeopati sedang bangkit dan meluaskan daerah perkembangannya. Di saat kebangkitan mereka dan persatuan mereka masing-masing, juga tumbuh satu lagi persatuan di bawah Dr. Mathiya di Alor Setar Kedah.  

Bukankah pada masa itu banyak isu ketidak-selarasan atau pergaduhan?

        Bagi saya, itu perkara biasa dalam memberikan momentum. Ketidak-sefahaman dan bibit-bibit ketidak-selarian inilah yang.menjadikan perkembangan itu menarik. Ia bukannya satu tragedi. Ia menunjukkan (i) keghairahan masyarakat terhadap amalan perubatan homeopati dan (ii) semangat mereka yang ingin belajar serta memberi khidmat kepada sanak-saudara, sahabat-handai dan orang ramai semakin tinggi.

        Di masa itulah jumlah pengamal semakin meningkat, kursus kian banyak, pelanggan-pelanggan bertambah dan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap homeopati juga berkembang. Di sana orang memberitakan aktiviti baru, di sini ada produk homeopati terbaru, di tempat lain aktiviti bantuan kesihatan masyarakat sedang berjalan.

Saya keliru sedikit dengan penjelasan doc. Boleh jelaskan.

         Saya ambil beberapa contoh. Pertama sekali ialah Dr. Nik Omar. Saya percaya amat ramai yang mempunyai pandangan berbeza dan berseteru dengan beliau. Bahkan ramai pengamal juga yang mengatakan beliau banyak memanipulasi data bagi tujuan menaikkan nama dan persatuan atau fakultinya. Peranan Dr. Burhanuddin mungkin telah diperkecilkan.

        Tetapi cuba kita perhatikan sumbangan beliau. Beliau membuat (i) banyak aktiviti bantuan kepada masyarakat setempat dan luar negara, (ii) mempunyai pelajar yang ramai dan rangkaian klinik yang banyak (bersekali dengan pelajarnya), (iii) mengembangkan akupunktur selari dengan perubatan homeopati (iv) berjaya menganjurkan persidangan antarabangsa Asian Homeopathic Medical League  beberapa kali, dan (v) beliau juga berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku dan beberapa kompilasi kertas kerja persidangan dan majalah.

        Penting juga kita sedar bahawa dengan adanya Dr. Nik Omar, banyak berita-berita homeopati keluar dalam akhbar.  Jangan salah anggap pula ya. Saya bukan pengikut Dr. Nik Omar. Saya hanya menonjolkan perkara-perkara positif yang dibuat oleh beliau yang menyebabkan momentum perkembangan homeopati diberi perhatian oleh masyarakat Malaysia.

        Demikian juga dengan Dr. Azizan. Saya tahu bahawa keterlibatan Dr. Azizan dalam bisnes, menubuhkan kolej homeopati sendiri, dan kemudiannya mengeluarkan produk kombinasi berdaftar memang tidak digemari oleh persatuan-persatuan homeopati pada awalnya. Tetapi semua itu telah menjadi sejarah. Kita lihat aktiviti beliau semakin diterima oleh masyarakat. Beliau telah menunjukkan kepada umum bahawa seorang pengamal homeopati juga boleh jadi jutawan dan memiliki rangkaian perniagaan yang besar dan berjaya. Sekurang-kurangnya, beliau berjaya menubuhkan sebuah kilang bertaraf GMP untuk produk homeopati.

        Bukankah kejayaan Dr. Azizan itu dicemburui oleh pelbagai pihak dalam homeopati? Bukankah beliau telah menjadi idola bagi mereka yang juga ingin berjaya sama dalam amalan homeopati, dalam bisnes dan dalam mendirikan kilang homeopati.?

Jadi doc berpandangan semua itu memberikan momentum terhadap perkembangan homeopati

        Ya. Semua itu sama-sama membantu membawa homeopati ke layar perhatian masyarakat terhadap homeopati. Ia menyebabkan homeopati menjadi sesuatu yang takjub dan membanggakan.

        Kita tahu Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia juga banyak membuat aktiviti-aktiviti. Ia meneruskan agenda Dr. Burhanuddin al-Helmy. Baguslah tu. Tetapi persatuan tertua itu tidak dapat membuat semua perkara. Kita memerlukan orang-orang yang berkaliber ini bagi merancakkan perkembangan homeopati. Demikian juga dengan Dr. K. Mathiya. Tentu ramai yang tidak selari pendapat dengan beliau. Tetapi beliau juga mempunyai pengikut yang ramai.

