MALAYSIA HOMOEOPATHY CYBER LIBRARY

HBI.gif (3177 bytes)

MHCL.gif (1458 bytes)

 

Terbaik daripada Konsultan HBI

SEJARAH PERUBATAN HOMOEOPATI

MUKA DEPAN

 

PENDAHULUAN

Homoeopati atau dalam bahasa Inggerisnya “homoeopathy” berasal daripada dua perkataan, iaitu “homoios” dan “pathos.” Homoios  bermakna ‘serupa’ atau ‘seumpama’. Sementara  pathos  membawa maksud  ‘penderitaan’, ‘perasaan’ atau ‘penyakit’.   Dengan  itu,  homoeopati merujuk kepada cara “merawat penyakit atau  pesakit menerusi prinsip serupa dengan yang serupa.”

            Dalam hal ini, ‘yang serupa’ merujuk kepada semboyan-semboyan atau simptoms. Apa yang dimaksudkan dengan semboyan yang  serupa di  sini  ialah sekiranya seseorang itu mengalami semboyan-semboyan  penyakit  seperti  loya dan muntah,  maka  ia  akan dirawat secara homoeopati dengan penawar yang  mampu  mengeluarkan semboyan-semboyan loya dan muntah yang serupa. Itulah maksud daripada perkataan “homoeopathy” pada asasnya.

            Dari segi sejarah, konsep dan undang-undang fundamental  homoeopati  ini  telah bermula sejak  zaman  Hippocrates, iaitu pakar perubatan Greek yang hidup pada kurun ke 5 sebelum  Masehi.  Beliau pernah menulis: “By similar things a  disease is  produced and through the application of the like,  it  is cured.”  
Yakni, menerusi benda yang serupa sesuatu  penyakit itu terjadi dan menerusi aplikasi yang serupa ianya disembuhkan.

            Konsep  dan undang-undang fitrah tersebut  juga  dimaklumi oleh Paracelsus,  iaitu  ahli  perubatan German  abad  ke 16 Masehi.  Namun  Dr.  Samuel Hahnemannlah orang yang pertama yang mengasaskan konsep ini menjadi suatu sistem perubatan yang saintifik dan sebagai alternatif kepada sistem  ortodoks.   Lantas beliau   menamakan sistem  itu  homoeopathy.”

 SEJARAH PENGASAS DAN PERKEMBANGAN

HOMOEOPATI

            Christian  Friedrich  Samuel, iaitu  nama  sebenar  yang diberikan  kepada Dr. Samuel Hahnemann, merupakan seorang ahli perubatan berbangsa  German yang di lahirkan di Meissen,  German  Timur pada tahun 1755.  Melalui bimbingan ayahnya, Christian Hahnemann,  beliau  membesar sebagai seorang  yang  berdisiplin.  Semasa menerima pendidikan tinggi di Meissen, beliau dianggap seorang pelajar yang cerdas dan pintar.  Kemudian pada  tahun 1775, beliau memasuki Universiti Leipzig untuk  mempelajari ilmu perubatan.

            Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan universiti  tersebut dan menetap di Vienna dan  Transylvania.  Di  sana beliau mempelajari pelbagai bahasa  sehingga  beliau dapat  menguasai bahasa Latin, Arab, Greek, Inggeris, Perancis dan Sepanyol, selain daripada bahasa ibundanya. Walaubagaimanapun, beliau mengambil  keputusan untuk menamatkan pengajian  perubatannya di  Universiti  Erlangen di mana beliau  telah  dianugerahkan ijazah Doctor of Medicine pada 10 hb. Ogos 1779. 

            Dr. Hahnemann memulakan kariernya sebagai pengamal perubatan  di  Hettstedt, iaitu sebuah perkampungan  galian  di  Saxony.  Sewaktu  di Hettstedt, beliau merasa sedih dan kesal
kerana tidak dapat memberi rawatan yang berkesan dan sempurna memandangkan  keadaan hidup para pelombong serta  keluarga  mereka yang sangat susah.  Lagipun, amalan perubatan pada waktu  itu sangat  mementingkan pembuangan penyakit dan pembedahan  yang terpaksa  melalui  proses yang memeritkan  pesakit  sekalipun pembedahan itu tidak begitu perlu dan mendesak.  Begitu juga, ubat-ubat  berbahaya begitu mudah diberikan kepada pesakit-pesakit  yang didapati sukar untuk disembuhkan.  Perkara  ini membuat Dr. Hahnemann bertambah yakin bahawa apa yang  sebenarnya  terjadi ialah ‘lebih ramai manusia mati disebabkan  rawatan berbanding kerana penyakitnya.’

            Sembilan  bulan berikutnya, Dr. Hahnemann berpindah ke  Dessau dan  bekerja di Mohren Pharmacy.  Farmasi  tersebut  dimiliki oleh seorang  yang agak terkenal di kalangan masyarakat  Dessau.  Bersama pemilik farmasi itu, Dr. Hahnemann melibatkan diri dalam  penyelidikan  kimia yang kemudiannya menghasilkan Apothecaries  Lexicon sebanyak 4 jilid.  Di sini beliau  bertemu dan terpikat dengan anak tiri pemiliknya yang bernama Johanna Kuchler yang berakhir dengan perkahwinan.  Mereka kemudiannya dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Henriette.

