Koleksi Artikel

 

 

 

 

 

 PENGAMAL VIRTUAL HOMEOPATI MALAYSIA 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

 

 

 

BAWANG PUTIH, BAWANG MERAH

DALAM

ILMU PERUBATAN

 

Oleh:

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

Di dalam masyarakat Melayu, “Bawang Putih Bawang Merah” mungkin popular sebagai satu cerita penglipur lara yang banyak berunsur pengajaran. Ia juga merupakan satu filem yang menarik untuk ditonton oleh seisi keluarga. Tetapi sama ada kita sedari atau tidak, bawang putih dan bawang merah adalah dua sumber tumbuhan yang memang ada disebut di dalam al-Qur’an.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 61, petikan sebahagian daripada terjemahan ayatnya berbunyi begini:

“Dan ingatlah ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak dapat sabar dengan satu macam makanan saja. Sebab itu mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu agar Dia mengeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang ditumbuhkan bumi, iaitu dari: sayur-mayurnya, mentimunnya, bawang putihnya, kacang dalnya dan bawang merahnya.”

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa bawang putih dan bawang merah adalah di antara kurniaan Allah yang menjadi keinginan dan kesukaan manusia. Di dalam ayat ini jelas kepada kita bahawa ia merujuk kepada kaum Bani Israil, iaitu pengikut Nabi Musa. Kelazatan makanan begitu menguasai benak mereka sehingga Nabi Musa mengherdik pengikutnya kerana sanggup memberontak ingin menukarkan kelazatan dunia itu dengan kebebasan dari perhambaan.

   Kembali kepada tujuan tulisan ini, kegunaan keduanya bukan sahaja setakat memperlengkapkan rempah ratus yang digunakan di dalam masakan. Bahkan lebih daripada itu, ia sangat berguna bagi kesihatan dan amalan perubatan. Banyak tulisan-tulisan yang menyebutkan bahawa orang-orang yang bekerja untuk mendirikan piramid di mesir suatu waktu dahulu mengambil khasiat bawang putih dan bawang merah sebagai amalan harian dan menjaga kesihatan.

Dalam sejarah perubatan herba yang paling awal, iaitu sejarah Mesir purba, nama Allium sativum atau bawang putih boleh ditemui dalam papyri perubatan (medical papyri) yang disusun antara tahun 1500 hingga 1000 sebelum Masehi. Daripada preskripsi-preskripsi yang dicatatkan di dalam “Ebers papyrus”, ada disebutkan Allium sativum (bawang putih) sebagai agen efektif terhadap pelbagai gangguan termasuk sakit kepala, cacing dan masalah jantung serta sirkulasi.

            Di Greek, seorang tokoh ilmu perubatan termasyhur yang bernama Hippocrates (460-357 SM) mengesyorkan penggunaan bawang putih sebagai amalan dalam mengatasi penyakit-penyakit infeksi dan ragam usus. Demikian juga di India, ia merupakan salah satu bahan yang biasa digunakan di dalam perubatan tradisional Ayurveda.

Seorang naturopath semasa dari Australia, iaitu Russel Setright menyatakan bahawa “bawang putih memberi perlindungan terhadap demam selsema, penyakit-penyakit berjangkit seperti tifoid dan disenteri, meningkatkan pengaliran air hempedu dalam hati, juga boleh digunakan bagi merawat tuberkulosis, bronkitis dan lain-lain gangguan pernafasan di samping merawat penyakit-penyakit usus. Ianya turut digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi dan pengerasan arteri. Bawang putih juga boleh mengurangkan kolesterol” (Get Well, 1990)

            Antara kandungan bawang putih yang bermanfaat bagi kesihatan ialah vitamin A, B1, B2 dan C serta kuprum, sulfur, mangan, zat besi dan kalsium. Ia turut dilaporkan sebagai mengandungi ramuan pengawalan kolesterol, antibiotik dan agen antipembekuan darah semulajadi. Kemasyhuran khasiat dan luas penggunaannya menyebabkan banyak syarikat-syarikat pada hari ini mengeluarkan pelbagai pil garlic dengan berbagai-bagai jenama untuk pasaran.  

