Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

 

ORGANON PERUBATAN HOMEOPATI PERTAMA DI MALAYSIA

(Esei HBI - HOMEOLIBRARY)

 

oleh:  Huzaini Ibrahim (Penerbit) 1 Feb 2017

PENGENALAN:

Apakah Organon Perubatan

            Organon Perubatan atau Organon of the Art of Healing atau Organon of Medicine merupakan suatu buku yang mengandungi doktrin dalam amalan perubatan alternatif homeopati. Ia merupakan karya agung Dr. Samuel Hahnemann yang pertama kali diterbitkan di Dresden pada tahun 1810. Ia dikeluarkan dalam enam edisi. Edisi ke enam yang mengalami agak banyak perubahan disiapkan oleh Dr. Hahnemann pada tahun 1842. Beliau meninggal setahun kemudian, tetapi Organon yang terakhir itu hanya diterbitkan pada tahun 1921.

Organon dalam pelbagai bahasa

        Oleh kerana buku Organon ini merupakan asas dalam amalan homeopati, ia merupakan buku wajib yang harus dimiliki oleh setiap pelajar dan pengamal perubatan homeopati. Oleh kerana bahasa asalnya ialah bahasa German, ia telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa khususnya bahasa Inggeris. Oleh kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa, maka banyak terjemahan ke bahasa lain disandarkan kepada terjemahan Inggeris.

Pada tahun 1921 apabila Organon der Medizin edisi ke enam diterbitkan di German, pada tahun yang sama juga Dr. William Boericke menerbitkan dalam edisi Inggeris dengan nama Organon of Medicine. Sehingga kini, buku Organon of Medicine yang paling popular ialah terjemahan Dr. William Boericke dan Dudgeon (dua edisi dalam satu nuku) yang bertajuk Organon of Medicine, yang mengandungi kedua-dua edisi iaitu ke 5 dan ke 6. Selain itu, terdapat juga Organon Edisi ke lima yang agak popular diterjemahkan oleh Dr. Constantine Hering.

Bagaimanapun, rupa-rupanya pada tahun 1983, ada satu lagi terjemahan edisi ke enam dalam bahasa Inggeris, walaupun kita mungkin belum pernah melihat bukunya. Organon of Medicne terbaru ini diterjemahkan sekali lagi daripada bahasa asalnya, German, oleh J. Kunzli dan rakan-rakan, yang mana diterbitkan di London.

Organon Perubatan Dalam Bahasa Melayu 

            Kami tidak mempunyai sumber mencukupi untuk menyusuri sebarang usaha yang pernah dibuat dalam menulis sekurang-kurangnya ringkasan tentang pengajaran Organon. Paling tidak, dengan kutipan intisari Organon ke dalam buku nota Dr. Burhanuddin dalam penulisan "Falsafah Perubatan Homeopathy", menunjukkan bahagian-bahagian tertentu Organon ada di ambil dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran ilmu perubatan homeopati.

Sementara nota kuliah dalam bentuk fotostat yang ada seperti "Sari Organon" yang ditulis oleh Prof Dr. Mohd Dali Muin dan "Intisari Organon Seni Penyembuhan Dr. Hahnemann 'Cekal Mengerti' " oleh Dr (H) Ahmad Khan Said, menunjukkan sekurang-kurangnya satu garis panduan Organon sudah digunakan bagi tujuan memahamkan pelajar-pelajar homeopati yang kurang mahir atau cekap dalam mengkaji terjemahan bahasa Inggeris Organon Perubatan.

Jika kita bertanya, "Apakah Organon of Medicine" yang sebenarnya sudah diterjemahkan? Kami rasa jawapan yang tepat ialah belum ada. Malahan jika kami selidiki kembali sejarah apabila buku pertama kami "Perubatan Homoeopati" diterbitkan di mana penulisnya mengutip beberapa terjemahan aforisme tertentu di dalam buku itu, kami dapati ramai pembaca daripada kalangan peminat dan pengamal homeopati teruja melihat kutipan terjemahan itu.

Suasana itu mungkin satu permulaan yang menarik sdr Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD untuk meneruskan usaha menterjemah buku "Organon of Medicine". Meskipun beliau mengakui bahawa buku "Organon Perubatan Homeopati" tersebut bukanlah terjemahan 100%, namun setakat yang ada pada hari ini, itulah yang paling lengkap dan diterbitkan secara formal dengan rekod ISBN.

Apakah Yang Merangsang Terjemahan buku Organon of Medicine?

            Wajar agaknya jika kita mendengar sendiri sedikit cerita daripada penulisnya, sdr Mohamed Hatta Abu Bakar. HMD. Menurut sdr Mohamed Hatta,

"Banyak faktor yang membawa kepada minat saya untuk menterjemah para-para atau aforisme Organon. Pertama, apabila saya menulis buku "Perubatan Homeopati", sememangnya terdapat beberapa terjemahan aforisme Organon telah saya usahakan dan sebahagiannya saya telah masukkan ke dalam buku tersebut. Kedua, apabila saya belajar homeopati di peringkat Advance Diploma dan Postgraduate, saya dapati banyak terjemahan Inggeris oleh The British Institute of Homoeopathy lebih mudah difahami. Bahkan terjemahan itulah pada asalnya saya gunakan. Malangnya, saya hanya memiliki aforisme-aforisme tertentu dan aforisme itu terlalu sedikit berbanding dengan keseluruhan Organon."

"Apabila saya mulai memperbanyakkan terjemahan aforismes-aforisme, saya banyak bergantung kepada terjemahan Boericke dan Dudgeon yang sangat klasik dan sukar difahami. Saya memulai usaha terjemahan itu sekitar tahun 2005. Oleh kerana sukarnya bahasa klasik itu, sekejap-sekejap saya rehat dan berhenti dengan penuh rasa kecewa."

"Semasa saya hadir program MPHM pada tahun 2009 atau 2010, saya telah berkenalan dengan Dr. Suriya di sebuah hotel di KL. Ketika beliau mendengar usaha saya untuk menterjemahkan karya besar Dr. Hahnemann itu, beliau telah memberi kata-kata perangsang supaya meneruskannya. Ketika itu juga beliau memperkenalkan saya kepada Dr. Asmadi daripada CUCMS. Beliau juga ada menyebut supaya jangan risau sangat tentang harga bila diterbitkan. Katanya, buku-buku perubatan biasanya mahal-mahal. Jadi saya terfikir 'Mengapa kita harus terikat dengan harga standard buku-buku biasa?'. Lama jugak saya berfikir akan kata-kata Dr. Suriya itu."

"Ketika saya masih bekerja sebagai Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar di Kolej MARA Banting, saya masih meneruskan usaha terjemahan Organon itu, dan kadang-kadang saya bertanya juga rakan sekerja daripada kalangan guru-guru Sains berkaitan apa yang saya terjemahkan itu. Ini bertujuan supaya saya mendapat perkataan yang lebih tepat"

"Alhamdulillah, sekitar tahun 2014, saya telah menterjemah hampir 85 peratus aforisme. Kemudian saya semak balik, dan meneruskan menterjemah baki yang lain. Tiap kali saya semak, lazimnya saya cenderung menukar kembali ayat-ayat terjemahan itu supaya sesuai dengan pemahaman saya di masa itu. Tetapi pada bulan Ogos 2014, saya dipindahkan pula tempat kerja ke Bahagian Pembangunan Usahawan MARA di Kuala Lumpur. Usaha semakan terakhir tergendala."

"Selain justeru saya memang berniat untuk bersara awal daripada MARA, usaha untuk menyiapkan terjemahan buku "Organon of Medicine" ini juga merupakan antara faktor utama mengapa saya bersara pada usia 56 tahun."

"Cuma secara jujur saya katakan bahawa apabila saya berusaha juga menterjemah nota kaki yang begitu banyak dan panjang dalam Organon, saya menjadi serba salah. Kerjanya sangat banyak dan meletihkan. Akhirnya saya terpaksa membuat stail komentar dengan cara melaporkan sahaja nota kaki itu dalam bentuk keterangan tambahan."

"Jadi, itulah yang menjadi punca kepada lahirnya buku "Organon Perubatan Homeopati" sebagaimana hari ini."

"Saya juga bersyukur kerana sempat membaca terjemahan Dr. Hering. Walaupun ianya hanya terjemahan edisi ke ima, tetapi ia banyak membantu menyiapkan buku Organon yang ada." 

Demikian cerita ringkas yang diberikan oleh penulis atau penyaring buku "Organon of Medicine". Kami percaya kerja menterjemah dan menyaringkan buku Organon itu teramat sukar. Jika tidak, bagaimanakah dalam tempoh hampir satu abad homeopati bertapak di Malaysia, namun kita belum pernah nampakpun sebuah buku Organon yang lengkap? Macam mana buku yang begitu penting dan menjadi tulang belakang homeopati terabai daripada inisiatif pengamal-pengamal yang begitu hebat lahir di Malaysia.

Dengan melihat kepada jarak masa lebih kurang sepuluh tahun untuk Mohamed Hatta Abu Bakar HMD menyiapkan buku "Organon Perubatan Homeopati" itu, nyata sekali tugas itu besar dan berat. Kami merasakan harga RM60 itu sudah teramat rendah, sangat tidak berbaloi berbanding dengan keringat yang sudah dicurahkan oleh beliau.

Pandangan Dato' Dr. Suriyakhatun Osman Terhadap Kelahiran Organon Perubatan Homeopati

            Dato' Dr. Suriyakhatun Osman merupakan orang lama, berpengalaman dan 'orang kuat' juga dalam Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM). Dato' Dr. Suriyakhatun adalah di antara pengamal homeopati dan doktor perubatan modern yang amat teruja dan gembira dengan lahirnya buku penting ini. Hal ini boleh dilihat daripada respons beliau apabila diminta menulis sedikit Kata Pengantar buku Organon dan pertanyaan beliau dengan penuh ingin tahu apakah buku ini berdasarkan Edisi ke 5 atau ke 6 Organon.

Beliau telah memberi maklum balas segera apabila dijemput memberi kata-kata sambutan yang pendek sebagai Kata Pengantar untuk disisipkan ke dalam naskhah Organon. Walaupum permintaan kami sudah di saat akhir, tetapi reaksi dan jawapan beliau nyata tegas menyokong.

Lantas di dalam buku Organon itu beliau menulis,

"Organon ini  terkandung di dalamnya prinsip asas amalan perubatan homeopathy dan mana-mana pengamal  perlu menghafal prinsip asas ini untuk dapat merawat pesakit dengan cara yang sistematik dan rasional. Namun oleh kerana bahasanya sukar di faham, apatah lagi dalam Bahasa Inggeris, maka ramai pengamal kita di Malaysia tidak dapat menguasai Organon.

Kini dengan terjemahan buku oleh saudara kita Mohamed Hatta, maka sudah tidak ada alasan untuk pengamal kita di Malaysia untuk tidak menguasai Organon dan faham serta amalkan prinsip asas rawatan homeopathy."

Selanjutnya, beliau mengingatkan,

"Ada pula yang mengatakan sudah tidak perlu pada buku kuno in sebab kita sekarang sudah moden yang boleh buat ubatan secara formulasi kombinasi dan sebagainya untuk merawat pesakit  dan organon sudah lapuk dek zaman .

Sebenarnya prinsip yang bersandarkan The Law of Nature tidak akan menjadi lapuk dan tidak akan jadi kuno . Saya sehingga kini merawat mengikut prinsip dan  metodologi yang terkandung dalam Organon ke enam dan ia masih membuahkan hasil penyembuhan untuk pesakit saya .

Apa yang boleh kita perkatakan adalah bahawa ilmu dalam organon boleh didalami dan dipertingkatkan fahamannya  sebab Hahnemann sendiri mengolahkan dan membuat rivisi sehingga enam kali dalam dalam umur beliau."

Demikian petikan daripada Kata Pengantar buku "Organon Perubatan Homeopati" yang disampaikan oleh Dato' Dr. Suriyakhatun Osman. Satu kata-kata yang bertenaga yang seharusnya disambut dengan dada atau tangan terbuka oleh sekalian pengamal dan peminat homeopati, terutama sekali pelajar-pelajar homeopati beliau.

Tawaran Paling Menarik daripada HBI

            Di sini juga kami ingin maklumkan bahawa harga bagi sebuah buku Organon Perubatan Homeopati ialah RM60.00. Bersama dengannya kami juga akan memberikan eBuku Organon. eBuku itu hanya mengandungi hasil saringan dalam Bahasa Malaysia. Tetapi jika pembaca ingin rujukan lain Organon dalam eBuku, mereka harus membayar sebanyak RM30 lagi sebagai tambahan.

Penggna yang mahu eBuku sahajapun harus membayar RM60.00 untuk satu CD atau eBuku, dan membayar RM90.00 jika inginkan bahan-bahan tambahan dalam eBuku yang kami terbitkan.

Seperti semua buku-buku kami yang terdahulu, buku ini juga mempunyai ISBN, iaitu 978-983-44077-2-8. Kami gunakan ISBN yang sama samaada untuk buku mahupun CD @ eBuku.

Sebarang pesanan boleh ditujukan ke nombor 019-6750544 atau 010-3035123. Sementara itu, penghantaran ke Farmasi TM Shafii, Hassan Saujana Putera dan Perkhidmatan Homoeopathy Muia Kota Bharu akan dimulakan pada minggu ke tiga bulan Februari, insyaAllah. Doakan perancangan kami berjaya.

Salam daripada kami. Bantu HBI untuk sama-sama majukan homeopati.

Referens:

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
huzib123@gmail.com

 


Sumber:

Virtual copyright HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2016