Koleksi Artikel

 

 

 

 

 

 PENGAMAL VIRTUAL HOMEOPATI MALAYSIA 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

 

 

 

PENYAKIT IATROGENIK: CABARAN ALAF BARU

Oleh: 

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

 

Pengenalan

            Masyarakat harus mengakui satu kenyataan yang mengiringi pemergian alaf ke dua yang lalu. Kenyataan itu ialah bahawa perubatan moden telah mewariskan pencapaian terhebat dalam tamadun manusia menerusi pelbagai penciptaan ubat-ubatan dan teknologi rawatan. Bersama dengan perkembangan dalam kaedah diagnosis dan prosedur rawatan, kita lihat teknologi surgeri telah sampai ke tahap di mana organ manusia boleh dipindah-pindahkan seperti memasang enjin atau spare-part kenderaan. Bahkan dengan kemajuan teknologi komputer, surgeri ke atas pesakit boleh dilakukan dari jarak yang jauh di mana manusia tidak pernah membayangkan sebelumnya.

            Tulisan ini cuba menyingkap sesuatu di sebalik kejayaan sistem perubatan moden. Daripada perspektif global atau pengguna yang memikirkan kesejahteraan total, adalah dipercayai ketibaan alaf baru tidak menjanjikan sesuatu yang kudus dalam dunia perubatan moden. Hal ini amat jelas walaupun media mencanangkan segala yang unggul mengenai perubatan moden, khususnya berkaitan dengan teknologi peralatan yang sofistikated, keajaiban pencapaian surgeri dan penemuan-penemuan baru seperti penghasilan kulit dan organ ciplakan manusia serta teknologi pengklonan.

            Sebagai satu perbandingan mudah, boleh dikatakan keadaannya samalah seperti kecanggihan dunia komputer dan internet yang bukan saja mewariskan teknologi yang berharga dan bermanfaat, tetapi juga turut membawa ancaman globalisasi dunia komunikasi tanpa sempadan dan virus yang mana kini ia bukan saja boleh menyerang menerusi cakera malah menerusi lorong-lorong internet. Jelasnya, bersama-sama dengan kemajuan ilmunya, pencapaian perubatan yang diagung-agungkan itu turut mewujudkan penyakit baru. Keadaannya seolah-olah operasi komputer yang sentiasa dikejar virus.

Penyakit iatrogenik

            Kendatipun, penyakit ini sebenarnya bukan baru. Ia pernah dihuraikan oleh Dr. Samuel Hahnemann hampir 200 tahun yang lalu di dalam bukunya Organon of Medicine (1810). Huraian beliau telah dipanjangkan lagi menerusi karya-karya beliau yang terkemudian, terutamanya The Chronic Diseases (1828). Di dalamnya terdapat keterangan dan perincian berkenaan kesan buruk kaedah rawatan paliatif dan yang mengenepikan nature atau sunnatuLlah. Tetapi serangan terhadap natijah perkembangan ilmu perubatan ini menjadi popular kembali apabila ia dibangkitkan oleh Ivan Illich menerusi Medical Nemesis (1977) dan Allen Klass dalam There’s Gold in Them Thar Pills (1975). Logik kritikan itu diperjelaskan pula oleh Dr. George Vithoulkas lewat bukunya, The Science of Homeopathy (1993).

            Mungkin sebahagian masyarakat kurang maklum atau tidak memberi perhatian berat terhadap penyakit yang diperkatakan ini. Namun isu yang pernah dibangkitkan mengenai penyakit iatrogenik (iatrogenic disease) tidak tenggelam dan tidak dapat dikelabui oleh pencapaian yang mengkagumkan. Penyakit iatrogenik akan pasti menjadi warisan alaf kedua yang baru berlalu untuk kita ingati dan kendong dalam batang tubuh kita. Ia mungkin akan bergerak seperti virus komputer yang akan terus menghantui dan menjadi kayu ukur sejauh mana efektif dan hebatnya pencapaian yang diagungkan dunia Barat itu.