            Semasa di Gommern, Dr. Hahnemann mula menceburi bidang penterjemahan untuk menampung perbelanjaannya.  Pada tahun 1784, beliau telah melahirkan  esei perubatan  yang pertama  bertajuk  Direction for Curing Old Diseases.”  Di sini beliau menyarankan tentang perlunya kesihatan awam, udara bersih, tidur yang  mencukupi, senaman rutin dan pemakanan yang seimbang.  Beliau juga telah mencadangkan agar  rumah-rumah dijarakkan di antara satu sama lain supaya cahaya matahari dan udara bersih dapat masuk dengan banyak.

            Apabila  beliau berpindah ke Dresden, Dr. Hahnemann  menyambung  pelajarannya dalam ilmu kimia dan perubatan di  samping menterjemah pelbagai buku daripada bahasa Perancis,
Inggeris, Latin dan Greek ke bahasa German.  Sewaktu proses penterjemahan dilakukan, beliau mengambil kesempatan memberikan sedikit sebanyak komentar.  Menerusi komen-komen beliau, lebih terserlah lagi betapa luas pengetahuannya  dalam bidang kimia dan betapa berlainan  pandangannya mengenai ahli farmasi sezamannya serta cara  pemberian ubat-ubatan.

            Ketika  beliau sekeluarga pindah ke Leipzig  pada  tahun 1789, beliau merasakan amalan perubatan pada waktu itu  sebagai kasar, tidak bertamaddun dan kurang berkesan.   Pandangan ini  menimbulkan kemarahan di pihak yang berada dalam  profesion  perubatan.   Dengan itu, dalam jangka masa  lima  tahun kemudiannya,  keluarga  Hahnemann senentiasa  berpindah  dari satu tempat ke tempat yang lain.

            Dalam saat-saat kesukaran inilah sistem perubatan baru yang  dikenali sebagai “homoeopathy” mula berputik.  Semasa Dr. Hahnemann menterjemah sebuah buku daripada bahasa Inggeris kepada bahasa German yang ditulis oleh Dr. William  Cullen berjodol “A Treaties on Materia Medica,” beliau telah  berdepan  dengan sejenis ramuan - Cinchona (Peruvian Bark).   Cinchona  tersebut  pernah digunakan untuk  merawat  malaria  di Amerika  Selatan dan Eropah. Ia juga dikatakan pernah diguna bagi menyembuhkan Countess of Cuichon, iaitu isteri  pembesar Peru.

            Justeru  didorong  oleh perasaan ingin  tahu yang amat sangat,  Dr. Hahnemann telah mencuba beberapa dos  `Cinchona’ dengan tujuan untuk menguji kesan dan implikasinya.  Setelah dicuba ramuan tersebut, beberapa semboyan utama mula  menjelma.   Kaki  dan hujung jarinya bertukar menjadi  sejuk,  rasa mengantuk datang secara  tiba-tiba,  jantung  dan  denyutan nadinya semakin kencang dan tubuh beliau pula mula menggeletar.  Kejadian ini berulang tiap kali dos `Cinchona’ diambil.

            Takjub akan hasil eksperimen yang tak disangka-sangka itu,  terlintas di fikirannya akan satu undang-undang tabii yang 
mungkin  wujud.  Undang-undang  tersebut  yang  masyhur dengan  nama `Undang-undang Seraksi’ menggariskan bahawa  suatu ramuan ubat itu boleh menyembuhkan orang sakit disebabkan ia boleh  menghasilkan semboyan-semboyan yang serupa apabila  ia diberikan kepada orang yang sihat.  Namun di peringkat  awalnya,  Dr. Hahnemann masih tidak begitu menghargai peri pentingnya penemuan tersebut.

            Pada  musim  bunga tahun 1792, beliau memegang jawatan sebagai pengurus di sebuah institusi penempatan orang  kurang akal.  Di sana beliau membantah cara layanan yang buruk  yang diberikan  kepada  para pesakit.  Sebaliknya,  Dr. Hahnemann dengan jayanya telah menunjukkan cara layanan yang sepatutnya diberikan sehingga ada pesakit yang sembuh di tangan beliau.

            Di samping itu, beliau masih meneruskan usaha  penulisan tanpa henti sehingga tahun 1805.  Dalam waktu yang sama, pada tahun 1796, beliau telah menulis sebuah essei, “New Principles  for Ascertaining  the Curative Powers of Drug,” yang diterbitkan di  dalam  Hufeland’s  Medical Journal.   Tahun inilah  yang dikatakan sebagai tarikh lahirnya sistem perubatan homoeopati secara rasmi di mana kemudiannya Hahnemann kembali mengamalkan praktik perubatan di Leipzig, tetapi mengikut cara  homoeopati.

