Koleksi Artikel

 

 

 

 

 

 PENGAMAL VIRTUAL HOMEOPATI MALAYSIA 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

 

 

 

JERAWAT DAN RAWATAN HOMEOPATI

Oleh:

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

Jerawat merupakan suatu penyakit kulit yang biasa dialami oleh setiap orang. Ramai yang beranggapan serangannya hanya tertumpu di sekitar muka. Sedangkan dari sudut perubatan, jerawat yang dirujuk sebagai inflamasi kelenjar sebum, boleh mengakibatkan lesi kulit pada muka, belakang dan dada. Istilah lain yang biasa digunakan ialah akne atau akne vulgaris.

            Sebab atau punca timbulnya jerawat tidak dapat dikenal dengan pasti. Tetapi di antara sebab utama yang biasa disebut ialah ketidakseimbangan hormon. Faktor-faktor lain yang sering dikaitkan dengan kehadirannya ialah kerana keturunan, bakteria, tekanan psikologi yang keterlaluan dan cuaca. Kulit yang terdedah kepada bahan kimia tertentu juga mungkin merangsang kehadirannya.

            Jerawat timbul dengan lebih ketara di kalangan remaja atau mereka yang baru mencapai usia baligh. Keadaan ini selalunya dihubungkan dengan pengeluaran hormon androgen semasa kanak-kanak meningkat remaja dan peningkatan sensitiviti organ terhadap hormon berkenaan. Bagaimanapun, ini tidak bermakna anak-anak dan orang dewasa bebas daripada serangan jerawat.

            Kaum lelaki dikatakan lebih kerap terdedah kepada jerawat berbanding perempuan. Tetapi bagi kaum hawa, jerawat mungkin bertambah apabila datang haid atau hamil. Walau bagaimanapun rupa bentuk statistik yang dikeluarkan, yang jelas jerawat tidak memilih kumpulan orang. Ia mungkin hadir hanya sebagai lesi ringan, yang dikenali sebagai jerawat hitam. Tetapi ia boleh juga timbul sehingga kepada suatu keadaan yang sangat teruk yang biasa disebut sebagai akne sistik atau jerawat batu.

            Ramai orang mendakwa makanan tertentu seperti udang, ayam, kacang, coklat atau makanan berminyak boleh menyebabkan timbul masalah jerawat. Untuk mempastikan benar atau tidaknya keadaan ini, anda boleh merujuk kepada mereka yang gemar makan belacan tetapi mempunyai masalah jerawat. Perhatikan dari segi kesan kemelaratan simptomnya apabila makanan tersebut diambil.

            Ramai juga yang mengemukakan pertanyaan mengenai hubung kait di antara makanan dan jerawat kepada pakar perubatan moden. Namun perubatan moden selalunya tidak memberikan jawapan yang memuaskan berhubung perkaitan ini. Sungguhpun tiada kajian saintifik yang membuktikan dakwaan umum ini, tetapi laporan yang diterima daripada pengalaman individu terlibat menunjukkan adanya perkaitan di antara makanan tertentu dengan kehadiran atau keseriusan penyakit. 

            Demikian juga terdapat sesetengah jenis ubat boleh merangsang timbulnya jerawat. Dalam hal ini, unsur alergi individu terhadap ubat-ubatan tertentu turut memainkan peranan. Justeru, baik ubat-ubatan itu dikategorikan sebagai tradisional maupun moden, pengguna sentiasa harus berhati-hati dalam penggunaan sebarang jenis ubatan. Berbincang dengan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing adalah langkah yang bijak bagi mengelakkan kesan sampingan apabila mendapat rawatan bagi penyakit tertentu.

            Apa yang menakutkan pesakit, khususnya anak-anak muda ialah kesannya tidak setakat parut yang ditinggalkan. Malah ia boleh meninggalkan kesan sosial dan psikologi yang amat dalam. Tidak sedikit pula pesakit-pesakit yang merasa malu hingga ada yang terus hilang keyakinan diri. Ini sudah tentu akan mengganggu tumpuan mereka dalam pelajaran dan kerja-kerja yang melibatkan pergaulan ramai.

            Biasanya pesakit yang bermasalah tidak digalakkan memicit lesi jerawat. Ini adalah kerana ia boleh mengakibatkan parut terbentuk. Kesannya akan lebih teruk sekiranya parut itu terdapat dimuka. Satu kaedah alternatif ialah menyarankan pesakit membasuh kulit dengan sabun berubat bagi melegakan jerawat. Malah sabun berubat homeopatipun ada dijual untuk tujuan itu, walaupun tidak sebanyak sabun berubat biasa.

            Tetapi cara ini selalunya dilaporkan tidak sesuai dan pengguna juga jarang menggunakannya berpanjangan. Ramai pesakit yang terlalu sensitif mengadu penggunaan sabun atau krim muka alopati berubat memberi kesan sampingan, seperti menyebabkan muka menjadi kemerahan, terasa gatal dan gangguan lain pada kulit. Dalam homeopati sendiri, rawatan secara sapu atau topikal selalunya tidak disyorkan atau digalakkan.

            Bagaimanapun, satu tip yang berguna sekiranya pesakit gemar memicit jerawat ialah dengan cara berusaha menghalang infeksi daripada merebak menerusi cara membasuh kawasan tersebut menggunakan losen yang diperbuat daripada tinktur Calendula. Calendula merupakan penawar yang biasa digunakan di dalam rawatan herba dan juga homeopati. Hanya ambil satu sudu tinktur Calendula dan bancuhkan dengan segelas air. Hasilnya ialah satu losen antiseptik yang berkesan bagi tompok-tompok jerawat yang telah dipicit atau dicungkil.

            Ramai pengamal homeopati menggunakan remedi biokimia bagi tujuan memperbaiki kulit yang rosak akibat jerawat. Begitu juga apabila mencegahnya. Penawar yang dimaksudkan ialah Kali mur 6x, Calcarea sulph 6x dan Kalium sulph 6x. Ia selalunya dipreskripsi tiga atau empat kali sehari oleh pengamal homeopati. Tindakan kedua-dua remedi biokimia agak lembut dan sesuai bagi mereka yang ingin mengelakkan daripada berlakunya agravasi, iaitu kemelaratan di peringkat awal rawatan.

            Bagi kes-kes yang kronik, pesakit adalah digalakkan berjumpa dengan pengamal yang pakar dalam bidang perubatan alternatif berkenaan. Sekumpulan penawar yang biasa dipreskripsi oleh pengamal homeopati selepas konsultasi termasuklah Hepar sulph, Silicea, Belladonna, Bromium, Rhus tox, Psorinum dan Sulphur. Tiap-tiap satu daripada penawar di atas diberikan dalam bentuk potensi homeopati mengikut dos yang bersesuaian. Selalunya, hanya satu penawar dipreskripsi bagi setiap kes.

            Kalau anda ke bilik rawatan dengan keadaan jerawat yang sudah kronik, anda perlulah memberikan kerjasama penuh bagi memudahkan rawatan. Pengamal perubatan anda mungkin menyarankan penawar Kali bichromicum, suatu nama yang belum pernah anda dengar. Mungkin juga penawar lain diberi berasaskan konsultasi yang terperinci. Sekiranya anda mempunyai jerawat berpustul yang mengalami keradangan serta melarat bila dibasuh, boleh jadi anda  akan dipreskripsi dengan Sulphur.

            Bagaimanapun anda tidak perlu tahu akan pelbagai nama penawar dan potensinya. Urusan pemilihan penawar dan potensi adalah termasuk dalam bidang kepakaran mereka yang mempraktik homeopati klasik secara jujur. Yang penting sekali ialah mengambil penawar mengikut arahan. Biasanya, hanya kesembuhan atau kelegaan sahaja yang dinantikan oleh pesakit.

            Bersama dengan rawatan, pesakit juga disyorkan supaya mengamalkan pemakanan yang seimbang dan bersesuaian. Sekiranya pesakit sendiri dapat mengenalpasti sesuatu makanan yang boleh menyebabkan jerawat itu melarat, sewajarnya makanan itu dielakkan. Jenis makanan yang kerap disebut dan nyata memberi kesan negatif kepada individu pesakit biasanya ialah yang berlemak dan berminyak. Wallahu a’lam.

 

(Dipetik daripada majalah DAKWAH, Ogos 2000)

 

TAJUK

 

 © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD