Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

Esei Pilihan Awal Hijrah 1435:

MERUNGKAI MASALAH

ALKOHOL

DALAM PERUBATAN HOMEOPATI

(Esei Homeopati/Homeopathic Essay)

 

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

Selepas sekian lama masyarakat kita bergelut dengan persoalan arak dan alkohol, apabila masyarakat mengetahui bahawa di dalam perubatan homeopatipun bahan seumpama alkohol turut digunakan, kekeliruan dan syak wasangka semakin bertambah. Artikel ini cuba mengupas dan mengkedepankan isu ini secara lebih dekat bersama petikan huraian supaya setidak-tidaknya anggota masyarakat boleh berfikir dan bersikap lebih rasional serta dapat menilai sendiri amalan perubatan homeopati dalam perkaitannya dengan alkohol.

PENGENALAN

Pengharaman arak (khamr) dalam pengertian ianya diharamkan kerana memabukkan dan boleh menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan adalah jelas keharamannya bersandarkan nas dan syara’.

Contohnya, berdasarkan firman Allah (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib, adalah najis dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu semua menjauhinya, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.” (al-Maidah:90). Maka (berdasarkan ayat ini) penggunaan yang bukan untuk tujuan minuman juga adalah haram berdasarkan keumuman firmanNya: “Maka hendaklah kamu semua menjauhinya.” (al-Maidah: 90).

Kendatipun,di dalam fatwa al-Syeikh Muhammad bin Soleh al'Uthaimin yang diterjemahkan dan dikeluarkan oleh Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perlis, penggunaan arak bukan untuk minuman adalah harus. Ini berdasarkan ayat berikut yang maksudnya: “Hanyasanya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang, maka berhentilah (kamu semua dari mengerjakannya).” (al-Maidah: 91) Menurut fatwa itu, “berdasarkan hal ini, kami berpandangan sebagai langkah berhati-hati, tidak boleh menggunakan alkohol untuk wangian. Adapun untuk pensterilan (membasmi kuman) tidak mengapa disebabkan ada keperluan dan ketiadaan dalil yang jelas melarangnya.” (1).

[Untuk perhatian, petikan ini tidak sempurna melainkan anda harus juga melawati laman mufti berkenaan dan membaca kesemuanya, sila rujuk nota di bawah)

ARAK DAN DADAH

Arak tiada bezanya dengan dadah. Malahan dadah itu mungkin lebih berbahaya. Di dalam Al-Quran, perkataan `dadah' dikaitkan dengan nyata di dalam maksud perkataan “khamr”. Perkataan “khamr” berasal daripada perkataan “yakhmur”, maksudnya `menutup, menyembunyi atau melindungi.' Oleh itu “khamr” merujuk secara meluas kepada fungsi kehidupan atau biologi sesuatu bahan yang boleh menutup, menyembunyi atau menghilangkan fungsi yang biasa dialami oleh seseorang `biasa', dan dalam hal ini dikaitkan khusus dengan keadaan `fikiran' dan `akal.'

Sebuah hadis menyebut: "Arak adalah sesuatu yang menutup akal". Begitu juga halnya dengan dadah. Oleh yang demikian, fatwa telah pun diadakan untuk mengharamkan pengunaan dadah. (2) Namun dadah dalam konteks sebagai ubat di dalam perubatan modern diharuskan penggunaannya atas alasan darurat dan kaedah usul fiqh.

Namun isu yang selalu menjadi pertikaian hari ini bukan setakat arak (khamr) dan dadah tetapi ialah bagi istilah yang disebut sebagai “alkohol”. Jadi, apakah itu alkohol?

APA ITU ALKOHOL DAN PENGGUNAAN ETANOL

Istilah alkohol berasal daripada “al-kuhl” iaitu perkataan Arab dan diperkenalkan oleh saintis Islam zaman dahulu. Secara kimia, alkohol merujuk kepada sebarang sebatian kimia yang mengandungi kumpulan hidroksil (-OH) seperti iso-propil alkohol, metil alkohol (metanol), butil alkohol (butanol), propil alkohol (propanol), sorbitol dan inositol.

