Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

 

MESYUARAT AGUNG MPHM DAN ANUGERAH EMAS PELAJAR CUCMS 2016

(Esei HBI - HOMEOLIBRARY)

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

PENGENALAN        

Hari ini, 30 April 2016, saya selaku konsultan tetap Laman Malaysia Homeopathy Cyber Library, sempat hadir program yang merupakan acara tahunan Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) di Auditorium Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS), Cyberjaya.

  Sesampai saja di sana, majlis masih belum lagi bermula. Selepas mendaftar, saya dimaklumkan di mana auditorium berada dan juga diinfokan bahawa Minit Mesyuarat hanya diedarkan kepada perwakilan. Justeru saya hanya boleh hadir sebagai pemerhati.

Tetapi yang menarik perhatian saya ketika dalam perjalanan masuk ke auditorium CUCMS itu ialah Timeline MPHM dipamerkan untuk sekalian ahli MPHM dan para peserta termasuk pelajar-pelajar homeopati CUCMS. (sesuatu yang boleh diulas kemudian)

ATURCARA

  Aturcara Majlis pada hari ini (selepas nyanyian NegaraKu dan bacaan doa) dimulai dengan ucapan Aluan Presiden MPHM, kemudian ucapan wakil Timbalan Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta perasmian, Penyampaian Anugerah Emas dan Cenderamata Penghargaan kepada kumpulan pelajar graduan Bachelor in Homeopathic Medical Science (BHMS) CUCMS dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Perasmi atau tetamu kehormat yang mewakili Dato' Seri Dr. Hilmi bin Hj Yahya.

  Senarai semua 6 penerima Cenderahati dan seorang hadiah Anugerah Emas itu ialah: Ahmad Mustaqim b Murad, Muhammad Sheriff bin Md Razeef, Hanan Amirah binti Hashim, Chong Cui Ying, Farhana bt Mohamad Hassan, Siti Nadiah bt Buhair dan Liew Siaw Min. Penerima Anugerah Emas untuk kali ke 2 pada tahun ini ialah Chong Cui Ying.

  Selepas tamat majlis, MPHM dan CUCMS mengadakan sesi bergambar bersama-sama kumpulan pelajar batch kedua BHMS CUCMS, sementara para peserta, ahli-ahli MPHM dan para jemputan dijemput untuk menikmati jamuan minum pagi.

  Kami semua dimaklumkan bahawa mesyuarat agung akan bermula selepas selesai minum pagi. Kami juga dimaklumkan bahawa pada hari ini, akan ada pemilihan jawatankuasa baharu.

ANUGERAH LAIN SARANAN HBI

  Di kesempatan ini kami di pihak HBI ingin menyarankan supaya, pelajar yang lulus BHMS dan tidak mendapat Anugerah Emas diberikan satu hadiah yang lain dan tidak diberikan sebagai cenderahati sahaja. Sebaliknya, berilah apa-apa gelaran yang bersesuaian.

  Mungkin boleh juga dimasukkan kategori Anugerah Perak dan Gangsa. Mungkin boleh juga diberikan Anugerah Pingat Kelayakan. Ini adalah baik bagi mencerminkan mutu BHMS dalam bidang perubatan homeopati yang diperoleh oleh pelajar-pelajar berkenaan.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MPHM

  Apabila Mesyuarat Agung Tahunan ke 15 bermula, perwakilan yang mewakili tujuh persatuan homeopati di bawah persatuan payung MPHM dikehendaki duduk di sebelah kanan kerana mereka layak mengundi dan bersuara, sementara ahli pemerhati dan yang lain diminta duduk di sebelah kiri.

   Dalam mesyuarat agung, Pengerusi Tetap mempengaruhi dan mengawal suasana dengan baik. Tidak ada isu-isu besar berbangkit. Apabila tiba pada masa akan dibuat pemilihan, senarai nama calon dipaparkan pada slaid serta diminta endors oleh sekalian ahli MPHM.

  Hanya beberapa orang wakil sahaja bertukar. Dan alhamduliLlah, sdr pengamal homeopati Hp Zainul Azmi bin Ahmad dilantik sekali lagi untuk sesi seterusnya.

  Selepas senarai Ahli Jawatankuasa baru dibentangkan, maka semua Ahli Jawatankuasa baru diminta duduk di atas pentas untuk mendengar usul-usul daripada ahli. Kemudian wakil-wakil daripada enam persatuan homeopati di seluruh Malaysia diminta untuk memberi ucapan penutup masing-masing.

