Homeolibrary

 

Prolog:

Selepas sistem perubatan homeopathy diperkenalkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy dengan meletakkan batu asas yang kukuh, pendidikan homeopati terus berlangsung dengan lenggok gaya yang sama meskipun perubahan demi perubahan dilakukan oleh institusi persendirian dan persatuan-persatuan homeopathy. Usul tentang perlunya kita berubah kepada suatu sistem pendidikan yang lebih sistematik pernah diusulkan oleh penulis lewat tulisan beliau di dalam majalah Dakwah, Oktober 2000 melalui artikel Institusi Pendidikan Tidak Prihatin atau seperti yang diterbitkan di dalam laman web Malaysia Homeopathy Cyber Library dengan tajuk  Memartabatkan Pendidikan Perubatan Alternatif Di Malaysia.

 Sepuluh tahun selepas artikel berkenaan diterbitkan, dengan usaha Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia serta initiatif daripada Cyberjaya University of Medical Sciences - CUCMS (dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia & Kementerian Pengajian Tinggi), buat pertama kalinya kuliah setara dengan bidang-bidang lain di universiti-universiti dalam negara dimulakan apabila CUCMS menawarkan kursus Bachelor of Homeopathic Medicine Science (Hons.).

Ini merupakan suatu kejayaan yang amat besar. Tetapi itu semua masih tidak mencukupi. Kita masih harus melakukan suatu transformasi yang lebih dinamik untuk berada setanding dengan ilmu-ilmu lain (khususnya dalam bidang perubatan) dalam dunia cyber hari ini.

 Ikuti apa kata penulis ini seterusnya sebagai suatu gagasan untuk difikirkan bersama.

Latest Articles
2012
Advertisement
 
Melakar Transformasi Perubatan Homeopati Di Malaysia (Transforming Homeopathic Medicine in Malaysia) - Malay


Pengenalan

Apabila kita membaca karangan Dr. Burhanuddin al-Helmy yang telah ditulis beberapa dekad yang lalu, kita merasakan seolah-olah beliau baru menulisnya semalam sahaja. Begitu hebat dan berkesannya buah fikiran, idea, semangat dan cita-cita murni beliau ingin melihat homeopati bertapak dan menjadi perubatan arus perdana di bumi tercinta ini - Malaysia.

  Hari ini kita melihat sistem perubatan ini mulai berubah sedikit demi sedikit baik dari segi penerimaan masyarakat, pengiklanan, pengiktirafan, pengajaran dan pembelajaran maupun dari segi persembahannya kepada masyarakat.

  Namun perubahan itu harus dianjakkan lagi. Ia harus lebih laju dan lebih dinamik. Ia harus lebih terbuka dan canggih. Ia harus lebih peramah, mendekati dan prihatin terhadap individu, masyarakat dan permasalahanya. Ia harus merangkumi segala yang terhidang di dada realiti dan maya. Ia harus dibuat suatu transformasi yang lebih jauh untuk kekal relevan.

  Dua perkara saya ingin nyatakan secara jelas di ruang dan hari terakhir tahun 2011 ini.

 

Pertama ialah mengenai "Customization".

Di akhir abad yang lalu, bukan saja industri dan kilang yang memasarkan produk yang boleh memuaskan majoriti pengguna, tetapi para pengamal homeopati pun demikian juga. Semakin banyak syarikat dan semakin ramai individu pengamal mulai membuat dan mencipta remedi kombinasi homeopati untuk dipasarkan.

  Dengan cara itu, harapannya ialah produk tersebut boleh dibeli dan memuaskan kebanyakan orang. Melalui cara itu banyak barang dapat dijual, untung masuk berganda dan pasarannya meluas sekali. Mungkin di beberapa negara luar terdapat beberapa kejayaan justeru pasarannya yang boleh dieksport.

  Namun di Malaysia, keadaannya agak sukar. Pasarannya kecil, peraturannya agak ketat, persaingan tinggi, daya membeli ataupun permintaan orang ramai tidak begitu tinggi buat mengayakan semua pengusaha. Justeru dalam perubatan homeopati, hanya Prof. Dr. Azizan Ismail yang bertuah justeru kemunculan beliau secara kreatif pada peringkat awal amat tepat pada waktunya.

  Semua usaha syarikat dan pengamal yang lain berakhir dengan kempunan, mungkin subur tetapi kurang menjadi. Jika mereka ini meneruskan juga di dekad baru ini, tidak ke manapun hasilnya.

  Hari ini dengan ledakan sistem maklumat dan penyampaian yang begitu pantas, mereka yang kekal dengan arus ekonomi kuno dalam bidang homeopati mungkin akan ketinggalan.

  Sekarang dengan kecenderungan ke arah "customization" dalam ekonomi, cita-cita pengamal untuk mendapat 'hits' dalam produk mereka mungkin kurang menjadi (seperti kejayaan EXAMO suatu masa dulu). One-size-fits-all tidak semestiya menjadi, malah berkemungkinan menghadapi persoalan dan kesukaran.

  Kritikal pada waktu ini ialah 'customization' dan 'specialization'. Kini niche replaces hits. Yang mana ini semua bermakna tentulah lebih bererti jika pengamal semua kembali kepada prinsip "individualization" yang disaran oleh mahaguru kita, Samuel Hahnemann.

  Bukan saja dalam pemasaran produk, malah dalam bilik rawatan juga kita sarankan supaya janganlah pengamal terlalu bergantung kepada radionic, pendulum, remedi kombinasi dan seumpamanya.

  Perkasakan ilmu kita berkaitan penawar atau remedi, repertorization, simptom-simptom pesakit/penyakit dan senario persekitaran dan zaman ini di samping sentiasa kemaskini dengan keperluan basic pengamal, insya Allah kita akan pasti berjaya.

 

Kedua ialah kesedaran tentang Informasi (The Info Economy)

Sebenarnya sudah lama kita sampai dan sama-sama melalui era baru ini. Tetapi sebahagian besar daripada kita tidak seratus peratus berusaha memasukinya atau merelakannnya. Ramai yang masuk dengan semangat 'enggan', serba salah, semangat 'kedekut', 'ego, bahkan ada yang bungkam dalam nostalgia sijil homeopati dan ilmu nan setitis.

  Malahan sewaktu saya mula menulis dan menerbitkan buku "Perubatan Homoeopati" pada tahun 1997 dahulu dan berusaha memasarkannya, ada pengamal yang ditemui mempersoalkan "Apa perlunya dipasarkan buku ini? Tidak semua orang perlu (atau patut??) tahu mengenai homeopati."

[Sukacita saya pesankan di sini, jika ada di antara anda masih seperti ini pada saat ini, anda sudah beribu batu ketinggalan keretapi]

  Demikianlah sikap dan fiil perangai yang menyebabkan ilmu perubatan homeopati ini tidak maju mengikut arus sepatutnya di bumi Malaysia. Meskipun hari ini kita bolehlah berbangga sedikit dengan kesediaan persatuan dan individu homeopati membuka laman sendiri (termasuk blog2) buat menyebarkan risalah berharga ini. Namun pastinya, tentulah apa yang ada ini masih amat tidak mencukupi.

  Kita perlukan bahannya yang berkualiti. Bukan setakat iklan-iklan dan gambarnya yang gah semata-mata.

  Justeru saya peringatkan di sini bahawa kita harus lebih cergas dan agresif lagi. Kita harus sedar yang capaian masyarakat kepada ilmu ini teramat-amat penting dalam segala rupa bentuknya. Ilmu pada hari ini adalah milik semua dan ia berjalan teramat pantas sebagaimana ia bermula dengan komputer pertama dihasilkan sehingga kepada teknologi wifi dan touch screen serta dengan iphonenya (terkini).

  Apakah pengamal homeopati di Malaysia masih belum bersedia? Lupakanlah nostalgia lama dan semangat ingin menyimpan-nyimpan ilmu dan bahan yang sudah menjadi arkib. Zaman sekarang ialah zaman 'memberi' (giving), zaman sekarang ialah zaman 'berkongsi' (sharing).

  Hari ini ilmu dan bahan kita harus diperbaharui setiap hari. Arkib kita juga harus dikemaskini. Lebih daripada itu, bahan arkib kita jua harus dapat dicapai oleh semua orang lain.

  Jika ayat dan perenggan yang terakhir itu tidak dapat difahami dan sukar dicernakan, keluarlah kita dari dunia ini kerana kita bukan manusia homeopati yang boleh melihat dan melakukan inovasi.

 

Penutup

Sebagai penutup buat hari terakhir tahun masehi 2012 ini, ingatlah - Tanpa perubahan sikap, tanpa persediaan kendiri, tanpa inovasi anda akan hilang dan tidak bernilai sebagaimana sepatutnya. Justeru inovasi sebenarnya ialah memecahkan nilai-nilai lama (yang tidak baik dan menjadi penghalang kemajuan). Innovation is actually venturing.

  Sebab itu, walaupun hadis ini lemah, tetapi amat berguna dan relevan apabila Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sampaikanlah olehmu daripada aku, walaupun satu ayat".

  Dua perkara di dalam esei ini, saya nyatakan sebagai pemula kepada usaha-usaha transformasi yang harus diamalkan oleh pengamal homeopati di Malaysia untuk kekal relevan dan berdaya saing.

  Akhir kata, marilah kita sama-sama melakarkan transformasi perubatan homeopati di bumi bertuah ini.