             Allium Cepa atau bawang merah tidaklah begitu popular seperti Allium Sativum dalam perubatan herba. Tetapi ia telah sama-sama memberi sumbangan dalam perubatan sebagai bahan antiseptik, khususnya dalam melegakan sakit dan inflamasi, seperti apabila terdapat kulit melecur akibat terbakar. Beberapa kajian menunjukkan bahawa ia dapat mengurangkan keadaan hipertensi, kandungan gula yang tinggi dalam darah, serta aras kolesterol dan kandungan lemak dalam darah. Ia juga membantu melegakan sakit akibat banyak angin dalam usus.

            Di dalam buku “Indigenous Drugs of India”, pengarangnya menyatakan “Bawang merah melegakan saraf, mengeluarkan kahak dari saluran bronkial dan melawan kegatalan. Ia biasa dimakan mentah. Ia adalah ubat buasir, batuk dan selsema yang terkenal. Bila dimasak dengan cuka ia berguna untuk sakit jantung, bengkak kura dan lebihan asid dalam perut, juga bertindak melegakan sakit dan bengkak. Air perahannya biasa digunakan untuk disapu kepada penyakit kulit, bisul dan gigitan serangga. Bawang merah yang telah dibakar dan ditumbuk dapat digunakan untuk mengubati kulit yang melecur, luka dan telinga menanah. Dicampur sedikit minyak ia dapat digunakan untuk sakit sendi, bengkak-bengkak dan sakit kulit”.

            Dari segi kandungan, bawang merah dikatakan kaya dengan pelbagai vitamin termasuk vitamin B1 (thiamine), B2 (riboflavin) dan C (ascorbic acid). Sesetengah ahli herba mutakhir mendakwa aplikasi bawang merah boleh menghilangkan ketuat dan mencegah jerawat. Mereka juga mendakwa bahawa ia boleh bertindak sebagai bahan diuretik.

            Para pengamal homeopati mengambil khasiat daripada kedua sumber herba ini dengan cara memperkuatkan kuasa menerusi proses dinamisasi yang diajar oleh Dr. Samuel Hahnemann. Daripada hasil usaha itu, lahirlah tinktur homeopati yang dikenali dengan nama penawar Allium sativum dan Allium cepa dalam pelbagai potensi. Untuk mengetahui keberkesanannya di dalam rawatan, kedua-dua bahan itu telah dibuktikan secara homeopati menerusi proses “proving” ke atas manusia yang sihat.

            Di dalam Materia Medica With Repertory  karangan Dr. William Boericke, beliau menyatakan Allium sativum dalam bentuk potensi bertindak secara langsung ke atas membran mukus intestin serta meningkatkan peristalsis. Ia berguna bagi sakit perut memulas dan menurunkan tekanan darah. Ia sesuai bagi pesakit yang makan lebih daripada minum, terutamanya daging. Pesakit tuberkulosis pulmonari juga boleh mengambil manfaat daripadanya sekiranya simptom-simptom yang dipaparkan adalah seraksi.

            Dari sudut perubatan homeopati, Allium cepa pula dinyatakan sebagai penawar penting kerana kesannya yang jelas terhadap kataral, mata, hidung dan larinks. Terdapat simptom panas membakar pada bahagian-bahagian di atas serta saraf rasa sakit. Perbandingan kesan terapeutik Allium cepa adalah sebagaimana keadaan apabila seseorang itu terkena percikan jusnya semasa menghiris bawang merah untuk memasak di dapur.

            Allium cepa boleh dipreskripsi untuk demam jerami serta turut digunakan bagi merawat koriza yang diiringi simptom-simptom laringial dan discaj hidung yang menusuk pedih. Simtom minda pesakit biasanya menunjukkan pesakit cenderung berada dalam keadaan gelisah dan keliru. Pesakit juga tidak tahan berada dalam cuaca sejuk dan lembap.

WaLlahu a’lam.

 

(Dakwah, September 2000

TAJUK

 

 © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD