Koleksi Artikel

 

 

 

 

 

 PENGAMAL VIRTUAL HOMEOPATI MALAYSIA 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

 

 

 

DEMAM DAN RAWATAN HOMEOPATI

 Oleh:

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

  

Demam merupakan suatu keadaan yang sering dialami oleh setiap orang. Keadaan demam yang terlalu kerap atau terlalu lama selalunya memerlukan diagnosis yang cermat. Kerap kali demam datang disebabkan oleh sesuatu penyakit yang dihidapi. Tetapi ada masanya seseorang itu menghidap penyakit yang serius namun tidak demam. Sebaliknya terdapat tanda-tanda lain yang menunjukkan kesihatannya telah terganggu. 

            Demam atau ‘pireksia’ ialah peningkatan suhu badan melebihi paras normal. Suhu badan yang normal ialah 37 ºC. Perubahan suhu dalam sehari menjadi lebih tinggi atau lebih rendah dalam lingkungan 1 ºC juga lumrah. Fenomena ini dipanggil circadian rhythm. Bahkan jika seseorang itu menjalani riadah atau terdedah kepada cuaca panas yang terik, suhu badan boleh meningkat tinggi. Tetapi umumnya apabila suhu badan meningkat melebihi 38 ºC, orang itu dikatakan mendapat demam.

             Penjelasan perubatan mengenai mekanisma penghasilan demam masih bersifat andaian. Tetapi perubatan moden sekata dengan homeopati di dalam bab ini. Demam bukanlah suatu penyakit tetapi hanyalah tanda bagi kehadiran penyakit. Homeopati menyebutnya sebagai satu simptom daripada keseluruhan simptom. Dr. Hahnemann  menyatakan di dalam para 19 Organon of Medicine bahawa “penyakit-penyakit tidak lebih daripada perubahan di dalam tahap kesihatan individu yang sihat yang menyatakannya menerusi tanda-tanda penyakit”.

            Hari ini ramai yang menerima bahawa “suhu badan yang tinggi adalah dipercayai bertujuan menghalang pertumbuhan sesetengah bakteria dan virus…. ia mempercepat reaksi tubuh dalam membantu pemulihan”. Maknanya ia adalah suatu proses yang membuktikan tubuh sedang melawan penyakit. Sesetengah orang tua mungkin mendapat infeksi sedangkan suhu mereka tetap normal. Ini menandakan keupayaan tubuh mereka untuk melawan jangkitan sudah berkurang.

            Dalam hal ini pandangan Dr. Samuel Hahnemann adalah lebih jauh ke hadapan kerana beliau menganggap kuasa hayat (vital force) tubuh sentiasa dalam keadaan bersiap sedia melawan segala ancaman. Beliau menulis di dalam Organon, pada para 9, “Ia (vital force) bekerja mempertahankan pancaindera dan aktiviti-aktiviti kesemua bahagian hidup…” Bahkan katanya, “Tanpa kuasa hayat, manusia tidak berupaya untuk merasa, bertindak dan mempertahankan dirinya. Tanpa vital force, tubuh akan mati”.

            Semasa demam, ada dua fasa atau keadaan yang boleh dikenalpasti. Keadaan seram sejuk (chill) dikatakan tanda yang menunjukkan suhu tubuh sedang meningkat. Tetapi pada akhir demam, kulit menjadi hangat dan pesakit mulai berpeluh. Keadaan ini disebut krisis (crisis) dan menunjukkan suhu tubuh sedang menurun. Selain peningkatan suhu tubuh, biasanya pesakit turut mengalami simptom peningkatan kadar pernafasan dan denyutan jantung.

            Kebanyakan demam berpunca daripada virus dan jangkitan bakteria. Demam akibat infeksi virus adalah seperti selsema, flu, beguk dan campak. Pada kanak-kanak,

jangkitan yang paling biasa bermula dengan demam. Keadaan demam kanak-kanak yang berhubung dengan jarak masa sebelum ruam atau tompok-tompok keluar kadangkala membantu diagnosis doktor.

            Demam juga mungkin disertai dengan pelbagai simptom lain seperti cirit-birit, pening, sakit kepala, muntah atau terpaksa bernafas dengan cepat. Pesakit yang mengalami demam biasanya kelihatan letih, pucat dan kekeringan air dalam badan. Demam yang berpunca daripada bakteria mungkin disebabkan oleh jangkitan pada trek urinari, meningitis, penyakit paru-paru dan sebagainya.

            Terdapat juga demam yang disebabkan oleh penyakit-penyakit serius atau yang jarang ditemui. Ini termasuk demam kelenjar (glandular), demam kepialu, tibi, jangkitan hepatitis dan seumpamanya. Bagaimanapun demam tidak semestinya disebabkan oleh jangkitan. Sebahagian demam dikaitkan dengan penyakit-penyakit malignan seperti leukemia, trombosis koronari dan lelain penyakit. Ada juga demam yang disebabkan oleh pengambilan beberapa jenis ubat dadah seperti barbiturat dan acetaminophen. Acetaminophen ialah ubat untuk melegakan sakit dan demam, tetapi laporan perubatan menyebut pengambilannya dalam dos yang banyak atau jangka masa yang panjang boleh menjejaskan hati dan buah pinggang.