        Beliau berjaya mengambil Duli YAM Sultan Kedah menjadi penaung Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia ketika itu. Beliau juga berjaya menerbitkan dan mengedar majalah Utusan Kesihatan ke seluruh Malaysia dan menjadikannya popular buat sementara. Kaedah kursus gaya pos yang dijalankan beliau juga mendapat sambutan. Tidakkah itu semua membantu momentum perkembangan homeopati di Malaysia?

        Samalah juga dengan Dr. H. Zuhairni. Beliau juga gemar menguar-uarkan aktiviti-aktiviti dan produknya di media akhbar dan internet.

Kalau begitu, peranan HBI dan doc sendiri boleh disebut.

        Sudah tentu boleh dimasukkan, kalau ada orang ingin menganggapnya sebagai antara faktor yang memberikan momentum. Tetapi tidak layaklah saya memperkatakannya sendiri. Mungkin perkara itu kita boleh bicarakan di waktu yang lain. Mungkin juga oleh orang lain.

Kembali kepada isu di sini? Apakah sekarang sudah tidak ada momentum?

        Bagi saya, faktor yang meneruskan apa yang ada masih ada. Pembaharuan dari segi penerimaan KKM terhadap amalan perubatan homeopati, kejayaan penubuhan Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia, akreditasi lulusan universiti kolej CUCMS Cyberjaya, kejayaan mengadakan Konferens Internasional Homeopati Pertama (The 1st International Conference on Homoeopathy) pada tahun 2011, dan beberapa penambah-baikan lagi boleh disebut. Itu sudah tentu suatu sejarah.

        Persatuan seperti PPHM, PPHBM, dan lain-lainpun ada aktiviti masing-masing. Mereka juga membuat kursus, seminar, lawatan dan majlis-majlis serta program-program tertentu. Ada juga persatuan membuka laman facebook dan membawa ahlinya menyertai sebagai kawan dalam FB. Tetapi kita memerlukan suatu pelebaran dan usaha yang meLETOPkan apa yang dibuat itu kepada seluruh masyarakat.

        Sekarang, apakah semua aktiviti yang diusahakan itu memberi impak sebagaimana sewaktu kita berada di tahun 1980an, 1990an atau awal alaf baru dahulu? Saya lihat impaknya tidak besar. Tidak gah dan tidak diambil perhatian oleh media dan orang ramai. Kita memerlukan orang yang mempunyai visi yang jauh bagi merealisasikan sesuatu yang baru dan memberikan momentum.

        Bagaimanapun, yang ini, kita serahkan kepada masing-masing membuat refleksi dan memberikan komen. Tetapi bagi saya, momentum tidak lagi sehebat dulu. Yang dilakukan oleh MPHM, kita boleh akui suatu pembaharuan dan ada memberi impak. Hanya impak itu harus diperkukuhkan dengan aktiviti-aktiviti lain yang menyerlah juga. Dan peranan ini harus dilakukan oleh orang lain secara bersama.

Bagaimana pula dengan peranan HBI dan doktor?

        Saya? Saya tetap meneruskan inisiatif bagi mengisi kelompongan atau ruang yang tidak diisi oleh orang atau persatuan lain. Hal itu tetap saya teruskan, kerana saya masih belum lihat ada pengganti buat mengisinya.

Maknanya..?

        Maknanya saya akan terus menulis. Saya akan teruskan konsultasi online. Saya akan terus menerbitkan buku-buku homeopati. Lagipun, buku Organon Perubatan belumpun lagi diterbitkan. Kosnya besar, namun saya mesti teruskan juga. Itu komitmen saya untuk mengisi kelompongan. Pelajar dan graduan homeopati memerlukan rujukan dalam bahasa Melayu juga.

        Saluran maklumat dan rujukan pun masih saya teruskan melalui www.homeolibrary.com atau Malaysia Homeopathy Cyber Library. Sebab pihak lain (malah kementerian atau institusi pengajian tinggi sekalipun) masih belum ada perpustakaan homeopati seperti itu di Malaysia. Meskipun laman itu tidak diupdate bagi untuk kegunaan handfon, tetapi komputer dan laptop masih menjadi alat/medium utama bagi orang ramai mencari maklumat dan membuat rujukan, khususnya pelajar universiti.

Baiklah. Saya fikir setakat itulah sahaja kali ini. Terima kasih, doc.

        Terima kasih kembali dan Salam Tahun Baru 2017 yang bakal menjelang !!!

Sekian. Wa salam.

Referens:

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

Virtual copyright HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2016