MALAYSIA HOMEOPATHY CYBER LIBRARY

www.homeolibrary.com

Visit also: LAMAN KONSULTAN HBI : DRHATTA.COM 2008-13

THE BEST MALAYSIA VIRTUAL HOMEOPATH  ;;  MHCL WEBSITE consultant SINCE 2001

    

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama

Program CPD Dan Mesyuarat Agung Tahunan MPHM Ke 12 Di KL International Hotel, Kuala Lumpur.

 

Mesyuarat Agung MPHM 2013

 

Bersama murid MHVI dan pengamal PPHBM

Julai 2012

Workshop Homeopati

Ceramah pengenalan pada malam hari pertama.

Bersama Alastair Gray, Zainul Azmi dan Dr. Suriya.

Presiden MPHM bersama Dr. Alastair Gray

Bersama Prof Dr. Asmadi Yusof dan Hp. Osman Nasir.

Dr. Suriyakhatun selepas menyampaikan ceramah CPD.

PN. Basmiah menerima cenderahati daripada Dato' Hassan

 

Bersama homeopath Abu Naim. Pertama kali ketemu di Hotel KL International.

 

 

  Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) ke 12 pada kali ini amat bermakna di dalam meletakkan arah perkembangan ilmu perubatan homeopati dan emfasis yang harus diberikan bagi membina ilmu ini setara dengan ilmu-ilmu lain di Malaysia.

PENULISAN LAPORAN KES

  Apa yang kami maksudkan di sini ialah merujuk kepada Program CPD yang dibentangkan oleh Dr. Suriyakhatun Osman berkaitan "Writing Case Report" sebagai usaha memperkenalkan kaedah saintifik menulis laporan kes bagi tujuan pembentangan di dalam seminar-seminar bertaraf antarabangsa.

  Amat malang sekali apabila dalam keadaan persatuan homeopati tertua di Malaysia telah mencapai usia setengah abad, amalan penulisan laporan kes masih di dalam keadaan bertatih.

  Kewujudan kes-kes yang berat yang berjaya dirawat secara homeopati berlalu seperti angin tanpa meninggalkan apa-apa bekas. Ini adalah justeru ketiadaan rekod dan bukti yang secara tidak langsung (atau langsung??) menunjukkan betapa kaedah saintifik berkaitan pelaporan kes masih dangkal di dalam keghairahan kita hendak mendapatkan pengiktirafan.

  Apabila Dr. Suriyakhatun menunjukkan suatu kes contoh di mana sudah ada bukti dan rekod diambil berkaitan seorang pesakit yang menghidap tumor dan sukar disembuhkan (daripada klinik beliau sendiri), kemudiannya berjaya disembuhkan oleh seorang homeopath di negeri sebelah Utara Semenanjung, kita merasakan betapa hebatnya penawar dan rawatan yang diberikan.

  Namun, apabila beliau cuba menjejak laporan kes daripada pengamal berkenaan, tiada rekod (pembuktian) kes baik terperinci maupun catatan ringkas berkaitan pesakit yang dirawat.

  Dan inilah hakikat yang berlaku di dalam kebanyakan amalan praktik perubatan homeopati di Malaysia yang tidak peka kepada laporan dan evidens. Ini juga yang berlaku kepada majoriti pengamal bertauliah Malaysia kendatipun sudah ribuan graduan diploma dan ijazah dikeluarkan oleh persatuan homeopati di Malaysia.

  Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Suriya mungkin pedas, tetapi tepat pada masanya supaya para pengamal mulai mengambil berat mengenai isu ini.

  Kita harus mengucapkan rasa syukur atas penekanan yang diberikan oleh Dr. Suriya, dan semoga kertas kerja ringkas yang dibentangkan oleh beliau boleh menjadi panduan awal kepada satu laporan kes yang lebih baik dan bermutu.

KESAN SAMPINGAN UBAT

  Pembentangan program CPD kedua yang bertajuk "Adverse Drug Reaction" seperti yang disampaikan oleh Pn. Basmiah Md. Isa sebagai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia juga penting.

  Pada awalnya, ramai yang menjangka laporan ini akan memberikan sesuatu yang baru, sekurang-kurangnya suatu data yang melibatkan ubat-ubat homeopati.

  Tetapi di dalam laporan beliau, rekod-rekod hanya menunjukkan laporan kesan sampingan ubat secara umum yang melibatkan ubat-ubat alopati dan tradisional (yang berbeza dengan penawar homeopati).

  Pihak beliau sendiri mengakui mengenai kelemahan pihak Kementerian Kesihatan dari segi peralatan (dan tentunya dalam mentafsir atau menkategori secara tepat ubat-ubat homeopati juga). Jelas juga, tiada kaedah pengukuran saintifik yang ada pada waktu ini bagi mengesan bahan maupun keberkesanan ubat-ubat homeopati.

  Pengetahuan bahawa ubat-ubat homeopati terdiri semata-mata daripada sukros atau laktos yang berbiji bulat dan halus tidak mencukupi buat merumuskan apa itu rawatan atau ubat homeopati yang digunapakai, dan tentunya berkaitan juga dengan peraturan bagaimanakah harus dikenakan ke atasnya.

  Apa yang boleh disimpulkan daripada penerangan Pn. Basmiah, ialah bahawa pengetahuan para pegawai di Kementerian Kesihatan berkaitan ilmu perubatan homeopati masih sangat sedikit dan harus bergantung rujukannya kepada persatuan dan pengamal homeopati sedia ada di Malaysia pada waktu ini.

  Atas landasan ini, kami merasakan sudah tiba waktunya Kementerian Kesihatan mengambil inisiatif menghantar pegawainya mengikuti kursus-kursus ilmu perubatan homeopati supaya isu-isu berkaitan ubat, peraturan, amalan, kod etika dan sebagainya dapat diputuskan secara lebih adil.

PERASMIAN MAT

  Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MPHM bermula kira-kira jam 10 pagi. Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Dato' Hj Hassan bin Arshad, Pengerusi Tetap MHKM. Majlis yang berlangsung di Hotel KL International, Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang baik berikutan isu-isu yang disentuh sangat menepati.

  Antara intipati ucapan perasmian ialah harapan beliau dan Majlis agar Majlis agar MHKM mendapat geran kewangan daripada Kementerian Kesihatan supaya perjalanan homeopati menjadi lebih cepat maju dan berdaya saing. Beliau memperingatkan bahawa isu ini harus ditimbang dengan saksama kerana homeopati telah banyak menyumbang kepada kesihatan masyarakat.

  Beliau juga menggesa para pengamal supaya bersikap lebih profesional di dalam amalan praktik. Ini adalah kerana khidmat mereka dinilai oleh pelbagai golongan masyarakat, termasuk, klien (pesakit), kerajaan dan para ahli akademik.

  Justeru, beliau mengingatkan supaya pengamal tidak sekadar melihat perkhidmatan praktik homeopati sebagai usaha menjana pendapatan semata-mata. Sebaliknya mereka harus menunjukkan imej yang baik dalam segenap segi.

  Imej bukan sahaja daripada segi cara berpakaian dan penampilan pengamal, tetapi homeopath harus sentiasa ada di klinik, dan tidak meninggalkan ofis kepada petugas untuk memberi preskripsi kepada pesakit tanpa konsultasi.

  Akhir sekali, berkebetulan dengan program CPD pada hari ini, beliau turut menyeru agar para pengamal mengamalkan budaya peningkatan ilmu dengan menghadiri program-program ilmiah dan mengikuti seminar-seminar perubatan homeopati.

PESANAN PRESIDEN

  Presden Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) iaitu HP Zainul Azmi Bin Ahmad, turut memberi ucapannya sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-12.

  Di antara pesanan beliau ialah berkaitan penggunaan pangkat Dr., Dr.(H)., Pakar, Konsultan Homeopati dan seumpamanya yang mana sehingga ke hari ini masih tiada kata putus. Justeru pengamal diseru supaya megambil kaedah selamat dengan menggunapakai nama "homeopath" sahaja. "Homeopath" bagi kami dan istilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah "Ahli Homeopati" (Inipun, kalau kedengaran oleh orang yang membuat undang-undang, akan dicantas jugak nanti..agaknya.)

  Seiring dengan isu di atas ialah mengenai sijil, diploma dan ijazah homeopati yang dikeluarkan oleh pelbagai institusi dan persatuan selain daripada Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS). Katanya, semua sijil, diploma dan ijazah itu tidak sah dan diperakui lagi apabila ijazah Bachelor in Homeopathic Medical Sciences dikeluarkan oleh CUCMS dan yang diperakui juga oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

  Masalah pengiktirafan terhadap sijil, diploma dan ijazah homeopati ini berlanjutan kerana program yang tidak standard disediakan oleh mereka-mereka yang berkepentingan. Ada yang mengeluarkan Bachelor dalam masa 4 tahun, ada 2 tahun, malah ada yang mengeluarkannya dalam masa beberapa hari (sindiket penipuan) sahaja.

  Selain itu, Presiden MPHM telah turut melahirkan rasa tidak puas hati kerana sehingga ke hari ini meskipun Hospital Integrasi yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan sudah mencapai 15 buah, namun masih belum ada ruang operasi bagi pengamal homeopati.

  Keadaan ini adalah disebabkan graduan homeopati pertama yang bakal dikeluarkan oleh CUCMS hanya akan bermula pertengahan tahun 2014.

  Dengan jumlah pelajar yang kecil dikeluarkan, kita melihat kekurangan ini akan berlanjutan kerana pengamal homeopati yang diiktiraf nanti tidak akan dapat memenuhi keperluan hospital dari masa ke semasa untuk suatu tempoh yang lama.

  Beliau juga berpesan kepada para pengamal yang berminat (khususnya yang berusia 40 tahun ke bawah) supaya mengambil peluang belajar di CUCMS sementara graduan pertama mereka belum lagi dikeluarkan.

  Justeru selepas itu, tiada lagi keistimewaan bakal diberikan kepada pengamal sedia ada.

 

 

Ucapan Presiden MPHM

  Hadirin sedang khusyu' mendengar ucapan perasmian.
  Bukan mengantuk, tetapi sibuk mencatat sesuatu kerana khusyu' dan bernasnya ucapan diberikan.

  

 

          - Admin Dr.Hatta.com @ homeolibrary.com


   

Copyright 2011-2013 HBI Health & Homoeopathy Centre.