Main (BM)

HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

Promoting homeopathy all Malaysia over and virtually.

 

 

 

SISTEM TULANG, SENDI DAN OTOT

 

Oleh: Nurul Arifah bt Mohamed Hatta, Kulliyyah of Pharmacy, IIUM (UIAM).

[Sumbangan Anatomi dan Fisiologi.  - HBI Health & Homoeopathy Centre]

TULANG

Sistem tulang merupakan suatu kerangka fleksibel yang memberi  bentuk kepada tubuh, melindungi organ-organ vital, dan dengan bantuan otot-otot membolehkan tubuh badan yang hidup (contohnya manusia) bergerak.

Antara fungsi sistem tulang:

Ia memberi sokongan ke atas tisu-tisu lembut dan memberi tapak perlekatan otot.

Ia memberi perlindungan terhadap organ dalaman seperti otak (oleh tulang cranium), korda spina (vertebra), jantung dan paru-paru (oleh tulang rusuk) dan organ pembiakan (oleh tulang pelvis) daripada tercedera.

Tulang merupakan tuas pada mana otot melekat. Apabila otot berkontraksi, tulang yang bertindak sebagai tuas akan menghasilkan pergerakan.

Tulang menyimpan beberapa bahan galian, di mana bahan galian ini boleh dikeluarkan dan digunakan oleh bahagian lain tubuh sekiranya diperlukan.

Sum-sum tulang sesetengah tulang juga boleh menghasilkan sel darah (proses hemopoiesis).

SENDI

Sendi adalah titik pertemuan antara tulang-tulang atau antara rawan dan tulang. Adanya sendi menjadikan tulang-tulang lebih fleksibel, yakni mudah bergerak. Ikatan tulang-tulang antara satu dengan yang lain di sendi ini berlaku menerusi tisu perantara yang mudah lentur.

Struktur sendi penting dan boleh mempengaruhi fungsinya. Umumnya semakin rapat hubungan pada titik pertemuan semakin kuat sendi itu, tetapi pergerakan menjadi agak terbatas atau terhad.

Semakin longgar hubungan pada titik pertemuan itu, semakin banyak pula pergerakan yang boleh dilakukan sendiri. Tetapi sendi seumpama ini cenderung mudah terkehel atau mengalami dislokasi.

Selain itu, pergerakan sendi juga ditentukan oleh kelenturan (fleksibiliti) tisu perantara yang mengikat tulang, serta kedudukan ligament, otot dan tendon.

OTOT

Otot ialah organ yang mana menerusi kontraksi dan juga pengenduran, menghasilkan pergerakan. Tisu otot menyumbang kira-kira 50% berat tubuh dan terdiri daripada sel-sel tertentu.

Ciri-ciri otot termasuk:

Ia bersifat pengujaan, iaitu berupaya untuk menerima dan memberi respons terhadap rangsangan.

Ia mempunyai sifat boleh mengecut, iaitu berupaya untuk berkontraksi apabila rangsangan yang cukup diterima, dan akan mengendur (relaxed) apabila rangsangan dihentikan.

Otot juga berupaya untuk teregang (extensibility). Berbalik kepada bentuk asal selepas mengalami kontraksi atau mengendur.

Antara fungsi otot ialah:

Untuk pergerakan seperti berjalan, berlari dan pergerakan setempat seperti memegang sesuatu atau menggerakkan kepala. Semua pergerakan ini bergantung kepada fungsi tulang, sendi dan otot yang melekat pada tulang.

Pergerakan yang kurang disedari juga  dihasilkan oleh otot. Contohnya ialah denyutan jantung, pencernaan makanan oleh perut, pergerakan makanan di usus, kontraksi pundi hempedu untuk merembeskan cecair hempedu, dan kontraksi pundi kencing untuk mengecutkan air kencing.

Otot juga berfungsi untuk mempertahankan kedudukan tubuh. Kontraksi otot rangka membolehkan tubuh berada dalam pelbagai kedudukan yang tetap seperti berdiri, tunduk, duduk dan seumpamanya.

Akhirnya, otot juga berfungsi menghasilkan haba. Kontraksi otot rangka boleh menghasilkan haba dan ini penting dalam mengawal-atur suhu tubuh supaya tetap normal. Umpamanya, dalam waktu suaca sejuk, tubuh kita menggigil. Hal ini berlaku kerana terjadinya kontraksi otot yang berulang-ulang dan dalam proses ini, tenaga digunakan. Pembakaran tenaga inilah yang menghasilkan haba. Maknanya tenaga telah digunakan untuk memanaskan badan. Penggigilan dengan sendirinya terhenti apabila suhu tubuh kita mencapai aras normal.

TAMAT.

 

virtual homeopath: drhatta3@yahoo.com

 

 


Sumber: 1. Atlas of Human Anatomy. 1985 American Map Corporation.  2. Baharudin Omar, Mohd Hamim Rajikin. 1995. Pengenalan Sistem Tubuh dan Penyakitnya. Dewan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Virtual copyright Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH) 2011

@ HBI Health & Homoeopathy Centre 2011