Terdapat kenyataan yang selalu menyebabkan pengguna keliru ialah berkaitan dengan alkohol etil atau etanol kerana selalunya ia terhasil daripada proses pembuatan arak. Tetapi sebenarnya terdapat juga etanol yang terhasil daripada proses penapaian tumbuhan yang bukan bertujuan untuk menghasilkan arak, seperti alkohol industri.

Maknanya, etanol boleh juga terjana secara sintesis kimia iaitu daripada sumber petroleum, melalui hidrasi etilena. Meskipun benar etanol adalah satu sebatian yang terkandung dalam arak dan sebatian inilah akan menyebabkan peminumnya menjadi mabuk, namun arak juga mengandungi sebatian lain seperti ester, asid, aldehid, keton dan sebagainya yang membentuk sifat-sifat rasa arak itu.

Umumnya dalam industri, etanol yang dihasilkan adalah berfungsi sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri dan digunakan dalam perisa, pewarna, cat, kosmetik dan ubatan yang tiada kaitannya dengan penghasilan arak.

Perbezaan utama antara etanol arak dan etanol industri ini adalah dari segi tujuan ia dihasilkan. Jika ia dihasilkan untuk minuman beralkohol atau sebagai arak, maka ia boleh menyebab kemabukan,sebaliknya jika etanol itu untuk industri, ia adalah sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri.Termasuk untuk bahan kimia, untuk uji kaji makmal, bahan bakar, pelarut untuk pengekstrakan bahan warna, pelarut untuk pengekstrakan produk perubatan dan pelarut untuk pewangi. Malah, etanol juga turut disapu pada lengan kita sebelum diberi suntikan oleh doktor untuk membersih dan mengelakkan jangkitan. (3)

KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATAN KUASA FATWA

Selepas memahami kedudukan perkara di atas, Muzakarah ke-22 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 24 Nov. 1988 telah mengeluarkan kenyataan bahawa kordial yang mengandungi bahan perasa alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya: (i) Alkohol itu bukan dihasilkan daripada proses pembuatan arak dan (ii) Kuantiti alkohol dalam perasa itu sedikit iaitu tidak memabukkan. (4)

Selain itu, pada tahun 1984, jawatankuasa yang sama pernah memutuskan bahawa setiap arak mengandungi alkohol tetapi tidak semua alkohol adalah arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal. Tapai halal dimakan kerana alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan. (5)

Kemudiannya, berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sekali lagi membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011.

Pada kali ini, mereka telah bersepakat dan bersetuju memutuskan seperti berikut, iaitu:

  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis

  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.

  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak. (6)

HUKUM UBAT-UBATAN YANG MENGANDUNGI ALKOHOL (FATWA LUAR NEGARA)

Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam Fikah Thoharah mengatakan alkohol yang terhasil daripada proses selain daripada penapaian (arak – pen.) adalah suci. Selain Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Fatwa Lajnah al-Azhar dan Fatwa Lajnah Daimah Saudi juga sependapat dengan Prod. Dr. Yusuf al-Qardhawi.

Demikian juga apabila Nadwah Fikah Perubatan Islam ke-8 anjuran Pertubuhan Ilmu-ilmu Islam berlangsung di Kota Kuwait pada 22-24 Mei 1995, mereka memutuskan bahawa:

“Alkohol tidak najis dari segi syarak. Maka tidak menjadi kesalahan alkohol dari sudut perubatan sebagai bahan pencuci (antiseptik) pada kulit dan kecederaan, ubat-ubatan serta pembunuh kuman. Ia tiada kaitan dengan arak.”

Resolusi ke-11, Majlis Akademi Fikah, Jeddah pula dalam mesyuarat kali ke 3 1986 pernah memutuskan bahawa:

“Diharuskan pesakit Islam mengambil ubat-ubatan yang mengandungi alkohol dalam kuantiti yang khusus sekiranya tidak didapati ubat-ubatan lain yang bebas alkohol atas nasihat dan preskripsi doktor yang dipercayai lagi amanah.” (7)

Berasaskan beberapa fatwa di atas, umumnya bersepakat bahawa alkohol tidak najis. Alkohol yang terlibat di dalam proses pembuatan ubat, boleh dimakan atau minum. Tetapi untuk dijadikan minuman ianya terbatas kepada tujuan kegunaannya serta kuantiti yang digunakan.