            Satu  tragedi  melanda Leipzig pada  tahun  1799,  iaitu merebaknya wabak demam scarlet. Dalam pada itu Dr. Hahnemann mendapati  Belladonna  sangat seraksi dengan  semboyan  demam scarlet.  Beliau dengan penuh yakin memberikan penawar Belladonna kepada kanak-kanak di Leipzig dalam dos yang  diperkecilkan dan  ternyata ramai yang  terselamat  daripada  demam scarlet.   Sungguhpun saranan Dr. Hahnemann  tentang  penawar Belladonna  dan  pemberiannya dalam dos yang  kecil  menerima tentangan ramai, tetapi pada tahun 1838
kemudiannya  kerajaan Saxon  mengiktiraf  Belladonna  sebagai  penawar  bagi  demam scarlet.

            Dalam  tahun 1810,  karya Dr. Hahnemann yang  terunggul, “Organon  of  Rational  Medicine”  diterbitkan.   Tajuk  buku tersebut kemudiannya diperbaharui dengan nama “Organon of the Healing Art.” Buku ini mengandungi rumusan-rumusan  homoeopati sebagai kaedah yang rasional dan menjelaskan ayat  demi ayat  prinsip-prinsip  seni kesembuhan yang  ma’kul.   Beliau menekankan  bahawa  kandungannya adalah hasil-hasil daripada pengalaman dan ujikaji yang hanya dirujuk kepada  pengalaman dan  ujikaji yang dilakukan, dan oleh itu kebenarannya  hanya boleh  ditolak  oleh pengalaman yang berlawanan  dan  ujikaji juga.

            Di dalam Organon inilah  Dr. Hahnemann  mengembangkan prinsip asas homoeopati kepada “SIMILIA SIMILIBUS CURENTUR” - atau  Let likes be cured with likes.”  Di mana di dalamnya beliau juga  telah memberikan definisi  kesembuhan  sebenar, iaitu:

            “Setinggi-tinggi hemah dan tugas doktor itu ialah  mengembalikan pesakit kepada sihat sebagaimana yang di kehendaki. Setinggi-tinggi hemah doktor itu ialah mengembalikan  kesihatan  dengan  jalan yang cepat, lemah-lembut dan berkekalan, atau menyembuhkan penyakit secara keseluruhannya dalam jangka masa yang pendek, dapat dipertanggungjawab serta paling tidak merbahaya menurut kaedah yang ma’kul.”

            Sementara teras sains yang dianjurkan oleh Dr.  Hahnemann dalam seni kesembuhan adalah terdiri daripada Undang-undang seraksi, pilihan dos minimum yang sesuai dan ulangan dos.

            Kini Organon diiktiraf sebagai bahan rujukan utama dalam pengamalan  homoeopati seluruh dunia.  Ia  telah  berkali-kali diulang-cetak dan telah diterjemahkan ke dalam sepuluh bahasa
termasuk bahasa Perancis, Hungary, Swedish, Rusia, Itali  dan Sepanyol. Terjemahan dalam bahasa Inggeris telahpun mula didapati pada tahun 1833.

            Dalam masa beberapa tahun,  Hahnemann mengumpulkan  beberapa orang doktor dan sahabat handai yang kejujuran dan kesihatan mereka boleh dipercayai dalam sebuah kesatuan.  Kesatuan itu dikenali sebagai ‘the  Provers Union.’  Ahli-ahli kesatuan  ini  kemudiannya mengambil  risiko  menguji khasiat penawar-penawar dari bahan kimia, akar kayu dan garam galian.

            Mereka dipertanggung-jawabkan mencatat kesemua semboyan-semboyan yang timbul daripada “proving.”  Antara  penawar-penawar  yang diujibuktikan termasuklah Aconite, Arnica,  Belladonna,  Ipecacuanha,  Nux Vomica,  Drosera  dan Chamomilla.  Kesemua  hasil usaha ini telah dikeluarkan di dalam  Materia Medica  Pura” yang pertama kali diterbitkan di  Dresden  pada tahun  1811.  Buku tersebut siap keseluruhannya dalam  enam  jilid  pada  tahun 1821.

            Di samping membicarakan tentang penawar-penawar homoeopati dan aplikasinya dalam merawat penyakit, beliau  memberi penjelasan yang panjang lebar tentang pendekatan  personal dalam rawatan homoeopati.   Beliau juga untuk kesekian kalinya, sekali lagi menekankan tentang kesembuhan kekal yang  hanya boleh didapati menerusi ‘penawar homoeopati dalam dos yang kecil’.

            Malangnya penggunaan dos kecil ini telah membangkitkan kemarahan pembancuh-pembancuh ubat yang  mengalami  kerugian besar sejak ia diketengahkan. The Liepzig Guild telah  bersepakat   untuk  memerangkap  Dr. Hahnemann.   Satu undang-undang Constitutiones Frederici II Imperatoris diluluskan   bagi tujuan menghadkan  kerja-kerja membancuh ubat khusus untuk orang-orang tertentu sahaja. Yakni, ia hanya boleh dilakukan oleh 
pembancuh-pembancuh  ubat  sahaja  dan dengan itu  para  doktor  dilarang daripada memberi ubat secara langsung kepada pesakit.