Maksud iatrogenik

            Iatrogenic adalah satu perkataan yang berasal daripada Greek, iaitu iatros yang bermaksud ‘doktor’ dan genesis yang membawa makna ‘asal-usul’. Jadi, penyakit iatrogenik merujuk kepada sebarang keadaan yang timbul akibat daripada rawatan, sama ada sebagai kesan sampingan yang tidak diduga maupun sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Penyakit iatrogenik, atau kadang-kadang disebut dengan istilah yang kurang menepati maksudnya sebagai penyakit ‘dadah’ (drug disease), ini jarang dibicarakan melainkan oleh ahli akademik yang membuat kajian mengenai kesan-kesan rawatan moden dan oleh mereka yang terlibat dalam amalan perubatan alternatif atau holistik. Polemik mengenainya sengaja didiamkan untuk kebajikan orang-orang tertentu, khususnya syarikat-syarikat gergasi multinasional yang menguasai media demi kepentingan yang sedia dimaklumi.

            Pendapat ahli akademik yang membicarakan mengenai keadaan iatrogenik ini mengatakan ia berlaku kerana bentuk rawatan ortodoks (moden) menerusi ubat dadah dan surgeri yang mencampuri urusan dan fungsi-fungsi normal tubuh. Apabila tubuh bertindak melawan penyakit dengan mengeluarkan simptom-simptom tertentu, tindakan itu segera terbantut oleh bantuan menerusi kaedah yang tidak dikehendaki. Dalam ertikata lain, rawatan yang diberikan tidak selari dengan nature. Justeru, manfaat yang diperolehi daripada rawatan kebanyakannya bersifat sementara kerana ciri-ciri supresif dan paliatif yang menjadi moto sistem contraria contrariis. (Tetapi ini bukanlah suatu kehairanan, kerana pesakit yang malang selalunya dipengaruhi oleh dan berkehendakkan kesembuhan seumpama itu.)

Kesan sampingan ubat

            Kesan buruk sesetengah ubat-ubat konvensional alopati selalunya dikenalpasti sebagai kesan alergi, dan setengahnya diketahui selepas penggunaan untuk suatu jangka masa yang lama. Di dalam perubatan alternatif homeopati, Dr. Samuel Hahnemann menyebut mengenai implikasinya dalam membicarakan penyakit-penyakit kronik di mana beliau berpandangan kebanyakan penyakit kronik menjadi sukar untuk dipulihkan selepas pesakit itu melalui siri rawatan secara paliatif atau supresi. Namun di sebalik kritikan itu, ramai pengamal rawatan alternatif termasuk homeopati sendiri menerimapakai ubat-ubat konvensional dalam keadaan pesakit sangat memerlukan dan tidak ada ubat lain yang lebih baik untuk memberi kelegaan. Tetapi penggunaannya amatlah terhad dan sengaja dihadkan.

            Di antara ubat-ubat yang biasa dipreskripsi seperti ubat jantung (contohnya Digoxin dan Captopril), ubat batuk (seperti Promethazine dan Codeine phosphate), analgesik (seperti Aspirin, Ibuprofen, dan Parasetamol), antiasma (seperti Salbutamol dan Prednisolone), antibiotik (seperti Ampicillin, Erythromycin dan Penicillin) dan banyak lagi tidak pernah terhindar daripada kesan sampingan segera. Hal ini berlaku walaupun sesetengah ubat itu diberi dalam dos yang tepat, diambil pada masa yang disarankan dan digunakan untuk suatu tempoh seperti yang ditetapkan oleh dokotr. Apa lagi jika ubat-ubat itu digunakan di luar preskripsi doktor kerana sebahagiannya merupakan ubat OTC (over the counter) yang dibenarkan jual di kedai biasa atau farmasi-farmasi tanpa preskripsi doktor.

 

Jadual: Beberapa contoh kesan sampingan (jangka pendek) ubat moden

Nama ubat

Kesan sampingan ubat

Aspirin    

(analgesik)

Muntah-muntah, pening, pening, berdesing di dalam telinga, bingung.

Ibuprofen

(analgesik)

Diarea, loya, sakit perut, sakit kepala, pening.

Parasetamol

(analgesik)

Gangguan kulit dan darah.

Digoxin

(ubat jantung)

Letih, gangguan penglihatan, loya dan muntah-muntah teruk

Captopril

(ubat jantung)

Hilang selera, gayat, batuk.

Promethazine

(ubat batuk)

Mengantuk, sakit kepala, mulut kering.

Codeine phosphate

(ubat batuk)

Sembelit dan rasa mual.

Albuterol

(antiasma)

Resah, bimbang, ketar-ketar, sakit kepala.

Salbutamol

(antiasma)

Cirit-birit..

Ampicillin

(Antibiotik) 

Masalah kulit, pernafasan dan reaksi alergi.

Erythromycin

(Antibiotik)

Loya dan muntah-muntah.

Estradiol

(Sediaan hormon)

Mual, keempukan payudara, pertambahan berat badan,

Sumber: Reader's Digest, Medical cures and treatment & Dr. Azmi Sariff, Kesan buruk ubat (Majalah Sihat).

 

            Boleh dikatakan setiap ubat berjenama sentiasa memerlukan masa bagi penilaian lebih hakiki atau selalu menanti ubat baru dihasilkan. Demikianlah lumrah yang terjadi terhadap kebanyakan ubat-ubat moden. Contoh klasik ialah penggunaan Aspirin yang meluas dahulu telahpun merosot selepas ubat baru khususnya Parasetamol (dengan jenama popular Panadol) diperoleh. Apakah Parasetamol juga akan semakin diketepikan apabila ubat-ubat yang lebih baru dan saintifik dikeluarkan di alaf baru? Masa pasti akan menentukan. Kesan sampingan parasetamol sudah mulai giat dibincangkan, dan di waktu beginilah peranan doktor menjadi semakin penting bagi tujuan memberi nasihat dan preskripsi.

Trend ubat komersil dan viagra

            Tetapi selain daripada doktor yang mesti terus berperanan, masyarakat pintar sudah melihat trend yang dimaksudkan. Trend ini merupakan bentuk pergerakan ubat-ubat moden di pasaran dunia. Setiap ubat yang ditemui akan diuji, dan walaupun masih mempunyai kesan sampingan ia terus diperkenal, dipromosi, dilambak dan akhirnya bakal diganti dengan ubat baru. Ringkasnya, setiap ubat moden sentiasa menunggu masa untuk diperkenalkan dan untuk diketepikan. Jika keadaan begini berterusan, keadaannya tidaklah terlalu maju ke hadapan berbanding ubat-ubatan tradisional yang dicop tidak saintifik tetapi masih terus diperguna, yang mungkin hanya bertukar bentuk seperti prekripsian dalam bentuk pil-pil bersarung dan mula diterokai atau disahihkan oleh bijak pandai dari menara gading.

            Misteri yang ditinggalkan akibat pengenalan pil Viagra beberapa tahun sebelum berakhirnya alaf ke dua menjadi tanda tanya yang masih belum terjawab. Yang jelas, sehingga 30 Jun 1999, 150 juta pil Viagra telah dijual di seluruh dunia dan 217 orang mati akibat memakannya walaupun kebanyakan yang mati dikatakan berkaitan komplikasi jantung. Pada 29 Disember 1999, Menteri Kesihatan Dato’ Chua Jui Meng memaklumkan bahawa dua lelaki mati di Malaysia selepas mengambil pil tersebut, sementara 18 orang yang lain dilaporkan menghidapi pelbagai kesan sampingan. Masyarakat dimaklumkan bahawa kesan buruk boleh berlaku walaupun ia digunakan melalui preskripsi doktor. Apatah lagi kesan bagi mereka yang mengambil tanpa preskripsi atau untuk tujuan lain, seperti untuk merangsang syahwat.

            Menurut anggaran syarikat Pfizer yang memasarkannya di Malaysia sehingga ke akhir tahun 1999, kira-kira RM1 bilion sudah berjaya dijual. Bahkan Viagra merupakan pil yang paling tinggi jualannya di Malaysia walaupun hanya 1.6 juta orang yang mengalami masalah mati pucuk. Yang menghairankan kita lagi ialah bagaimanakah Viagra boleh sampai ke tangan pengguna tanpa sebarang nasihat pakar perubatan. Keadaan ini seakan-akan menunjukkan adanya terowong gelap bagi sesiapa sahaja yang ingin mencubanya.