            Demam biasa selalunya tidak membawa mudarat yang besar. Tetapi kanak-kanak yang berusia daripada 6 bulan hingga 5 tahun cenderung untuk mendapat sawan (febrile convulsions). Lebih kurang 6 peratus kanak-kanak boleh mendapat sawan seperti ini. Ianya disebabkan oleh suhu yang meningkat dengan mendadak. Walaupun ia mencemaskan, tetapi ianya tidaklah begitu menakutkan dan tidak seharusnya dikaitkan dengan gangguan seperti epilepsi.

            Beberapa petanda umum demam bagi pesakit kanak-kanak sangat penting untuk diperhatikan.  Antaranya ialah keadaan hilang selera makan, rasa nak muntah atau sakit perut, mengantuk atau tidur tidak tentu masa, kerap mengeluh dan menangis, sukar menelan, sakit tekak, sukar bernafas atau sakit ketika membuang air kecil. Apabila sahaja simptom-simptom di atas dikenalpasti, usahakan agar kanak-kanak itu rehat secukupnya.

            Di dalam rawatan demam, sememangnya pesakit digalakkan banyak berehat. Mereka hendaklah menggunakan selimut yang nipis sahaja. Mereka juga disaran supaya meminum air suam, jus buah atau air kosong seberapa banyak yang boleh. Selalunya kanak-kanak tidak begitu gemar, tetapi mestilah diusahakan menasihati mereka tentang pentingnya minum air sebagai mengganti cecair yang hilang dan memulihkan tenaga. Begitu juga mereka disyorkan supaya memakan makanan yang mudah hadam.

 

            Dalam rawatan moden, suhu yang tinggi dapat dikurangkan dengan mengambil paracetamol dan ibuprofen. Ia boleh diperolehi dalam pelbagai jenama komersil. Suatu waktu dahulu aspirin merupakan ubat yang popular tetapi diketepikan setelah disedari kesan negatif dan alternatifnya ditemui. Sekiranya demam itu disebabkan oleh virus, maka pesakit tidak memerlukan rawatan dengan antibiotik kerana ia tidak akan memberi kesan.

            Suatu tindakan yang bijak ialah mengelap bahagian kepala dan badan pesakit dengan air suam. Dalam amalan masyarakat tradisional Melayu, biasanya mereka menggunakan air yang dicampur asam jawa bagi tujuan menurunkan suhu tubuh yang tinggi. Rawatan dengan menggunakan air ini sesuai dengan saranan RasuluLlah s.a.w. di dalam sebuah hadis sahih, yang bermaksud:

            “Sesungguhnya demam atau terlalu tinggi suhu panas itu adalah merupakan percikan-percikan neraka, maka sejukkanlah dengan air”.

            Homeopati percaya bahawa bentuk rawatan paling baik ialah jenis penawar yang dapat bekerjasama dengan mekanisme pertahanan tubuh. Dalam hal ini, ia mesti sama-sama mengeluarkan simptom-simptom penyakit. Kerana itu, penawar yang diberikan tidak harus bersifat menekan atau supresif (suppressive). Apabila demam itu tersangat hebat, kesemua simptom pesakit mesti diperhatikan secara teliti dengan tujuan menyelesaikan semua gangguan yang berkaitan dengannya.

            Untuk demam biasa (simple fever), pada peringkat awal boleh dipreskripsikan Aconite. Bilamana muka pesakit naik merah, demam kuat, konvulsi atau mungkin ada kaitan dengan tonsilitis, penawar yang sesuai ialah Belladonna. Demam di mana pesakit tidak merasa dahaga, kepala berat, cenderung untuk berbaring dan rasa lega bila buang air kecil biasanya diberi penawar Gelsemium. Kesemua penawar di atas diberi di dalam potensi rendah atau sederhana sahaja.

            Penawar demam homeopati yang biasanya sesuai untuk kanak-kanak yang demam semasa tumbuh gigi ialah Chamomilla. Penawar-penawar demam akut lain termasuk Arsenicum, Bryonia, Cantharis, Glonoin, Ipecac, Pulsatilla dan Rhus tox. Penawar biokimia homeopati yang bertindak dengan lebih lembut boleh turut digunakan bagi membantu menormalkan perjalanan darah dan mengeluarkan peluh.

            Demam yang terlalu lama mungkin ada kaitan dengan penyakit-penyakit yang serius. Demikian juga bagi demam yang sentiasa berulang. Pemeriksaan dan ujian tertentu diperlukan dalam rawatan alopati, sementara rawatan secara individualisasi sahaja yang terbaik dalam perubatan homeopati kerana ia merawat pesakit secara menyeluruh (treatment of the whole person).

 

(Dakwah, September 2000)

 

TAJUK

 

 © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD