-

Kembali ke Tingkap Indeks

 

KATA PENGANTAR

 Buku kuliah Falsafah Perubatan Homeopati adalah antara karya besar Dr. Burhanuddin al-Helmy. Buku ini tersimpan sangat lama di dalam tangan para pengamal homeopati yang belajar dengan Dr. Burhanuddin dan muridnya. Ia juga telah menjadi panduan dan rujukan kepada pengamal homeopati dalam memberikan kuliah mereka di bilik-bilik rawatan  mahupun dalam bentuk modul.

Sesetengah pengamal seperti Dr. Teew Lian Eng tidak bergantung kepada isi kandungan buku ini tetapi mengutamakan falsafah perubatan homeopati itu sendiri. Bagaimanapun, salinan fotostat buku ini dijual juga sebagai rujukan. Selepas setahun saya dan rakan-rakan tamat belajar asas perubatan homeopati daripada beliau iaitu pada tahun 1991, buku ini terus berada dalam simpanan saya. Sewaktu saya belajar daripada The British Institute of Homoeopathy, rujukan bahasa Inggeris memberi lebih keyakinan dan kefahaman terhadap perubatan homeopati.

Apabila saya bertemu dengan Prof. Dr. Ramlah Adam di Melaka pada tahun 2005, saya memaklumkan kepada beliau tentang naskhah tulisan Dr. Burhanuddin yang saya miliki. Beliau terus menyarankan supaya saya menerbitkannya dengan sedikit ulasan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka.. Jika tidak, karya ini akan kehilangan daripada khazanah bangsa, khususnya sumbangan daripada tokoh ternilai ini.

Apabila saya terfikir untuk menerbitkannya sendiri menerusi HBI Health & Homoeopathy Centre, saya telah membaca berkali-kali bagi memahamkan apa yang tersirat di dalam tulisan Dr. Burhanuddin. Ini adalah kerana gaya bahasa beliau yang klasik dan juga kerana naskhah fotostat simpanan saya telah kabur dan ada perkataan-perkataan tertentu tertinggal atau tidak jelas.

Sememangnya beliau telah menulis buku ini berdasarkan buku Lectures on Homoeopathic Philosophy tulisan Dr. J. T. Kent. Tetapi beliau juga telah membuat beberapa penyesuaian dan memberi tokok-tambah supaya sesuai dengan budaya tempatan dan pandangan agama serta pengalaman beliau sendiri. Ini menjadikan buku ini mempunyai nilai yang tersendiri walaupun agak sukar bagi pembaca dari kalangan bukan pelajar homeopati memahaminya.

Bagi tujuan memberi kefahaman kepada pembaca terhadap isi kandungan buku ini, saya telah membuat sinopsis sebagaimana yang dirakamkan di dalam bahagian awal buku ini. Saya harap usaha ini dapat membantu sekalian pembaca generasi baru, sama ada mereka merupakan pelajar homeopati ataupun semata-mata membaca bagi tujuan memperkaya ilmu perubatan homeopati atau menikmati tulisan dari tokoh tanah air ini.

Selain itu, saya tidak membuat apa-apa perubahan yang besar ke atas manuskrip asal kecuali sedikit tanda baca, pembahagian perenggan dan tambahan ayat yang saya masukkan dalam bentuk kurungan (). Itupun saya masukkan bagi tujuan memudahkan kefahaman maksud ayat yang ditulis di dalam naskhah ini. Seperti pesanan Prof. Dr. Ramlah Adam, kita harus berusaha mengekalkan karya agung ini sebagaimana adanya.

Akhir sekali, oleh kerana saya ingin mempercepatkan penerbitan buku ini, saya telah menggunakan nama tajuk buku yang telah saya daftarkan ISBNnya pada tahun 2003. Buku itu pada asalnya ialah untuk menerbitkan nota kuliah Falsafah Perubatan Homeopati yang saya siapkan untuk kursus online Malaysia Homoeopathy Virtual Institute. Justeru buku ini dinamakan Pengantar Falsafah Perubatan Homeopati.

Semoga pembaca semua mendapat rahmat Ilahi, serta usaha ini menjadi penyebar ilmu yang bermanfaat dan membawa barakah kepada semua pembaca. Was salam.

 

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

Banting, Selangor.

 

17 Nov. 2010 Masehi.

10 Zulhijjah 1431 Hijrah.  

 
 

 

Kandungan: Sinopsis Kuliah Homeopati Allahyarham Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Sumbangan konsultan HBI>

 

 

HBI Health & Homoeopathy Centre @ drhatta 2011.

 

 Kembali ke Organon Perubatan

<BGSOUND src="Alleycats_-_Seribu_Bintang.mp3">