            Dr. Hahnemann  mendapati adalah mustahil bagi  beliau  untuk mematuhi  undang-undang yang baru diluluskan itu kerana  para pembancuh  ubat  sudah pasti akan membancuh  dalam  dos  yang besar.  Tindakan Dr. Hahnemann untuk tidak mematuhi undang-undang tersebut menyebabkan The Liepzig Guild mengemukakan aduan kepada Majlis  Perbandaran.   Lantas beliau dihadapkan  ke  mahkamah atas sebab melanggar undang-undang negeri.

            Tekanan  ke atas amalan homoeopati berlanjutan  beberapa tahun. Banyak artikel yang memperkecilkan homoeopati  disiarkan  di  dada akhbar dan di dalam  jurnal  perubatan.   Agak ramai juga doktor-doktor homoeopati ditekan dan didakwa.  Umpamanya, Dr. Karl Franz telah dipaksa agar bersara dan Dr. Christian Hornburg didakwa dan dipenjara  sehingga beliau meninggal  dunia tiga hari  kemudiannya.  Bahkan akhirnya Dr. Hahnemann sendiri  meninggalkan  Leipzig menuju Kothen.

            Meskipun  Dr. Hahnemann tidak gemar tinggal  di  Kothen, namun  Duke Ferdinand telah membenarkan beliau mengamal  homoeopati.  Malahan Duke sendiri menjadi pesakit beliau.  Cita-citanya berjaya dan amalan perubatannya semakin maju.  Perkembangan terbaru ini terus tersebar dan ramai daripada sahabatnya yang telah mula mengamal homoeopati saling berutus surat dengan beliau untuk bertukar pendapat.  Pada waktu itu, usia Dr. Hahnemann telah menjangkau 66 tahun.

            Sebuah lagi buku utama yang dikarang oleh Dr.  Hahnemann ialah “The Chronic Diseases, Their Peculiar Nature and  Their Homoeopathic Cure.”  Jilid pertama buku tersebut mengembangkan idea-idea mengenai prinsip-prinsip dan amalan  homoeopati serta  pendekatan holistiknya.  Sementara jilid  kedua menceritakan  tentang kuasa hayat sebagai  kuasa  penyembuhan
tubuh  manusia.   Dalam  penekanannya  tentang  kuasa  hayat, beliau telah memperkenalkan aspek-aspek metafizik  homoeopati dan lantas memperkenalkan teori “psora” yang berkaitan dengan pembawaan  penyakit dari satu generasi kepada  generasi  yang lain.

            Beberapa  tahun  kemudian  isterinya  Johanna  meninggal dunia dan Dr. Hahnemann sudah hampir pada detik-detik  persaraan  daripada  mengamal homeopati.   Hidupnya  mekar  semula dengan kehadiran Melanie D’Hervilly yang datang untuk  mendapatkan  rawatan homoeopati daripada beliau.  Pada waktu  itu, beliau  sudah  begitu terkenal sebagai  orang  yang  mengasas homoeopati. 

            Pada Januari  1835,  Dr. Hahnemann  mengahwini Melanie yang pada waktu itu berusia dalam lingkungan 30 tahun. Sedangkan usia Dr. Hahnemann di waktu itu sudah hampir 50 tahun lebih tua daripadanya.

            Hanya  kira-kira  tiga bulan sebelum  beliau  menyambut hari jadinya yang ke 80, Dr. Hahnemann telah dipilih  sebagai “Honorary  Member of the North American Academy of  Homoeopathy” berpusat di Allentown, Pennsylvania.  Ia merupakan kolej homoeopati  yang pertama didirikan di Amerika  Syarikat  oleh Dr. Constantine Hering, iaitu salah seorang daripada sahabatnya yang sama-sama berjuang menegakkan sistem perubatan homoeopati. 

            Kejayaan  rawatan beliau yang ditambah  dengan  dorongan dan  promosi  daripada isterinya sendiri  menyebabkan  amalan homoeopatinya  terkenal sekali sampai ke England,  Peranchis, Eropah dan ke seluruh dunia.  Sementara penentangan  daripada kalangan  doktor allopati menurun dengan mendadak  pada  awal 1840an.   Dan  akhirnya, pada 2hb Julai  1843  Dr.  Hahnemann telah  menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Beliau pergi setelah 
bergelut dengan pelbagai tragedi dalam memperjuangkan  perubahan  dan mengembangkan sistem perubatan homoeopati.

 KEMEROSOTAN HOMOEOPATI

            Perkembangan homoeopati mulai mengalami zaman kemelesetan selepas kematian beliau berikutan penemuan-penemuan  baru dalam ilmu perubatan konvensional.  Meskipun kemajuan  sistem perubatan konvensional tidak memperlihatkan  sebarang pertentangan dengan konsep-konsep homoeopati, tetapi sikap  cemburu pakar perubatan terhadap homoeopati berterusan  menghimpit kedudukannya  di mata masyarakat. 