Kalau boleh dijadikan panduan tambahan, berikut ialah petikan daripada laman web mufti kerajaan Brunei:

“Allahyarham Pehin Dato Dr Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz (Mufti Kerajaan Brunei) berkata:

“Adapun berubat dengan ‘ain benda-benda yang najis adalah harus, sama ada ‘ain benda-benda najis itu telah dibancuh dengan lain-lain benda, atau ‘ain benda-benda najis itu bulat- bulat, dan semata-mata dijadikan ubat melainkan arak, maka tiadalah harus berubat dengan arak semata-mata arak, dan harus berubat dengan arak yang bercampur dan dibancuh dengan lain-lain benda.” (Siri Fatwa 34/70)

 Ibnu Hajar berkata:

Ertinya: “Harus berubat dengan kuku bangkai, tulang- tulangnya dan segala jenis najis – sama ada zatnya atau campurannya, melainkan arak, maka tiada harus berubat dengan zat (‘ain) arak, tetapi harus dengan campuran (bancuhannya).” (Al-Fatâwa Al-Kubrâ 1/28)

Ulama Mazhab Syafi‘e berpendapat bahawa haram hukumnya berubat jika hanya semata-mata dengan zat (‘ain) arak atau alkohol. Pengharaman ini berlaku selama ia tidak dicampur dengan bahan lain, di samping itu tidak pula ada ubat lain selain ubat yang bercampur alkohol itu.

Selain itu, pemakaiannya hendaklah berdasarkan ahli perubatan yang dipercayai dan penggunaannya pula hanya sekadar keperluan saja.

Dengan yang demikian, ubat yang bercampur alkohol atau gelatin yang ditanyakan, samalah kedudukannya berubat dengan najis kerana darurat jua.” (8)

Penting juga diambil panduan apa yang diperturunkan oleh ulama’ berikut sebagaimana yang diterjemahkan dan disiarkan oleh Jabatan Mufti negeri Perlis:

“Al-Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata di dalam Majmu’ah Fatawa al-Manar, m.s. 1631, secara ringkasnya. “Alcohol adalah bahan yang suci, penting di dalam perubatan dan dalam banyak industry, penggunaannya dalam perubatan tidak terkira banyaknya, mengharamkan penggunaannya ke atas orang Islam akan menghalang perkembangan ilmu dan banyak perkara yang merupakan sebab utama Eropah mendahului umat islam, seperti kimia, farmasi, perubatan dan pembuatan, dan jika diharamkan penggunaannya, ia akan menjadi sebab kematian ramai dikalangan pesakit dan orang-orang yang tercedera atau akan memanjangkan tempoh kesakitan mereka dan menambahkan kesakitan.”Ini adalah satu ungkapan yang baik dan kukuh dari Muhammad Rasyid Redha RH.

Adapun tentang sebahagian ubat yang bercampur dengan alcohol, sesungguhnya ia tidak menjadikan ubat itu haram, jika percampuran itu sedikit yang tidak menzahirkan kesannya, seperti yang dinyatakan oleh para ulama. Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy berkata: “Tepung jika diuli bersama arak, dibakar menjadikannya roti dan di makan (orang itu) tidak dikenakan hukuman Had (kerana tidak dikira meminum/memakan arak), kerana api telah menghilangkan bahagian-bahagian arak, ia tidak ada lagi melainkan kesannya sahaja.” (al-Mughniy, m.s. 306, jld: 8).

