Laman Ilmu Islam HBI  MINDA MUSLIM

TRADITIONAL ISLAM - Berita Kembalinya Tokoh 'Ulama
Laman Utama

Berita Ustaz 'Uthman

Dilaporkan dii dalam Utusan Malaysia dan juga facebook Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar bahawa pengkebumian arwah Uthman Muhammady meninggalkan kesan yang bermakna. Diceriterakan bahawa jenazah arwah dilihat tenang seperti orang sedang tidur dan keluar dari liang romanya bauan wangi yang belum pernah dihidu. Perkara ini diakui oleh mereka yang menguruskan jenazah malahan diakui oleh seorang salah seorang angggota polis (Supt Ghazali Daud).
 

Hari ini kami amat terkejut apabila mendapat info daripada akhbar bahawa Ustaz Uthman El-Muhammady, iaitu tokoh Maal Hijrah 2005 sudah kembali ke rahmatuLlah. 

  Ustaz Uthman merupakan seorang sahabat kepada arwah ayahanda konsultan. Beliau bersama-sama dengan Ustaz Dato Yusoff Zaky Yacob merupakan bekas anggota sidang pengarang majalah tulisan jawi terbitan Syarikat Dian Sdn Bhd yang dikenali sebagai majalah "Pengasuh".

  Kedua-duanya bukan sahaja sahabat tetapi tokoh akrab di dalam anggota jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Isiadat Melayu Kelantan suatu waktu dahulu. Di dalam pengembangan sumbangan kepada ilmu Islam, jika Dato' Yusoff Zaky Yacob berjaya menterjemahkan Tafsir Fi Zilalil Qur'an yang dhasilkan oleh Syed Qutb, maka Muhammad Uthman El-Muhammady pula berhasil menterjemah karya Maulana Abdullah Yusoff Ai iaitu The Holy Qur'an: Text, Translation and Commentary.

  Di dalam berita TV dan akhbar Berita Harian, Ustaz atau Dr Muhammad Uthman El-Muhammady disebutkan sebagai antara Tokoh cendekiawan Islam terbilang di Malaysia. Beliau kembali ke rahmatuLlah pada usia 70 tahun, iaitu ketika melakukan kerja-kerja ilmiah kira-kira jam 7 malam tadi.

  Beliau meninggalkan seorang balu dan 12 orang anak yang berusia antara 30 dan 45 tahun. Beliau dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di kuarters Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) di Kuala Lumpur. Allahyarham merupakan
Felo Utama ISTAC yang disegani.

  Allahyarham Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim pada 1 Februari 1943. Latar belakang pendidikan beliau ialah sekolah Melayu, yang kemudian memasuki Special Malay Class di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5.  Beliau kemudiannya mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah.

  Pada tahun 1963, beliau memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969. Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas hingga sekarang.

  Di sepanjang dekad 1970an, beliau amat dikenali di Kelantan dengan gerakan dakwah berkumpulan di kawasan Tal Tujuh, Pasir Mas. Banyak majlis-majlis ceramah di Kelantan cenderung menjemput beliau dalam membawa pengajian kitab-kitab lama dan kisah-kisah Islam, khususnya yang berunsur tasawuf.

  Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah (tarikh berdasarkan laman blog beliau sendiri). Pada tahun inilah juga beliau dilantik sebagai Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (Distinguished Fellow of IKIM) Kuala Lumpur sehinggalah sekarang.

  Minat kajian beliau adalah di dalam bidang (i) ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat, (ii) Pemikiran semasa dan pandangan Islam tentangnya dan (iii) Akidah Sunni, faham ilmunya dan pandangan hidupnya

  Selain banyak membentangkan kertas kerja di dalam seminar-seminar, khususnya seminar IKIM, beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang penulisan sejak daripada awal lagi. 

 Di antara hasil tulisannya yang telah berada di pasaran ialah: (i) Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud-terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh alm Abdullah Yusuf Ali, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid). (ii) Fathul Muin, terjemahan dan Huraian Maksud, terbitan Majlis Ugama islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan. (iii) Peradaban dalam Islam terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang. (iv) Memahami Islam terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977. (v) Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987. (vi) Islam dan Kebudayaan risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.

  Pemergian beliau boleh dianggap sebagai kehilangan yang sukar dicari ganti. Moga-moga roh beliau ditempatkan bersama-sama para anbia', ulama' dan orang-orang yang saleh.

Sumber: www.drhatta.com

 

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD - 2013