            Inilah  yang  mengakibatkan  kejayaan  homoeopati  dalam merawat pesakit kolera pada tahun 1854, seperti yang dilaporkan oleh Margery Blackie, telah tidak mendapat perhatian dan disembunyikan dalam laporan yang dibuat oleh British  Medical Council.  Hanya apabila perkara tersebut dibawa ke parlimen, barulah  didedahkan bahawa kadar kematian bagi kes kolera  di hospital  homoeopati London hanyalah 16.4 peratus  berbanding 51.8 peratus di hospital-hospital lain.  Namun begitu, sikap cemburu dan prejudis terhadap homoeopati tidak dapat diredakan.

            Dalam  keadaan  demikian, homoeopati  masih  tumbuh  dan melata  ke  segenap  penjuru dunia.  Bukan  saja  ia  berjaya meneroka negara-negara di Eropah, England dan Amerika  Syarikat,  malah berkembang ke negara-negara di  Amerika  Selatan, benua  Afrika,  Australia, New Zealand, Rusia dan ke Asia seperti Pakistan,  India, Sri Lanka dan Malaysia.

PERKEMBANGAN HOMOEOPATI DI MALAYSIA

            Di  Malaysia, sistem perubatan homeopati diasaskan  oleh seorang tokoh yang amat berjasa kepada tanah air iaitu  Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969). Seorang yang  bergiat cergas dalam organisasi politik dan  agama,  salah seorang pengasas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan  pernah menjawat jawatan presiden Partai Islam Se Malaysia (PAS). 

            Homoeopati  dibawa  masuk  dan  diperkenalkan  di  tanah Melayu  oleh Dr. Burhanuddin apabila beliau pulang ke  Malaya pada tahun 1929.  Beliau merupakan graduan daripada Ismaeliah Medical College, New Delhi.

            Berdasarkan keterangannya, homoeopati begitu berjasa kepadanya  kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit  lelah  yang dialaminya.  Selanjutnya, pada tahun 1937 hingga tahun  1942, beliau bersama Prof. Dr. Rajah membuka Gedung Homoeopati  di Singapura dan Johor Bharu.  Usaha ini terhenti apabila beliau sibuk  menguruskan  soal-soal  agama dan  tanah  air.   Malah beliau  pernah ditahan selepas tragedi NATRAH di Pulau  Sekijang, untuk tempoh Ogos 1951 - Sept. 1952.

            Pada akhir tahun 1952, beliau mula kembali mengamal dan menggunakan penawar homoeopati dengan memberikan banyak pertolongan  kepada keluarga dan sahabat handai.  Kemudiannya,  dalam  pertemuan dengan beberapa orang pemuda, beliau mencadangkan supaya ilmu perubatan homoeopati dipelajari dan dikembangkan  sehingga menjadi perubatan nasional bagi negara Malaysia Merdeka. 

            Berdasarkan  tulisan Prof. Dr. Mohd Nor,  selepas lebih enam bulan, barulah dapat dikumpulkan seramai dua belas orang penuntut.   Pada 15 hb. Dis. 1953, Dr. Burhanuddin telah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian  Pelajaran Singapura untuk mengajar dan mempraktik homoeopati..  

            Dalam surat jawapan terhadap permohonan itu,  disebutkan bahawa  amalan  mempraktik  homoeopati  tidak  diiktiraf  dan kerana itu lesen mempraktik tidak perlu dikeluarkan. Kebenaran bagi kuliah rasmi perubatan homoeopati diterima,  tetapi pengamal  homoeopati tidak boleh didaftarkan sebagai  Medical Practitioners  mengikut  Medical Registration  Ordinance  dan tidak boleh dipanggil “Doktor.” 

Walaupun  tanpa  pengiktirafan - dengan  kebenaran  itu, tahun  1953/1954 dianggap tahun yang bersejarah  dalam tinta tanah air.  Pada tahun tersebut, lahir sebuah institusi  atau pusat  pengajian homoeopati yang pertama secara  informal  di rumah Dr. Burhanuddin sendiri iaitu Kampung Pachitan,  Singapura.  Antara 12 orang pemuda perintis yang mengikuti  kuliah itu termasuklah Prof. Dr. Mohd. Nor Noordin, Dr. Hj. Dali b. Hj. Muin,  Dr. Mohammed Hj. Yaakub dan Dr. Abd.  Rahman  Hj. Hashim.

            Teks yang digunakan dalam kuliah bagi generasi  pengasas pada  waktu itu terdiri daripada:  The Organon of Medicine (Hahnemann); Materia  Medica (Nash, Kent, Chauldry);  Philosophy (Kent); The Chronic Diseases (Hahnemann);  Muqaddimah (Ibnu  Khaldun) dan  termasuk juga  kitab Hadis Arbain. 