Di dalam al-Iqna’ dan Syarahnya dinyatakan: “Walaupun dicampurkan – benda yang memabukkan itu (arak) – dengan air, kemudian air itu menghilangkannya/memusnahkannya, kemudian air itu diminum, orang yang meminumnya tidak di hukum had, kerana ia telah musnah di dalam air, dan dia tidak mengambil alih nama air itu, atau ia digunakan untuk berubat luka, orang ini juga tidak dikenakan hukuman had, kerana dia tidak mengambil benda yang memabukkan itu sebagai minuman dan tidak juga yang semakna dengan minuman.” (al-Iqna’, m.s. 71, jld: 4) Inilah kesimpulan (kandungan) daripada athar dan penelitian.Adapun athar sebagai hujjah dalam masalah ini, telah diriwayatkan dari Nabi SAW yang bersabda: “Air itu suci, tidak menajiskannya sesuatu, melainkan jika berubah bau, rasa dan warnanya dengan najis yang ada di dalamnya.”Sekalipun ungkapan berubah bau, rasa dan warna itu ada kelemahan padanya, namun para ulama telah bersepakat tentangnya. Bentuk petunjuknya, ialah jika terjatuh sesuatu najis di dalam air, dan air itu tidak berubah, maka air itu kekal kesuciannya, demikian juga arak, apabila bercampur dengan benda lain yang halal, dan jika arak itu tidak memberi kesan kepada benda yang halal tersebut, maka benda itu kekal kehalalannya.Di dalam Sahih al-Bukhari yang diriwayatkan secara ta’lik dinyatakan: Abu Darda’ membuat al-Murriy (sejenis makanan Arab) bersama ikan yang digaramkan, diletak (diperam) di dalam khamar kemudian dijemur di bawah matahari, sehingga bertukar rasa arak tersebut. Athar ini bermaksud; Ikan yang ada garam tersebut dijemur di bawah matahari, menghilangkan arak tersebut dan ianya menjadi halal. (9)

ALKOHOL DALAM HOMEOPATI

Di dalam homeopati, farmasi merujuk kepada seni dalam menyediakan ubat/remedi/penawar kepada pesakit dan mendispenskannya sebagai bahan ubat. Sumber bagi aturan farmasi homeopati adalah berdasarkan tulisan-tulisan Dr. Samuel Hahnemann, khususnya daripada buku-buku beliau  “Organon”, “Materia Medica Pura”, dan “Chronic Diseases”.

Harus diingat bahawa homeopati memberi perhatian berat berkaitan ketepatan (accuracy) dan usaha bagi mengelakkan daripada berlaku percampuran bahan-bahan ubat.Teras dalam farmasi homeopati pula ialah kebersihan, di mana setiap alat seperti botol-botol dan penutupnya tidak boleh digunakan bagi membuat ubat-ubat yang berbeza.

Yang penting dalam amalan perubatan homeopati ialah menyampaikan ubat/remedi/penawar kepada pesakit. Bagi tujuan itu, alat perantaraan yang digunakan ialah alkohol (alcohol), air suling (distilled water), peluru (pellets) atau globul yang diperbuat daripada sukros keras dan gula susu. (10)

Dalam persoalan berkaitan alkohol, memang benar bahawa dalam penyediaan ubat/penawar homeopati, amalan perubatan homeopati mengguna alkohol etil (ethanol) dan tidak metil (methanol). Tetapi etil itu dibancuh sekali bersama air suling mengikut bahagian yang ditentukan garis panduan farmasi homeopati. Dalam hal ini, perkara-perkara berikut wajar diberi perhatian:

Pertama sekali hendaklah difahamkan bahawa alkohol yang digunakan di dalam penghasilan ubat/penawar homeopati itu ada di peringkat menghasilkan Tinktur Ibu (Mother tincture) dan kemudiannya alkohol di peringkat penyediaan tintur (tinctures) beratenuasi itu sendiri.

Di dalam menghasilkan ubat/penawar berpotensi, ahli homeopati menggunakan alkohol homeopati yang tidak sama dengan alkohol mutlak (absolute alcohol). Kekuatan alkohol homeopati hanyalah 87%, sedangkan alkohol mutlak ialah 95% (yang mana secara teori sepatutnya ialah 100%). Inilah kekuatan alkohol yang digunakan dalam membuat ubat berpotensi di dalam perubatan homeopati. (Jika dilute alcohol, kandungan alkohol menjadi jauh lebih kecil peratusannya) (11)

Kedua, dalam amalan homeopati, pengguna/masyarakat umum hendaklah faham bahawa yang didispenskan ialah ubat/bahan. Alkohol digunakan sebagai pelarut, mengekstrak/menyerap bahan aktif daripada sumber asal dan supaya ubat/remedi/penawar itu tahan lebih lama.

