Koleksi Artikel

 

 

 

 

 

 PENGAMAL VIRTUAL HOMEOPATI MALAYSIA 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

 

 

 

DIABETES, AMPUTASI DAN ILMU PERUBATAN

 Oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 

Pengenalan

Penyakit diabetes atau kencing manis di dalam ilmu perubatan didefinisikan sebagai suatu masalah sistemik kronik, yang berkaitan dengan ketidakmampuan tubuh untuk menghasilkan insulin dalam jumlah yang mencukupi untuk kelangsungan fungsi-fungsi normal tubuh. Dalam sesetengah keadaan, ada pesakit yang pankreasnya tidak dapat mengeluarkan insulin langsung, sedangkan insulin diperlukan untuk metabolisme, penyenggaraan dan pengimbangan gula darah.

            Kemajuan ilmu perubatan berjaya membekalkan diagnosis secara moden dan lengkap bagi mengenali pesakit diabetes mengikut klasifikasinya. Ilmu patologinya mampu menghuraikan secara panjang lebar mengenai keadaan penyakit, mengesan simptom-simptom objektif serta etiologi, termasuklah komplikasi yang mungkin dihadapi oleh sebahagian pesakit. Namun sehingga kini kaedah rawatan masih berkisar kepada pengawalan pemakanan yang bersifat tradisional dan  penyuntikan dos insulin atau pemberian agen hipoglisemik oral.

Tugas doktor

            Dalam perkataan yang mudah difahami, pesakit diabetes tidak upaya disembuhkan berasaskan ilmu perubatan alopati pada waktu ini. Hal ini samalah bagi penyakit-penyakit lain di mana para pesakitnya terus berada dalam keadaan terpaksa sentiasa berjaga-jaga, termasuklah penyakit darah tinggi dan kanser. Sedangkan para 1 Organon of Medicine, penulisnya menyatakan; “satu-satunya tugas seorang doktor itu ialah mengembalikan sakit kepada sihat”.

            Justeru, Dr. Samuel Hahnemann memberi ulasan panjang dan sinis, iaitu: “tugasnya bukanlah untuk membina sistem, dengan mencampuraduk spekulasi-spekulasi kosong dan hipotesis berkaitan dengan keadaan semula jadi esential dalaman proses vital dan ragam (mode) di mana penyakit bermula di dalam tubuh organisma yang tidak dapat dilihat (yang mana begitu ramai para doktor sangat bercita-cita untuk menghabiskan bakat dan masa mereka sehingga kini). Begitu juga, bukan tugasnya untuk berusaha memberikan huraian panjang lebar mengenai fenomena penyakit dan sebab-sebab tepat berlakunya penyakit (yang sememangnya akan terus tersembunyi)......, yang kelihatannya seperti sangat ilmiah untuk tujuan menakjubkan mereka yang jahil - sedangkan manusia yang sakit mengeluh tidak berguna untuk meminta bantuan”.

            “Kepada impian orang terpelajar [learned reveries] (kepada siapa nama theoretic medicine dilabelkan dan  yang mana diinstitusikan pangkat profesor yang istimewa) kami sudah bosan melayaninya, dan kini sudah sampai masanya bagi mereka yang menggelarkan dirinya doktor berhenti memperdaya umat manusia yang menderita dengan kata-kata kosong, dan sebaliknya mulailah, buat kesekian kalinya untuk bertindak, iaitu bagi benar-benar berusaha untuk membantu dan menyembuhkan”.

            Kemudian, dalam keadaan sentiasa awas, pesakit diabetes mempunyai risiko jika berlaku kelukaan dan jangkitan, terutamanya anggota kaki. Ini adalah justeru masalah pada kulit boleh menyebabkan pengudisan dan gangren. Sedangkan rawatan semasa bagi mengelakkan keadaan gangren dan kudis itu daripada merebak teruk tiada lain melainkan dengan cara amputasi.

Amputasi merupakan satu kaedah rawatan dalam rangka usaha mengelakkan jangkitan pada bahagian tubuh yang lain. Dan ini adalah suatu tragedi ngeri bagi pesakit, walaupun ia dianggap normal dalam amalan perubatan moden. Walaupun amalan amputasi ini biasa berlaku, tetapi tragedi ini kebanyakannya melibatkan pesakit diabetes. Di Amerika Syarikat, laporan ‘Vital Statistics’ 1996 yang diterbitkan oleh American Diabetes Association menyatakan “Lebih 50% amputasi yang tidak melibatkan kemalangan atau trauma di Amerika Syarikat berlaku di kalangan mereka yang mengidap diabetes”.

Penderitaan pesakit

Di dalam internet, anda boleh melihat pelbagai bentuk luahan penderitaan pesakit, walaupun ianya merupakan suatu tarikan pengeluar untuk tujuan menjual produk, servis atau buku-buku berkaitan. Umpamanya, Alan Apeal menulis:

            “Sekiranya anda fikir ianya tidak akan terjadi kepada anda, fikirlah sekali lagi dan bacalah cerita saya. Saya telah mengidap penyakit diabetik selama lebih 11 tahun. Saya tidak pernah terfikir dan membayangkan bagaimana pengidap diabetik boleh hilang kaki. Selagi saya mengambil berat terhadap diri saya dan berjumpa doktor mengikul jadual bagaimanakah saya boleh berada dalam situasi seperti sekarang ini ?”

“Bagaimanakah hal ini berlaku? Tidak berapa lama dahulu, saya didatangi perasaan menggelenyar, rasa terbakar, kebas-kebas dan sakit bagai dicucuk pada kaki saya. Para doktor memberitahu saya, “Itu ialah tanda anda ada diabetes”” Saya bertanya apa yang patut saya buat.” Doktor tersebut mengatakan, “Yang jelasnya anda mesti berhati-hati.” …..Saya tidak mendapat jawapan yang tepat dan kelihatannya seperti tiada siapa yang tahu atau mempunyai pengetahuan yang jelas sehingga saya mendapati timbul letusan ketika saya menggunakan sepasang kasut baru yang terjadi setelah saya memakainya selama beberapa jam. Letusan itu memberi gangguan yang tidak menyelesakan selama hampir dua tahun. Genap saja dua tahun selepas saya mendapat letusan itu, kaki sayapun dipotong (amputated). Percayakah anda bahawa letusan yang kecil itu menyebabkan saya hilang sebelah kaki?”

            Cetusan rasa Alen Apeal itu hampir sinonim dengan kebanyakan pesakit diabetes di mana saja. Pengalaman beliau hampir sama dengan pesakit-pesakit yang mengalami penderitaan akibat kencing manis yang berakhir dengan sebahagian anggota, khususnya kaki terpaksa diamputasikan. Sedangkan, sebahagian besar pesakit yang menerima rawatan amputasi akan turut berakhir dengan kematian dalam tempoh yang tidak lama.

            Di Malaysia, boleh dikatakan hampir setiap jangka waktu pesakit diabetes kronik terpaksa menjalani amputasi bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Walaupun pesakit dan keluarga mereka berada dalam keadaan yang serba salah, saranan itu terpaksa ditimbangkan kerana itulah satu-satunya cara yang ada. Sama ada tindakan ini sepatutnya menjadi satu isu perubatan atau isu pengguna, namun hakikat ini berterusan kerana kita berada di bawah dominasi perubatan moden. Tiada kaedah lain yang sofistikated dan terjamin buat waktu ini.

Pengalaman yang tragis dan berlaku hampir setiap waktu itu menggegarkan buat seketika apabila Pak Busu (pelakon Pi Mai Tang Tu) dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani amputasi pada 29 November dan 15 Disember 2000. Menurut ceritanya, beliau pernah menerima rawatan memotong jari kakinya kira-kira dua tahun lalu selepas lama mengidap kencing manis. Beritanya yang tersiar di dada-dada akhbar arus perdana tanah air itu menggerakkan hati saya untuk membuat catatan ini, yang mana pelbagai keluhan sudah kerap kali saya dengari dari mulut pesakit diabetes.

Perubatan dominan

Walaupun kita tidak tahu sejauh mana, tetapi ramai pakar perubatan konvensional kerapkali bersikap ortodoks dalam amalan praktik dan pemikiran. Ini berlaku justeru sistem alopati merupakan suatu sistem perubatan yang dominan dan digazet dalam negara ini atau buat masa ini. Sedangkan dominan tidak bererti segalanya hebat. Perubatan Melayu tradisional dahulupun pernah dominan di kalangan masyarakat Melayu dan demikianlah perubatan-perubatan lain yang sesetengahnya mempunyai asas yang kukuh dan falsafah yang sistematik.

Suatu perkara yang jelas, dan mungkin suatu amalan yang sihat, ialah kendatipun satu-satu perubatan itu dominan dalam masyarakat, tetapi ia harus akur dengan kemungkinan-kemungkinan lain, seperti terhadap kebolehan teori-teori dan praktik perubatan yang lain. Sikap ini perlu kerana kalau kita ingin menunggu kemampuan sesuatu sistem perubatan itu dibuktikan di atas premis atau ujikaji mengikut kaedah saintifik ala alopati baru ianya hendak diterima, maka kita mungkin akan menunggu berzaman-zaman lamanya.

Sebenarnya kita hanya perlu sekurang-kurangnya memberi peluang kepada sistem perubatan lain bernafas lega, meskipun dalam rawatan penyakit kronik. Khususnya apabila perubatan dominan hanya setakat mampu mengawal dan tidak menyembuhkan penyakit. Di samping itu, ini turut bermakna kita memberi pilihan kepada pengguna. Pengguna yang kaya ialah pengguna yang mempunyai banyak pilihan. Dalam hal ini mereka tidak sepatutnya rebah pada sistem perubatan dominan sahaja.

Bagaimanapun, hasrat ini hanya akan tercapai apabila kita boleh melihat hakikat dan akur. Akur bahawa sudah jelas di sebalik kecemerlangan sumbangan perubatan moden, ia tidak dapat lari daripada ruang-ruang di mana ia harus tunduk kepada kegagalan dan sempadan-sempadan yang ditetapkan oleh Ilahi. Juga akur bahawa bidang ilmu perubatan samalah seperti bidang-bidang lain, yakni satu teori rawatan itu tidak harus mempunyai  kuasa monopoli terhadap dunia ilmunya dan masyarakat.

Hadis RasuluLlah

Kalau diizinkan kita memetik sepotong hadis, RasuluLlah salaLlahu alaihi wa sallam sendiripun tidak menyebut secara terang manakah  sistem rawatan yang betul atau harus dipilih. Salah satu hadis RasuluLlah salaLlahu alaihi wa sallam itu ialah: “Setiap penyakit ada ubatnya, jika tepat ubatnya, maka ia akan sembuh dengan izin Allah”. (Riwayat Imam Muslim) Seperti hadis-hadis beliau yang lain, kenyataannya bersifat umum dan merujuk kepada hukum keserasian. Gagasan beliau sememangnya tepat kerana hukum keserasian dalam teori kesembuhan itu merentasi kurikulum dunia ilmu perubatan.

Justeru, sesetengah kaedah rawatan seperti amalan amputasi sebagai rawatan pencegahan harus diberi penilaian semula secara kritis di kalangan doktor muslim. Apakah tidak ada kaedah lain bagi mencegah merebaknya penyakit bagi kes-kes seperti diabetes, yang berbeza dengan amputasi kerana menyelamatkan nyawa dalam kes kemalangan? Kita percaya kepada kemungkinan lain kerana pada logiknya musuh yang menyerang kita sudah tentu boleh dihalau keluar. Maknanya, kita tidak harus memadamkan minda untuk potong dan sekat sahaja kemaraan penyakit itu yang nampaknya tidak memberikan hasil yang memuaskan. Premis seperti ini boleh menjadi pemangkin bagi para doktor perubatan yang kreatif dan aktif dalam meneroka penemuan baru, biarpun melampaui had-had yang digariskan oleh dunia perubatan Barat.

Teori alternatif

Sebagai contoh, teori perubatan yang mengatakan penyakit itu hadir kerana diserang kuman, virus atau kulat. Tetapi teori lain mengatakan kita sakit kerana tubuh kita lemah. Sistem pertahanan kita lemah yang menyebabkan kita tidak dapat melawan kuman itu, virus itu atau kulat itu. Satu sistem pertahanan yang kuat sudah tentu tidak mampu ditakluk oleh musuhnya. Jadi, sekiranya sistem pertahanan kita lemah, kita harus memperkuatnya. Cuma persoalannya ialah: bagaimana? Para doktor dan saintis kitalah yang harus memikirkannya.

Kira-kira 18 tahun yang lampau, para doktor Barat terkejut terhadap penemuan mereka sendiri, iaitu kononnya ada suatu penyakit yang ia tidak dapat kalahkan. Hal tersebut berlaku apabila seorang aktor terkenal bernama Rock Hudson mengidap sejenis penyakit yang tidak mampu ditangani dengan berkesan. Laporan yang dihantar kepada Pusat Pengawalan Penyakit tersebut berkaitan dengan sejenis pneumonia yang jarang ditemui dan dikatakan bermula di kawasan Los Angeles pada tahun 1981. Penyakit itu kita kenali hari ini sebagai AIDS. Iaitu suatu penyakit yang bukan sahaja perubatan moden tidak dapat memberi kesembuhan, malah hampir gagal mengawalnya.