            Asas sumpah Hippocrates yang masyhur  telah dijadikan asas  “Janji Setia”. Justeru itu, setiap pelajar perubatan homoeopati: harus  menganggap Gurunya sebagai Bapa dan anak mereka sebagai saudara kandung, sanggup  memandang sesama sendiri sebagai keluarga;  berjanji tidak memberi “Drug” yang membahayakan serta membunuh  kepada pesakitnya;  berjanji  tidak memberi ubat  bagi  menggugurkan Janin dalam kandungan; menjaga kehormatan seni rawatan dengan penghormatan yang tinggi; dan sentiasa sedia memberi  khidmat di mana sahaja ia berada.

            Meskipun  ilmu perubatan homoeopati tersangat baru dan pelbagai anggapan negatif dihadapi, tetapi beliau menjelaskan betapa pentingnya menyemaikan ilmu kepada anak bangsa
terutama  ilmu  berkaitan dengan kesihatan sebagai melengkapkan pengisian  kemerdekaan  suatu  bangsa.   Justeru  itu,  dalam ucapan pembukaan kuliah sulungnya, beliau menyatakan:

            “.......  saya berpendapat, ilmu  kedoktoran  homoeopati ini adalah satu milik bangsa (national asset) yang dapat saya sembahkan menjadi  pusaka kekal buat negara yang merdeka kelak.”

            “Selain dari itu yang menjadi pilihan saya kepada  homoeopati ialah kerana pengalaman saya mengidap penyakit  lelah di mana puas saya berubat dengan ubat-ubat lain tetapi  tidak mahu  sembuh.  Tetapi setelah saya mencuba ubat homoeopati, maka  idapan saya yang selama ini tidak  baik-baik,  telahpun pulih.”

            “Oleh itu, saudara-saudara perintis adalah merupakan angkatan  yang  menjadi harapan bangsa di masa  akan  datang. Apa lagi ilmu kedoktoran ini adalah satu cabang ilmu mengikut aliran tabii semula jadi.  Oleh itu ia merupakan suatu sistem yang sejajar dengan kehendak nature.”

            Kuliah-kuliah  bergerak cergas di pusat Malaysia  Health Centre (MHC) di 107, Jalan Sultan Singapura.  Pada tahun 1957 terdiri pulalah Dewan Kesihatan Melayu di Singapura dan Dewan Tata Hidup di Kuala Lumpur. 

            Semangat  memperkembangkan homoeopati  semakin  mendapat perangsang  apabila  Dr. Corea datang melawat  Malaya  secara rasmi  dengan  tugas Congress Perubatan  Homoeopathy  Sedunia pada masa Malaya Merdeka.  Dr. Edward Mac. Heyzer yang pernah bertugas  sebagai  doktor dan surgeon tentera  dalam  angkatan tentera British semasa perang Jepun turut aktif  membantu memperluas dan memperkenalkan homoeopati di hospital dan golongan terpelajar.  Beberapa orang India yang 
mempelajari homoeopati juga membantu  dengan  bertindak  secara  layman physician dalam memberi rawatan atau membuka kedai-kedai ubat homoeopati.

            Pada  tahun  1960,  berkumpul pula  para  pendokong  dan perintis  homoeopati di Kuala Lumpur untuk  memikirkan nasib dan  matlamat sistem perubatan homoeopati serta menggariskan perjuangan  untuk dekad-dekad akan datang.  Berkat azam yang kuat  dan sama semuafakat, maka tertubuhlah sebuah  persatuan homoeopati  yang pertama di Malaysia yang dikenali dengan  nama “Persatuan Homoeopathy Malaya” (Homoeopathic Society of Malaya).

            Persatuan Homoeopathy Malaya didaftarkan secara rasmi  pada tahun 1961 di mana Presiden pertamanya ialah Prof. Dr. Burhanuddin sendiri.  Setiausaha agungnya, Dr. Mohammad bin  Hanif  dan  Bendahari agungnya ialah Dr. Yaakob Ibrahim.   Ahli-ahli jawatankuasa  yang  lain termasuk Dr. Rahmat b.  Ma’dom,  Dr. Rashad  Shamsuddin, Dr. Abd. Rahman Hashim, Dr.  Bahrom  Shah dan  Dr. Ismail b. Muhammad.  Ibu pejabat persatuan di  waktu itu ialah di 38-B Jalan Hale (Raja Abdullah) Kuala Lumpur.

            Di  dalam ucapan semasa merasmikan persatuan ini,  Prof. Dr.  Burhanuddin menggariskan tujuan dan  matlamat  persatuan sebagai:

·        Mendirikan dan memajukan perubatan homoeopati dan lain-lain cara tabii.

·        Menggalak dan meninggikan kesihatan, kewarasan,  kecerdasan rohani dan jasmani.

·        Mengadakan kemudahan bertukar fikiran dan pengetahuan antara ahli dan orang ramai dengan mengadakan ceramah dan lain cara yang halal.

·        Memajukan kepentingan bersama, meninggikan akhlak dan pelajaran.

·        Menanam semangat dan kemahuan untuk memajukan diri sendiri dan mengajarkan kepada ahli akan kegiatan-kegiatan homoeopati.

            Persatuan yang ulung ini membuka keahliannya kepada tiga jenis  keahlian ialitu: ahli penuh, ahli bersekutu  dan  ahli penyokong di mana hanya orang yang mempunyai kelayakan sahaja diterima  sebagai ahli penuh.  Bersama dengan itu  juga,  Dr. Burhanuddin menganjurkan agar pusat-pusat rawatan homoeopati ditubuhkan.  Di samping memberi rawatan, pusat-pusat ini  juga  boleh menjadi tempat-tempat latihan kepada pelajar-pelajar  homoeopati.

            Jasa  Dr. Burhanuddin seterusnya ialah menyuarakan  isu-isu homoeopati beberapa kali di Parlimen semasa  beliau menjadi ahli parlimen bagi tahun 1959-1964.  Suaranya yang lantang membolehkan aktiviti mengembangkan ilmu perubatan  homoeopati bergerak  ke  seluruh negara.  Kemudian  dalam  mengembangkan homoeopati  seterusnya beliau berusaha mengumpulkan  pelajar-pelajar yang setia untuk mengikuti kuliah homoeopati di  Ehya Assharif  Gunung  Semanggol, Perak. 

            Tidak banyak tulisan-tulisan yang memperincikan kegiatan pengembangan  ilmu perubatan homoeopati yang dilaksanakan oleh beliau di tahun-tahun berikutnya.  Akhirnya, pada 25 hb. Oktober 1969,  Dr. Burhanuddin pulang ke rahmatuLlah setelah berjaya  menaburkan banyak  jasa-jasa  kepada masyarakat,  orang  Melayu,  Islam, politik tanah air dan tidak ketinggalan mewariskan  homoeopati.  Justeru banyaknya jasa-jasa beliau seperti yang  disebut-sebut dalam sejarah tanah air sebelum dan selepas  merdeka, maka beliau masih dikenang hingga ke hari ini.


            Pemergian Allahyarham Dr. Burhanuddin memang sukar dicari ganti.  Tetapi demi untuk menerajui persatuan yang masih muda ini,  kepimpinan  persatuan diberikan kepada timbalannya  iaitu Prof. Dr. Mohd. Nor  Noordin.   Pergerakan homoeopati  dikatakan bergerak lebih aktif lagi  selepas  itu dengan menambah bilangan peminat dan  penyokongnya.   Pada tahun 1979,  persatuan ini diubah namanya  kepada  Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysia Homoeopathy Medical Association) atau ringkasnya PPHM.

            Di  bawah pimpinan Dr. Mohd. Nor, persatuan ini  semakin giat aktivitinya  dengan menganjurkan ceramah, seminar dan memberi kuliah.  Ini terutamanya apabila pusat-pusat  rawatan homoeopati mula tumbuh dengan pesatnya di Kuala  Terengganu, Guar Chempedak (Kedah), Parit Buntar, Krian (Perak), Muar (Johor),  Jasin  (Melaka), Sungai  Besar,  Klang,  Sekinchan (Selangor),  Kota Bharu dan lelain tempat lagi di mana  khidmatnya mendapat sambutan.

            Pada  tahun  1980an, persatuan ini  juga  mula  mendapat sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan banyak seminar-seminar  yang diadakan turut dinaungi oleh tokoh-tokoh  politik.  Dengan pertolongan pengamal-pengamal seperti Dr.  Dali, Dr. Abd. Ghani, Dr. Nik Omar, Dr. Teo, Dr. Ghulam Rasool  dan ahli  jawatankuasa PPHM 1970-1984, diberitakan bahawa homoeopati berjaya  dikembangkan di universiti-universiti, terutama di UTM. 

            Perkembangan  di akhir-akhir ini menunjukkan  satu  demi satu pertubuhan homoeopati diwujudkan samada ia mendapat asas daripada  PPHM ataupun tidak.  Antaranya ialah persatuan  Dr. Mohamad Hj. Yaakob yang menubuhkan Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM) yang beribu  pejabat  di Johor Bahru, Persatuan Pengamal-pengamal Perubatan  Homeopati Berdaftar Malaysia (MRHP) di bawah Dr. Nik Omar
dan Persatuan Pengamal Perubatan Homoeopati Malaysia (PPPHM) yang  berpusat di Alor Star, Kedah.

            Bagaimanapun, kata sepakat dicapai antara PPHM dan PPHBM untuk menyelaraskan daya usaha dan tenaga serta  menyambung amanah al-Marhum Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dengan bergabungnya kedua-dua  kesatuan itu menubuhkan Majlis Homoeopati  Kebangsaan  Malaysia  pada  11 April 1993.   Dengan  itu ahli-ahli kesatuan yang bergabung itu dapat bekerjasama  mempertahankan homoeopati tulen mengikut fahaman mereka.