Ketiga, untuk tujuan pendispensan (dispensing) ubat/remedi/penawar (dry dose), pengamal homeopati menggunakan satu lagi perantara yang disebut globul (daripada gula tebu). Apabila satu atau dua titik sahaja dimasukkan ke dalam globul (yang mungkin ratus jumlahnya), (12) maka nisbah bahan asal yang mengandungi alkohol itu menjadi semakin kecil peratusannya.

Keempat, apabila pengamal atau kilang membancuh bahan ubat beralkohol itu memberikan kepada pesakit sebagai aplikasi eksternal seperti ubat sapu, ubat kumur dan seumpamanya, kandungan asal beralkohol juga menjadi sebahagian yang lebih kecil daripada campuran, sama ada ianya berupa krim, petroleum jelly, air atau lelainnya.

Dan air atau Air Suling (Distilled Water) bukan saja halal, bahkan juga merupakan satu perantara dalam amalan penyediaan ubat/remedi/penawar homeopati. Meskipun ia tidak boleh memelihara ubat homeopati, tetapi ia digunakan di dalam homeopati bagi tujuan operasi kimia (membersihkan bahan-bahan asal/kasar), untuk penyediaan atenuasi atau pemeringkatan potensi dan memberi ubat dalam bentuk sediaan air.

ISU INDUSTRI TINKTUR HOMEOPATI

Suatu hakikat yang pengamal, pengguna homeopati dan masyarakat Malaysia harus terima pada waktu ini ialah kita masih tidak mempunyai Kilang Homeopati yang standard (GMP) yang menghasilkan tinktur ibu dan tinktur.

Darulaman Homeopathic Laboratories (M) Sdn. Bhd. yang ditubuhkan oleh Allahyarham Dr. Azizan Ismail juga tidak memainkan peranan itu. Ia menumpukan kepada  menyediakan rumusan dan formula sahaja. Pembaharuan yang dibuat apabila mendapat taraf lesen daripada Biro Kawalan Farmasi Nasional, Menteri Kesihatan Malaysia dan bertaraf GMP hanyalah bagi tujuan menghasilkan produk jenama syarikat. (13) Demikian juga kilang-kilang homeopati lain yang didaftarkan di Malaysia.

Meskipun tidak pernah dinyatakan di dalam sebarang artikel akademik, hakikatnya ialah kilang-kilang yang lahir di Malaysia tidak menghasilkan tinktur seperti Aconitum napellus, Abrotanum, Belladonna, Chamomilla, Drosera, Euphrasia, Lachesis, Magnesium phos., Phosphorus, Thuja dan seumpamanya, yang mana itulah tinktur yang diperlukan oleh pengamal dan pusat-pusat rawatan.

Kebanyakan tinktur ibu dan tinktur itu adalah diimport daripada German, United Kingdom, Pakistan dan India. Malah untuk mendapatkan globul sekalipun, pengamal homeopati dan pusat-pusat rawatan di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura terpaksa membeli produk import.

Meskipun demikian, kita percaya semua kegiatan pengilangan dibuat mengikut garis panduan pengasas, Dr. Hahnemann atau pengikutnya dan/atau standard farmakopeia negara masing-masing. Dalam ertikata lain cara pembuatannya mengikut standard amalan homeopati yang mengutamakan amalan kebersihan, ketepatan dan saintifik dalam konteks homeopati.

Oleh kerana kos pengilangan produk di atas adalah lebih rendah di negara seperti India dan Pakistan, kebanyakan bahan-bahan yang berupa tinktur, globul, disket, produk kombinasi dan lain-lain bahan yang diguna oleh para pengamal di Malaysia adalah datangnya daripada dua negara tersebut. Di peringkat pengamal atau bilik rawatan, tidak ada bancuhan tambahan melainkan proses pendispensan sewaktu mempreskripsikan penawar yang tidak melibatkan penggunaan bahan-bahan yang meragukan.

Jika persoalan penghasilan di kilang menimbulkan keraguan, kita boleh sarankan agar kesemua tinktur itu diimport daripada syarikat atau negara Islam sahaja, seperti Masood Homeopathic Store & Hospital, Pakistan. Tetapi justeru Malaysia amat popular sebagai Hab Halal, kita semua berharap akan tiba masanya di mana kita mempunyai Makmal dan Kilang Homeopati sendiri yang mengeluarkan tinktur ibu, tinktur berpotensi serta semua bahan perantara. Dengan itu, tidak perlulah para pengamal dan pusat rawatan bergantung kesemuanya kepada tinktur dan produk import.

