Kembali

DR. BURHANUDDIN AL-HELMY: PELOPOR PERUBATAN HOMEOPATI DI MALAYSIA
(Dr. Burhanuddin: The Founder of Homeopathy in Malaysia)

- Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)

Dr Burhanuddin AL-HELMY (1911-1969)

Dr. Burhanuddin dilahirkan pada 29hb Ogos 1911 (walaupun ada yang berpendapat tarikhnya pada bulan November) di Kampung Changkat Tualang, Taiping, Perak. Ayahnya berasal dari Minangkabau, Indonesia. Kehadirannya di bumi bertuah ini memberi sumbangan bermakna kepada politik Malaysia justeru beliau terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut kemerdekaan sejak sebelum pendudukan Jepun.

          Dalam bidang perubatan homeopati, beliau merupakan lulusan Medical Doctor of Homoeopathy (M.D.H) dari Ismeliah Medical College, Hydrabad, India. Selain itu, beliau juga menerima ijazah Doctor of Naturopathy (N.D) daripada School of Naturopathy, London dan Doctor of Divinity daripada International Academy Canada. Beliau juga merupakan ahli International Federation of Naturopath (I.F.N) dan Homoeopathic Physician Association (H.P.A., London).

Di kalangan masyarakat homeopati di Malaysia beliau dikenali sebagai orang Melayu pertama yang belajar homoeopati dan bertanggungjawab memperkembangkannya pada dekad-dekad awal. Beliau dikatakan telah mempraktikkan ilmu perubatan homoeopati sejak tahun 1929 (atau 1934) sebaik sahaja pulang daripada India.

Berdasarkan petikan artikel yang ditulis oleh Dr. Burhanuddin sendiri, jelas bahawa beliau belajar homeopati semasa di India lagi. Pada tahun 1937, sewaktu di Singapura, beliau membuka klinik (atau disebut Gedung Perubatan Homeopati) bersama Dr. Rajah di Singapura dan Johor Bahru. Ini berlangsung sehingga tahun 1942 bila perang dunia ke 2 sampai ke tanah Melayu.

Namun beliau terlalu sibuk dengan agenda politik semasa. Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda. Semasa dalam tahanan, beliau mengambil kesempatan mengarang buku "Falsafah Perubatan Homeopati" (yang mana kandungannya baru saja diterbitkan oleh HBI Health & Homoeopathy Centre di dalam buku bertajuk "Pengantar Falsafah Perubatan Homeopati" beserta sinopsis kuliah)

Justeru, hanya pada tahun 1953 atau 1954 baru beliau beroleh kesempatan mendidik pelajar perintis homoeopati. Meskipun tulisan Dr. Mohd Nor Noordin menyatakan tahun 1952 pelajaran bermula, tetapi Dr. Burhanuddin sendiri menyebut tahun 1952 sebagai permulaan beliau kembali mengamalkan homeopati. Hanya pada tahun 1954 suatu Angkatan Pemuda Homeopathy mulai dikumpulkan bagi mempelajari ilmu berkenaan, sebagai tugas yang dipertanggungjawabkan oleh Perguruan Homeopathy Internasional. 

Selepas merdeka pada tahun 1957, beliau melangkah ke hadapan dalam kerjaya politik apabila memenangi kerusi parlimen bagi tahun 1959-1964. Di waktu itu beliau mengusaha penubuhan persatuan homeopati yang pertama di Malaysia. Persatuan homeopati itu didaftarkan pada 1962 dan dikenali sebagai Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysian Homoeopathic Medical Association) atau PPHM. Pada masa yang sama beliau dilantik sebagai presiden persatuan yang pertama.

Selain bijak dan petah berucap, Dr. Burhanuddin juga mahir menulis. Beliau banyak menyumbangkan hasil tulisan baik dalam bidang politik maupun homoeopati. Banyak artikel yang ditinggalkan beliau. Sebahagian daripada tulisan itu telah diterbitkan, khususnya mengenai politik.

Buku-buku homeopati beliau telah disalin dan diperturunkan kepada kerabat homeopati dari generasi pertama, tetapi malangnya tiada satupun diterbitkan. Sedangkan karyanya mengenai falsafah homeopati, materia medika dan biokimia merupakan rujukan utama dalam bahasa ibunda bagi para pelajar homeopati di Malaysia untuk dua dekad yang pertama.

Hasil karya homeopati beliau dalam bentuk artikel banyak diterbitkan di dalam majalah persatuan. Karya dalam bentuk buku untuk pertama kalinya dimuatkan secara keseluruhan di dalam buku "Pengantar Falsafah Perubatan Homeopati" yang dikeluarkan oleh HBI pada tahun 2011.

 

Sumber:

1. Mohamed Hatta Abu Bakar HMD. 1997. Perubatan Homoeopati. Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

2. Mohamed Hatta Abu Bakar HMD. 1997. Esei-esei Milenium Baru. Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

3. Nota Kuliah Dr. Teew Lian Eng.

 

-  diedit semula pada 7 September 2011 oleh www.drhatta.com.

 

 

   

Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
drhatta3@yahoo.com

 


English/Synopsis: Tracing the history of homoeopathy in Malaysia is very interesting. While acknowledging that homoeopathy originally brought by Indians, many homoeopaths agreed that the founder of homoeopathy in Malaysia was Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy. Graduating from Ismaeliah Medical college, New Delhi in 1934, he started a homoeopathic clinic in Singapore with Dr. Rajah. He trained twelve disciples who pioneering the spread of homoeopathy in the peninsular. In 1961 he founded the Homoeopathic Medical Association of Malaysia. This association is still in existence. But now there are at least six homoeopathic association in the country. Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

[The history of homoeopathy in Bahasa Malaysia (Malay language) here is an exerpt from the book "Perubatan Homoeopathy"  (Homoeopathic Medicine) written by Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD. ISBN 983-99179-0-0, published in 1997, through HBI Health & Homoeopathy Centre.]

Copyright Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH) 2011