            Namun  begitu,  peranan MRHP turut  menonjol  dari  segi perkembangan homoeopati di mata masyarakat mutakhir ini justeru aktivitinya yang bersifat komersil selain aktiviti  biasa memberi  kursus  dan ceramah seperti PPHM.   Banyak  barangan atau hasil keluaran homoeopati dari kesatuan tersebut  mendapat  tempat  di hati masyarakat.  Ini termasuk juga aktiviti dan usaha MRHP membantu masyarakat Selatan Thai sewaktu mengalami banjir dan mangsa peperangan saudara di Afghanistan. 

            Sementara  penerokaan kursus jarak jauh  dan  penerbitan majalah  “Utusan  Kesihatan” untuk tatapan  umum  oleh  PPPHM turut membantu mengembangkan homoeopati dengan lebih   meluas.  Meskipun PPHM yang bersikap tradisional mengkritik dan enggan mengiktiraf kursus seumpama itu, namun ia turut  berperanan membantu  memperluaskan ilmu perubatan homoeopati di  mata  masyarakat.  Dalam  hal  ini, perlantikan Ke bawah Duli  Yang Maha Mulia Sultan Kedah sebagai penaung PPPHM mungkin membantu persatuan tersebut dalam kelangsungannya.

            Selain itu, terdapat aktiviti-aktiviti pengembangan homoeopati  yang dijalankan secara bersendirian.  Ini  berlaku menerusi  pembukaan pusat-pusat rawatan,  pengeluaran  produk baru homoeopati, jualan langsung (direct selling),  penerbitan majalah/makalah dan seumpamanya.  Walaupun  aktiviti-aktiviti
secara bersendirian tidak digemari oleh persatuan dan mungkin menimbulkan natijah sampingan, sedikit sebanyak ia telah membantu  menyebarkan  ilmu  perubatan  tersebut.   Malah  tidak sedikit  aktiviti  secara individu turut mendapat  tempat  di media dan majalah.  

            Bagaimanapun, perkembangan yang menarik  dalam  sejarah homoeopati di Malaysia dan yang membezakan ia dengan  sejarah perkembangan homoeopati awalan dan di negara-negara  lain ialah  mengenai usaha murid-murid Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam memperkaitkan antara perubatan homoeopati  dengan Islam.   Antara  bukti-bukti yang sering  diperjelaskan  oleh mereka  termasuklah prinsip similimum yang dikiaskan kepada hadis  Rasulullah  s.a.w. mengenai jatuhnya  lalat  ke dalam minuman  (yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu  Daud),  keseimbangan  vital force sebagai pancaran ruh dan nama-nama penawar homoeopati yang digunakan yang mana sebahagiannya ada tersebut di dalam al-Qur’an.

 KESIMPULAN

            Menyorot  kembali  sejarah bermulanya  homoeopati  sejak zaman penemuannya sehingga ia berkembang ke pelbagai  negara, jelaslah bahawa zaman yang dilalui oleh Dr. Samuel  Hahnemann merupakan zaman yang sangat sukar dan penuh tribulasi.  Sekiranya dicoret sejarah perkembangan homoeopati di England, Amerika  Syarikat, India, Pakistan, Australia atau mana-mana tempat di dunia, kehebatan dan cabarannya tidak sama dan jauh lebih kecil. 

            Di sesetengah negara seperti di England, homoeopati berkembang justeru hubungannya dengan pihak atasan atau istana.  Ia juga lebih cenderung mendapat tempat di hati masyarakat apabila  praktiknya dilakukan oleh pengamal yang mempunyai latar
belakang kedoktoran  konvensional dan merawat secara homoeopati justeru  kepakarannya di dalam kedua bidang tersebut. 

            Perkembangan mutakhir yang memberangsangkan bermula sejak  akhir 1970an apabila orang ramai mulai sedar tentang kesan-kesan sampingan dan unsur-unsur ketagihan (addictive) penggunaan ubat-ubat moden. Malah terdapat ubat-ubat yang  pernah digunakan  telah dikurangkan atau dihentikan pengeluarannya sama-sekali.  Selain itu, masyarakat juga mulai sedar  mengenai  keterbatasan  sistem rawatan allopati yang  tidak  mampu mengubati  semua jenis penyakit.  Contoh yang paling jelas dapat dilihat dalam kes kegagalan merawat sesetengah jenis kanser  dan  AIDS.

            Ada juga yang beralih kepada rawatan homoeopati  justeru ianya dianggap lebih selamat dan tidak mengandungi sebarang bahan dadah.  Rawatannya  pula boleh  didapati dengan bayaran yang secara relatifnya lebih  murah. Akhir sekali, kita juga dapat saksikan bagaimana bertambahnya kesedaran di kalangan masyarakat tentang senaman, pemakanan, cara hidup sihat  di samping kecenderungan masyarakat hari ini  kepada rawatan secara holistik.  Semua ini membantu ke arah penerimaan semula masyarakat terhadap homoeopati.

(mukadimah Bab 1)

Mohamed Hatta Abu Bakar, 1997.  Perubatan Homoeopati – Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

Semua bahan adalah hakcipta HBI Health & Homoeopathy Centre. Saranan dan komentar dialu-alukan: mailto:drhatta1@yahoo.com.