            Siapakah yang akan menerima pertanggungjawaban terhadap kesan-kesan iatrogenik dan angka kematian akibat penggunaan atau penyalahgunaannya yang dilaporkan oleh akhbar tadi? Berita paling akhir pada 15 Mac 2000 melaporkan bahawa satu kajian menunjukkan pil Viagra dipercayai menyebabkan jumlah kematian yang tinggi dan masalah jantung yang serius. Kajian yang berasaskan laporan Pentadbiran Ubat Persekutuan di Amerika Syarikat mendapati bahawa dalam 1,473 insiden, seramai 522 lelaki mati. Tujuh puluh peratus daripada kematian itu berkaitan dengan dos standard yang disarankan iaitu 50mg.

Kesan rawatan lain

            Setakat ini kita baru membicarakan mengenai kesan iatrogenik ubat-ubat. Sedangkan kerapkali pengguna tertanya-tanya tentang kesan sesetengah bentuk rawatan seperti kemoterapi, amputasi dan pelbagai prosedur yang dijalankan di hospital untuk tujuan diagnosis. Tumpuan yang melampau kepada merawat penyakit menyebabkan perubatan moden lupa pada pesakit itu sendiri. Justeru, tidak hairanlah apabila luahan rasa tidak puas hati pengguna itu ditunjukkan dalam pelbagai bentuk. Ini termasuklah dengan cara berusaha mendekati kaedah perubatan alternatif dengan harapan dapat dirawat sebagai individu dan insan yang mempunyai perasaan. Paling jelas, perasaan tidak puas hati itu telah diluahkan menerusi sebuah filem Hollywood yang berjaya, iaituPatch Adamsyang diakonkan oleh Robin Williams.

            Satu lagi kejutan alaf ke dua ialah terhadap keraguan yang berputar dalam benak pengguna berkaitan kesilapan perubatan (medical errors). Satu laporan daripada The Sunday Times London dalam tempoh dua minggu sebelum berakhirnya abad ke dua puluh cukup mencemaskan. Laporan itu menyebutkan bahawa kesilapan perubatan merupakan penyebab ketiga terbesar yang menyumbangkan kepada kematian di Britain selepas kanser dan penyakit jantung. Di dalam kajian yang menyiasat kesilapan-kesilapan hospital, dilaporkan bahawa 40,000 kematian setahun adalah diakibatkan oleh kemalangan perubatan (medical mishap). Sementara 280,000 orang dikatakan menderita kerana kesilapan preskripsi ubat-ubatan, memberi terlebih dos dan jangkitan.

            Kejadian inipun merupakan suatu kesan iatrogenik kerana ia berpunca daripada pengamal perubatan. Tetapi ia juga berlaku kerana pengguna terlampau bergantung kepada kewibawaan doktor sehingga mereka membenarkan diri mereka rebah kepada prosedur dan rawatan ubat-ubatan tanpa pengetahuan yang cukup, termasuk pembedahan yang kadang kala tidak diperlukan. Mungkin benar bahawa kebanyakan pembedahan yang tidak begitu mendesak terus berlaku kerana saranan-saranan yang tidak berpihak kepada pengguna. Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ivan Illich, dianggarkan 90 peratus tonsilektomi yang dilakukan di Amerika Syarikat adalah sebenarnya tidak perlu, sedangkan seorang daripada 1,000 orang mati kerana pembedahan itu, sementara 16 pesakit lain menderita komplikasi serius.

            Apakah alaf yang baru kita tempuhi ini mampu menampung atau mengurangkan penyakit-penyakit yang semakin bertambah seperti penyakit jantung, emfisema, kanser, artritis, gout, hipertensi, diabetes, asma, malahan penyakit mental? Dengan kemajuan yang begitu hebat sudah tentu tidak cukup setakat bergantung kepada penjelasan bahawa berlakunya penyakit-penyakit itu berkait rapat dengan usia, dan bertambahnya justeru lebih ramai manusia boleh hidup lebih lama. Walhal kita juga tahu penyakit kanser dan jangkitan yang serius turut menyerang kanak-kanak. Demikian juga apakah alaf baru sanggup menanggulangi risiko penyakit iatrogenik yang merupakan produk terbesar kejayaan alaf yang baru saja melambaikan tangan pamitan? Harus diingat, penyakit iatrogenik juga menerpa tanpa memilih mangsa, pendeknya dari buaian hinggalah ke liang lahad.