Mengenai AIDS, salah satu buku teks Principles of Anatomy and Physiology yang diterbitkan di Amerika Syarikat menyebut, “Belum pernah lagi sains berhadapan dengan sejenis epidemik di mana penyakit utamanya (primary disease) ialah menurunkan sistem pertahanan pesakit, dan kemudian penyakit yang tidak berkaitan yang kedua menghasilkan simptom-simptom yang mungkin mengakibatkan kematian. Penyakit utama ini ialah acquired immune deficiency syndrome (AIDS)”.

Padahal dalam keadaan mereka tercengang itu, mereka lupa terhadap seorang Eropah yang pernah memaklumkan kepada mereka mengenai teori penyakit dan kelemahan sistem pertahanan badan, iaitu Dr. Samuel Hahnemann pengasas ilmu perubatan homeopati. Dr. Samuel Hahnemann telahpun menyebut dengan berani dan tegas kira-kira 200 tahun sebelumnya bahawa “Tanpa vital force, organisma material tidak berupaya untuk dapat merasa, bertindak dan mempertahankan dirinya. Tanpa vital force, tubuh akan mati….” (Organon, 10).

Justeru, Dr. Hahnemann telah menghabiskan seluruh hayatnya bagi mencari pelbagai jenis remedi untuk tujuan memulihkan vital force yang boleh memperkuatkan sistem pertahanan tubuh. Apabila sistem pertahanan tubuh sudah kuat, segala ancaman sudah pasti dapat diperangi sama ada ianya berupa AIDS maupun kudis diabetes. Malangnya, walaupun teori beliau boleh diterima dan dipraktikkan, tetapi ia melibatkan sains dan sekali gus sebagai suatu seni. Usahkan masyarakat dunia, sesetengah pengamal homeopatipun sukar memahami dan mengamalnya dengan berkesan, justeru homeopati tidak mempunyai ubat untuk penyakit tetapi ubat bagi pesakit sahaja. Walaupun penyakit boleh dihilangkan apabila pesakit sembuh, tetapi mencari ubat sebagai penawar untuk individu secara khusus itu cukup memeningkan dan mencabar kewibawaan pengamalnya.

Saranan bersikap empati

Surgeri dan amputasi berada jauh dari pemikiran Dr. Hahnemann untuk digunakan sebagai suatu kaedah rawatan. Padahal beliau merupakan seorang lulusan ilmu perubatan moden yang digeruni. Mereka yang membaca sejarah pencarian beliau untuk menemui suatu sistem perubatan yang tulin, lembut dan berkesan dapat menyelami jiwa halus dan kemanusiaan tokoh ini. Perasaan halus Dr. Samuel Hahnemann juga hidup di dalam sanubari para doktor hari ini kiranya mereka mengamalkan sikap empati (empathy) terhadap para pesakit. Namun siapakah yang sanggup mengamalkan moto beliau bahawa perniagaan dalam bidang perubatan hanyalah menyembuhkan pesakit, bukannya ringgit.

Dari segi ubat, tiada ubat yang seharusnya menyebabkan pesakit derita. Demikian juga surgeri, kalau ianya tidak begitu perlu. Lebih-lebih lagi amputasi. Amputasi meninggalkan kesan mental, psikologi dan fizikal yang berpanjangan, bahkan hingga ke akhir hayat. Kalau terpaksa, ia sepatutnya digunakan hanya sebagai jalan paling akhir, yang tidak harus digunakan dengan begitu lumrah dan tanpa jaminan. Para doktor muslim harus bergerak ke arah pemikiran yang sedemikian yang pada pendapat saya lebih selari dengan kehendak Islam dan fitrah insan.

Barangkali sudah ramai para tokoh perubatan kita yang mempunyai saranan pemikiran yang diutarakan di sini. Tetapi ianya perlu diperkukuhkan lagi dan diperluaskan kepada yang lain. Ia juga tidak akan berjaya kalau kita bergerak dari premis ‘perubatan untuk ringgit’ semata-mata. Sudah sampai waktunya kita bukan sahaja berhenti kepada bersikap simpati, malahan mengamalkan budaya empati. Kita juga perlu tukarkan amalan praktik dalam ruang lingkup pemikiran perubatan Barat kepada justifikasi pemikiran fitrah insan yang lebih terbuka. Dari sini, anjakan paradigma adalah sesuatu yang mesti digerakkan segera.

 

 

* * *

 

TAJUK

 

 © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD