MALAYSIA HOMEOPATHY CYBER LIBRARY DRHATTA.COM 2008-9-10-11

THE BEST MALAYSIA VIRTUAL HOMEOPATH  ;;  MHCL WEBSITE www.drhatta.com - consultant SINCE 2001

Komen anda tentang website ini, emelkan ke: drhatta3@yahoo.com.  Hubungi segera: 013-980 2991

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

LAMAN UTAMA

AMALAN KLINIK PENGAMAL HOMEOPATHY YANG KETERLALUAN

Oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

24 July 2011

Suatu perkara yang sudah lama ingin saya sampaikan di laman ini ialah berkaitan amalan pengamal homeopati yang cenderung mengenakan caj yang keterlaluan terhadap pesakit. Caj itu bukan saja tidak munasabah atau lebih mahal daripada caj klinik konvensional, malahan menganiaya pesakit, keluarga ataupun syarikat pesakit yang membayarnya.

Sukacita saya nyatakan bahawa amalan ini sudah menyimpang daripada hasrat dan semangat pengasas homeopati, Dr. Samuel Hahnemann. Dr. Hahnemann bukan saja mengenakan caj yang rendah, bahkan beliau juga menolong ramai pesakit yang miskin dan susah.

Bahkan dalam salah satu nota Organon of Medicine, ada dinyatakan bahawa beliau menaruh harapan supaya di suatu hari nanti khidmat rawatan homeopati itu dapat dibiaya sepenuhnya oleh pemerintah. Dalam ertikata lain, pesakit akan menerima rawatan secara percuma.

Demikian murninya hasrat dan cita-cita pengasas homeopati, namun sebahagian daripada kita buat-buat lupa atau sengaja mengambil kesempatan atas kepercayaan orang ramai dengan caj-caj yang tidak munasabah.

Di bawah ini beberapa contoh kes yang saya jumpai berasaskan laporan pengguna dan keluhan sahabat. Tentulah ianya wajar dihebahkan kepada orang ramai (dan juga pengamal) supaya berhati-hati dalam mendapatkan rawatan (memberi rawatan dan mengenakan caj):

(i) Kira-kira dua tahun yang lalu saya diinfokan oleh seorang pengetua sebuah kolej di sebuah pekan di Kedah yang memaklumkan bukan sahaja klinik homeopathy yang baru saja menjadi panel kolej itu mengenakan caj yang mahal, bahkan mereka menjual ubat minda yang dimasukkan di dalam bil-bil rawatan. Akibatnya kolej berkenaan terpaksa membayar lebih seribu RM kepada pusat rawatan itu.

Justeru akhirnya, pengetua itu memanggil sekalian guru kolej untuk diberi taklimat, dan kemudian arahan dikeluarkan supaya tidak lagi melanggan di pusat rawatan berkenaan. Tindakan pengamal ini bukan saja salah dari segi etika, malah memberi imej yang buruk kepada banyak pusat rawatan homeopati yag lain.

(ii) Pada awal tahun lalu saya menerima maklumat daripada seorang pensyarah sebuah universiti tempatan yang menyatakan bahawa beliau dikenakan bayaran sebanyak RM200 atau RM300 setiap kali rawatan bagi masalah tekanan emosi yang dialaminya. Apabila ditanya, beliau memaklumkan bahawa pusat rawatan homeopati itu terletak di Selayang.

Katanya, beliau terpaksa membayar dan tidak bertukar ke pusat rawatan lain kerana terdapat kesan pengurangan kepada masalah yang dihadapinya. Apabila beliau menunjukkan ke dua-dua botol ubat (yang dipreskripsi) itu kepada saya dan bertanya harganya, saya katakan kosnya amat minimal dan sepatutnya beliau tidak dicaj lebih daripada RM60.

(iii) Pada Oktober tahun lepas, seorang rakan yang kenderaan anaknya kemalangan sehingga mengakibatkan kematian menantunya, telah menyebabkan anak perempuannya menghadapi kemurungan. Trauma itu tidak dapat dirawat di klinik konvensional, langsung beliau terus ke pusat rawatan homeopati yang berdekatan di pekan Jerteh, Terengganu.

Apabila ditanya berapakah jumlah kos bagi merawat anaknya itu, klinik yang berdaftar dengan sebuah persatuan homeopathy di Kedah itu memberitahu cajnya ialah RM300. Beliau terkejut dan terus menelefon saya.

Saya hanya memaklumkan supaya datang berjumpa saya dan cajnya pasti tidak sampai RM50 pun.

(iv) Dua minggu yang lalu, seorang kerani akaun di sebuah badan separa kerajaan menunjukkan bil yang diterima daripada sebuah pusat rawatan homeopathy di Kuala Lumpur. Terdapat tiga bil untuk tiga ahli keluarga seorang pegawai yang sakit batuk, demam dan selsema.

Setiap bil itu dikenakan caj sebanyak RM72. Ini bererti sekeluarga yang pergi mendapatkan rawatan itu (pada hari dan masa yang sama) dikenakan caj RM214. Jika sekali rawatan sahaja jumlah sebanyak itu, berapa banyak jumlahnya sebulan dan berapa pulakah setahun?

Saya diberitahu bahawa untuk keluarga pegawai itu, peruntukan rawatan beliau dan ahli keluarga hanyalah RM3,000 setahun. Jika jumlahnya melebihi nanti, beliau mesti membayarnya sendiri. Kata kerani itu lagi, jika rawatan bagi penyakit akut seperti itu di klinik konvensional (swasta) kosnya hanya sekitar RM20 sahaja.

(v) Tiga hari yang lalu saya juga menerima informasi daripada seorang pengedar yang selalu membantu menguruskan pertanyaan dan rawatan bagi pelanggannya di sekitar Taiping. Katanya, pelanggannya selalu memberikahu kos di pusat rawatan homeopati di sana sangat tinggi dan kurang berkesan.

Selain aduan itu, beliau juga memaklumkan bahawa penawar yang kami rumus sentiasa mendapat respons yang baik dari segi keberkesanannya beserta harga yang murah. Satu kes penyakit seorang pelanggan yang menghidap darah tinggi dan sakit kepala akhirnya lega hanya selepas dipreskripsikan dengan Elasto (penawar biokimia) yang diberi secara bersama dengan salah satu penawar homeopati.

Rawatan yang kami berikan secara online atau melalui pengedar HBI sedikit sebanyak telah membantu mereka yang merasakan terbeban dengan kos rawatan yang tinggi.

Demikian lima insiden yang menjelaskan kepada kita betapa pengamal kita masih perlu dididik dalam etika sebagai pengamal perubatan yang berhemah dan berbudi tinggi.

Dalam hal ini, kita harus bertanya : ke mana perginya semangat  untuk berkhidmat kepada pesakit seperti yang tertera di dalam sumpah setia Hippocrates (Hippocratic Oath) ataupun sumpah Hahnemann (Hahnemannian Oath) yang seharusnya dijadikan suatu ikrar dan panduan kepada pengamal homeopati.

Di manakah perginya rasa tanggungjawab kemanusiaan dan keprihatianan kepada pesakit? Apakah semuanya itu hancur justeru kitapun turut sama terjerut di dalam kancah perlumbaan mendapatkan tuntutan material? 

Sekian. Wa Llahu a'lam.

 

 -  Admin drhatta.com.

 

HTML Comment Box is loading comments...

Consultant: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

Copyright: HBI Health & Homoeopathy Centre

Updated: 24 Julai 2011