HUKUM ALKOHOL DALAM UBAT HOMEOPATI

Sebenarnya, untuk memantapkan keputusan berkaitan sebarang dakwaan atau fatwa mengenai hukuman penggunaan alkohol di dalam amalan perubatan homeopati memerlukan seseorang itu faqih di dalam hukum agama Islam dan juga berpengetahuan di dalam ilmu farmasi atau perubatan homeopati.

Bagaimanapun, berdasarkan kutipan penjelasan bahagian fatwa dan ringkasan tata cara ubat/remedi homeopati disediakan, beberapa kesimpulan boleh dibuat:

1. Setiap perkara bergantung kepada tujuannya (kaedah fiqh). (14) Seperti alkohol di dalam pengeluaran produk industri, alkohol yang digunakan di dalam perubatan homeopati ialah bagi tujuan penghasilan produk (tinktur) homeopati, bukan untuk menghasilkan arak. Ia hanya digunakan sebagai pelarut dan pengawet, di samping bertujuan meningkatkan potensi ubat/remedi homeopati. Dilihat daripada segi tujuannya, maka alasan membenarkan atau menghalalkan penggunaan ubat/remedi/penawar homeopati tanpa ragu adalah berasas.

2. Status ubat/penawar homeopati dari segi kandungannya jauh lebih kecil kemudaratannya kerana di dalam sediaan penawar itu lazimnya tidak terkandung bahan asal atau bahan aktif dadah. Berasaskan kaedah fiqh, kemudaratan apabila diyakini akan berlaku hendaklah dihindari, lalu kalau mampu - “kemudaratan yang lebih besar hendaklah dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan”. (15) Secara berbandingnya, homeopati lebih selamat digunakan berbanding ubat modern kerana tiada bahan aktif yang kebiasaannya ditemui dalam ubat-ubat modern. (16)

3. Penambahan keadaan sakit boleh berlaku di dalam rawatan homeopati. Ini disebut “aggravation” (agravasi simptom) yang kadang-kadang berlaku selepas pemberian ubat/remedi. Keadaan ini tidak ada kaitannya dengan alkohol ataupun dadah. Ia mungkin menandakan remedi itu tepat tetapi potensi remedi terlalu tingggi, dosnya besar atau telah diberikan dengan kerap. Jika agravasinya berterusan, ia mungkin petanda remedi yang dipreskripsikan itu tidak tepat atau tidak serupa. (17)

Harus diingatkan juga bahawa di Barat, tentangan atau kritikan perubatan modern selalu berlaku berasaskan dakwaan kandungan ubat/remedi homeopati itu tidak lain daripada air atau air beralkohol sahaja kerana tiada bahan ekstrak asal ditemui. Tersohor konotasi yang diberikan oleh mereka terhadap ubat/remedi homeopati sebagai “air magik”. (18) Ujian mereka dengan cara mengambil ubat/penawar itu dalam kuantiti yang banyak sekaligus juga menunjukkan tiada tanda-tanda mabuk kerana pengambilannya. Seperti kata-kata orang-orang yang mencuba dengan tujuan mempermainkan itu, ia (ubat) tidak lebih daripada sukros dan laktos atau air semata-mata. (19)  

Secara kiasannya, bolehlah dikatakan ubat/penawar homeopati itu seakan air doa sebagaimana digunakan di dalam perubatan Islam. Ada kesan bacaan tetapi unsur fizikalnya tidak dapat dikesan di dalam makmal. Demikianlah halnya dalam homeopati, bahan kasar itu diproses dan ditingkatkan kuasa berkali-kali sehingga tenaga penyembuhannya semakin kuat tetapi pada masa sama, tidak tinggal lagi bahan asal yang boleh dikesan menerusi makmal ciptaan manusia hari ini.

PENUTUP

Bersandarkan rumusan di atas, jelaslah ubat atau remedi homeopati harus dan boleh digunakan sebagai ubat atau penawar tanpa ragu-ragu. Kerisauan yang berlaku di kalangan sesetengah anggota masyarakat mungkin hanya kerana kekurangan pengetahuan mengenainya.

Tambahan lagi, jika dalam proses pendispensan ubat/penawar bagi pesakit menerusi perantara tambahan di bilik rawatan (menerusi globul atau dicairkan di dalam secawan air), kuantiti alkohol yang membawa ubat/remedi/penawar homeopati itu menjadi lebih kecil peratusannya yang mengharuskan penawar itu digunakan (sekalipun alkohol itu hendak diidentifikasikan dengan arak).

Sekian. Wa Llahu a’lam.

Referens:

1. al-Syeikh Muhammad bin Soleh al'Uthaimin.Hukum Alkohol Bercampur Dengan Ubat [Fatwa oleh: al-Syeikh Muhammad bin Soleh al'Uthaimin, diterjemahkan oleh Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perlis, Telah disemak dan diperakui oleh S.S. Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr. Juanda bin Jaya] (http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=155:maksa&catid=43:fatwa-luar-negara&Itemid=97, viewed on 10 Nov 2013)

2. Dzulkifli Abdul Razak (Prof.).Dadah: Pandangan Islam. Utusan Malaysia, Jumaat, 6 Mac 1998. (http://www.prn.usm.my/bulletin_articles_.php?Id=446viewed on 10 Nov 2013)

3. Bukan semua alkohol haram. 25 Mei 2010.(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0525&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz2krqBdjk8viewed on 10 Nov 2013)

4.Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan. (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-sebagai-penstabil-minuman-ringanviewed on 11 Nov 2013)

5. Alkohol Menurut Pandangan Islam (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-menurut-pandangan-islam, viewed on 11 Nov 2013)

6. Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan. (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/alkohol-dalam-makanan-minuman-pewangi-dan-ubat-ubatan, viewed on 11 Nov 2013)

7. Harmy Mohd Yusuf dll. (Dr.).2011. Fikah Perubatan. Batu Caves: PTS Milenia Sdn. Bhd. ms. 86.

8. Ubat-ubatan Bercampur Gelatin atau Alkohol. http://www.brunet.bn/gov/mufti/alhadaf/mac01/h_ubat.htm, viewed on 11 Nov 2013)

9. op cit. Petikan ulasan Fatwa oleh: al-Syeikh Muhammad bin Soleh al'Uthaimin.

10.  Dewey W. A. (M. D.). 1961. Essential of Homœopathic Materia Medicaand Homœopathic Pharmacy (http://www.homeoint.org/books5/dewey/chapter2.htm, viewed on 11 Nov 2013)

11. Ibid.

12. Preparation and Dosage. http://bayareahomeopathy.com/remedies/preparing-the-remedy/, viewed on 11 Nov 2013.

13. http://www.homeolab.com.my/v2/utama.html, viewed on 11 Nov 2013.

14. Harmy Mohd Yusuf dll. (Dr.).2011. Fikah Perubatan. Batu Caves: PTS Milenia Sdn. Bhd. ms. 40.

15. Ibid, ms 46 – 50.

16. Ubat homeopati tiada kesan sampingan. Berita Harian, Sabtu - 20 Februari 1999.

17. Katja Schuett. June 2013.  Aggravation in Homeopathy. http://hpathy.com/organon-philosophy/aggravation-in-homeopathy/ viewed on 11 Nov 2013)

18. Andy Coghlan, Hail Jeremy Hunt. The new minister for magic.05 September 2012. (http://www.newscientist.com/article/dn22241-hail-jeremy-hunt-the-new-minister-for-magic.html#.UoAckuqQ-M8, viewed on 11 Nov 2013) atau Claiming to be able to cure cancer with magic water (http://scienceblogs.com/insolence/2013/04/25/claiming-to-be-able-to-cure-cancer-with-magic-water/, viewed on 11 Nov 2013)

19. CBC Marketplace - Homeopathy: Cure or Con? Part 1 of 2. (http://www.youtube.com/watch?v=kFKojcTknbU, viewed on 11 Nov 2013)

 

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber: Lih. referens di atas.

Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2013