  Kami mendapati sedikit kekurangan di sini ialah kita tidak melihat penyertaan dua lagi persatuan yang besar yang sedang dan masih menjalankan praktik homeopati di Malaysia. Ini bermakna Persatuan Pengamal-pengamal Homeopathy Berdaftar Malaysia dan Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia tidak menyertai persatuan paung MPHM.

BEBERAPA HARAPAN DAN PROGRAM AKAN DATANG

  Seperti yang dibangkitkan oleh ahli-ahli dan pemimpin persatuan di dalam mesyuarat agung kali ini, semua ahli ingin melihat martabat homeopati dipertingkatkan lagi, peluang kerja dan gaji/pendapatan dapat ditambahbaik, lebih banyak tulisan-tulisan akademik dikeluarkan untuk mengangkat martabat dan imej homeopati, memohon proses perjawatan untuk pengamal homeopati oleh KKM di hospital kerajaan dapat disegerakan, isu yuran yang mahal untuk belajar sepenuh masa dalam program BHMS di CUCMS dan beberapa isu kecil yang lain.

  Apabila tiba giliran Hp Zainul Azmi bin Ahmad, Presiden MPHM memberi ucapan penutup, hadirin dimaklumkan beberapa perkara.

  Antaranya, ialah tidak lama lagi banyak peluang pekerjaan akan dibuka apabila pihak KKM siap untuk menerima pengamal homeopati berkelulusan di hospital-hospital integrasi Kerajaan. Peluang ini akan terbuka khusus untuk pelajar-pelajar graduan BHMS daripada CUCMS, Cyberjaya kerana inilah saja ijazah homeopati yang diiktiraf oleh pihak KKM, MQA dan Kerajaan Malaysia.

  Respons Presiden ini juga justeru ada ahli yang membangkitkan isu pelajar-pelajar graduan batch pertama tidak mempunyai kerja yang sesuai yang boleh membawa pendapatan yang tinggi kepada mereka. Hendak membuka klinik dan mendapatkan pelanggan adalah sukar bagi mereka kerana masih baru dan belum mempunyai pengalaman yang cukup.

  Beliau juga menyeru supaya ahli homeopati melihat lebih jauh ke hadapan berkaitan perkembangan homeopati di luar negara. Di Malaysia, kita masih lagi belum melihat perkembangan keluaran hasil homeopati yang membanggakan. Sedangkan di negara-negara luar, ubat-ubat homeopati kini sudah banyak digunakan dalam menghasilkan pelbagai produk, termasuk bagi mengeluarkan produk-produk kosmetik yang mendapat sambutan di luar dugaan.

  Perkembangan masa akan datang dalam ekonomi ialah hasil-hasil keluaran daripada TCM (Tradisional and Complementary Medicine), kata Presiden. Inilah jenis produk yang akan banyak menyumbang kepada perkembangan bisnes.

   Pada akhir ucapannya, Presiden juga memaklumkan bahawa MPHM dan CUCMS akan bekerjasama untuk mengadakan International Conference on Homeopathy (ICHOM) sekali lagi pada tahun 2017. ICHOM yang pertama pernah diadakan ialah pada bulan Jun 2011. Sekarang semua pihak berada dalam peringkat persediaan dan perancangan.

  Semua ahli-ahli yang hadir kelihatan gembira dan positif terhadap rancangan MPHM menjadi tuan rumah bagi ICHOM yang ke 2.

PETUTUP

  Kami daripada HBI Health & Homoeopathy Centre berharap hasrat dan cita-cita MPHM serta ahli-ahli homeopati akan dapat direalisasikan seperti yang diimpi dan dirancang. Banyak kerja, tetapi impak atau hasilnya pasti besar dan bermanffaat juga.

  Sementelah, kami di HBI tetap akan terus bergiat dalam dunia penulisan dan penerbitan buku-buku dalam Bahasa Malaysia bagi tujuan meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan homeopati di samping memperbanyakkan khazanah ilmiah buat peninggalan bangsa. Bahagian yang ditinggalkan ini, biarlah kami memikulnya.

  Demikian juga bagi tujuan mempromosi homeopati di laman maya, kami masih memegang teraju ke hadapan meskipun semakin ramai pengamal yang telah mempunyai kesedaran untuk berinteraksi dan menyumbang di laman virtual. Maju bersama kami dan homeopati.

  Sekian daripada kami di HBI. Wa salam.

Referens:

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

Virtual copyright HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2016