Tanggungjawab dan rumusan

            Memahami implikasi setiap rawatan dan ubat-ubat yang dipreskripsikan, para pengamal perubatan dan pesakit mestilah menimbang dengan cermat mengenai kebajikan-kebajikan dan risiko-risiko sebelum mengguna mana-mana ubat berjenama saintifik atau menjalani satu-satu rawatan. Pengamal perubatan bertanggungjawab terhadap rawatan yang diberikan kerana mereka tertakluk kepada sumpah Hippocrates (Hippocratic oath) atau sumpah yang meminta pertanggungjawabannya (selain kerana sifat kemanusiaannya). Pesakit sudah pasti perlu berhati-hati kerana ia mempunyai hak ke atas batang tubuhnya dan dia jugalah yang bakal menerima implikasi satu-satu rawatan.

            Setakat ini boleh dirumuskan bahawa cabaran paling besar alaf baru ialah bukan sekadar membasmi penyakit-penyakit yang kita sedia mengetahui, tetapi juga merawat penyakit-penyakit ubat dadah (drug disease) atau yang digelar iatrogenik. Dalam hal ini juga, sebahagian doktor ortodoks sendiri berpendapat bahawa justeru perubatan konvensional menjadi semakin sofistikated, sudah pasti gangguan iatrogenik akan meningkat. Tetapi, menerusi kemajuan latihan dan dengan cara melaksanakan tinjauan berkala (audit perubatan) mereka berharap risiko itu dapat dikurangkan. Lagipun, para doktor boleh melaporkan reaksi buruk terhadap dadah tertentu kepada jabatan kesihatan kerajaan, yang mana mereka boleh meletakkan tanda amaran atau menghalang penggunaan suatu dadah tertentu.

            Sama ada pandangan itu mampu memuaskan hati pengguna atau pelanggan umum, kita pulangkan kepada individu untuk menilai. Namun selain daripada itu para doktor disaran agar sentiasa bersikap jujur terhadap rawatan yang diberikan. Ini dapat dilakukan melalui komunikasi yang baik dengan pelanggan di mana pesakit harus dimaklumkan mengenai sebarang risiko atau kesan sampingan ubat, prosedur diagnosis, pembedahan dan sebagainya. Mereka juga tidak harus mengambil sikap mempengaruhi keputusan pesakit melainkan berasaskan sains klinikal, praktik perubatan dan sikap empati terhadap kesan mental dan fizikal pesakit.

            Di sebalik pengakuan itu, penyakit iatrogenik tetap dilihat oleh sebahagian pengamal perubatan sebagai sesuatu yang berterusan, kesannya boleh menzahirkan penyakit kronik yang lebih teruk, dan amat sukar untuk dihapuskan melainkan melalui kaedah yang selari dengan tabi’i atau sunnatuLlah. Di sinilah kita ingin melihat kemampuan para saintis mencari atau mencipta ubat-ubat (atau kaedah-kaedah) yang bukan saja menyembuhkan tetapi juga bebas daripada kesan sampingan (atau rawatan) yang tidak diingini. Dengan cara itu barulah bayaran yang dihulurkan pengguna berbaloi, meskipun penemuan serta rawatan itu tidak akan menggendutkan poket syarikat multinasional. Ini merupakan satu cabaran terbesar di alaf baru.

 

            Rujukan:

 

1.      Azmi Sariff. 1992. Kesan Buruk Ubat. Majalah Sihat.  Ogos: hlm. 11-13.

2.      Berita Harian. 1999. Dua Lelaki Mati Selepas Telan Viagra. 29 Dis: hlm. 7.

3.      Illich, Ivan. 1976. Medical Nemesis. New York: Bantam.

4.      New Straits Times. 1999. Study: Medical Error Britain’s Number Three Cause of Death. Dis. 20: hlm. 22.

5.      Reader’s Digest. 1997. Guide to Medical Cures & Treatment. New York: Reader’s Digest Assoc., hlm. 448-463.

6.      Reader’s Digest. 1992. Family Guide to Alternative Medicine. NSW: Reader’s Digest Australia) Pty. Ltd., hlm. 199.

7.      Vithoulkas, George. 1980. The Science of Homeopathy. New Delhi: B. Jain Pub., hlm. 110-113.

 

TAJUK

 

 © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD