Main (BM)

HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

Promoting homeopathy all Malaysia over and virtually.

 

 

 

Sistem Respiratori

 

Oleh: Nurul Arifah bt Mohamed Hatta, Kulliyyah of Pharmacy, IIUM (UIAM).

[Sumbangan Anatomi dan Fisiologi.  - HBI Health & Homoeopathy Centre]

Fungsi utama system respiratori ialah untuk menyampaikan darah beroksigen supaya darah dapat membawa oksigen ke seluruh bahagian tubuh. Ini dilakukan menerusi pernafasan. Apabila kita menarik nafas kita menyedut oksigen dan kemudian melepaskan karbon dioksida. Pertukaran gas ini merupakan cara sistem respiratori mendapatkan oksigen ke dalam darah.

Organ-organ yang terlibat dengan sistem respirasi ialah organ-organ yang boleh menukarkan gas antara atmosfera dan darah. Umumnya oksigen memasuki sistem respiratori melalui mulut dan hidung sebelum sampai kepada farinks, larinks, trakea, bronkus dan paru-paru. Paru-paru adalah organ utama sistem respiratori, di samping itu diafragma juga memainkan peranan penting.

Farinks berfungsi sebagai laluan udara dan makanan di mana ia merupakan ruang bunyi pertuturan beresonans. Salur berbentuk corong ini bermula dari bahagian dalam hidung memanjang turun ke bahagian leher dan panjangnya lebih kurang 13 cm.

Menghubungkan farinks dan trakea ialah larinks atau disebut sebagai kotak suara. Di sini terdapat beberapa tulang rawan, antaranya ialah epiglottis. Semasa menelan, larinks bergerak ke atas. Ini menyebabkan epiglottis menutup glottis. Dengan cara ini, larinks tertutup, manakala makanan dan air minuman memasuki esophagus. Jika larinks dimasuki sesuatu benda refleks tersedak berlaku (untuk mengelak daripada benda asing memasuki paru-paru).

Selepas larinks, udara memasuki trakea yang merupakan tiub yang memasuki ruang dada, Di dinding dalam trakea, terdapat sel-sel epithelium yang boleh memerangkap habuk. Terdapat juga kelenjar perembes mukus yang berperanan membersihkan udara yang disedut masuk ke paru-paru.

Tiub trakea bercabang membentuk bronkus kanan dan kiri. Daripada bronkus, salur udara terus bercabang-cabang sehingga akhirnya membentuk bronkiol yang kemudiannya membentuk lebih banyak tiub-tiub kecil yang berhubung dengan kantung udara yang dikenali sebagai alveolus (tempat pertukaran gas).

Setiap alveolus dikelilingi oleh banyak kapilari darah. Melalui kapilari ini, darah membebaskan karbon dioksida ke dalam alveolus supaya akhirnya dihembus keluar. Pada waktu yang sama, darah yang mengandungi hemoglobin mengikat oksigen dari udara sedutan untuk dibawa ke sel-sel tubuh.

Di sel-sel tubuh, oksigen dilepaskan dan digunakan oleh sel tersebut bagi menghasilkan tenaga, sementara pada waktu sama karbon dioksida dihasilkan. Karbon dioksida yang terbentuk dihantar semula ke paru-paru untuk dihembuskan keluar lagi. Demikianlah proses respirasi ini berulang-ulang.

Satu lagi organ penting dalam respirasi ialah diafragma. Fungsi diafragma ialah untuk membantu menolak karbon dioksida keluar daripada paru-paru dan menarik oksigen masuk. Ketika diafragma kontraks dan rehat, pernafasan berlaku. Bila diafragma mengecut, oksigen ditarik masuk ke dalam paru-paru dan bila ia relaks atau mengembang, karbon dioksida ditolak keluar daripada paru-paru.

TAMAT.

 

virtual homeopath: drhatta3@yahoo.com

 

 


Sumber: 1. Atlas of Human Anatomy. 1985 American Map Corporation.  2. Baharudin Omar, Mohd Hamim Rajikin. 1995. Pengenalan Sistem Tubuh dan Penyakitnya. Dewan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 3. http://www.fi.edu/learn/heart/systems/respiration.html  4. http://hes.ucfsd.org/gclaypo/repiratorysys.html.

Virtual copyright Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH) 2011

@ HBI Health & Homoeopathy Centre 2011-2012