Koleksi Artikel

 

 

 

 

 

 PENGAMAL VIRTUAL HOMEOPATI MALAYSIA 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

 

 

 

INSOMNIA & RAWATAN HOMEOPATI

Oleh:

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

Allah s.w.t menjadikan malam untuk tidur dan siang untuk bekerja. Setiap manusia perlu bekerja untuk mencari nafkah dan kehidupan. Tetapi mereka juga perlukan masa untuk berlepas lelah, rehat dan tidur. Tujuannya ialah supaya esoknya dia kembali segar dan bersedia menghadapi cabaran dan tanggungjawab. Demikian di antara intisari pengajaran al-Qur’an surah an-Naba’, ayat 9 hingga 11.

Justeru, amalan atau tabiat ini merupakan satu sifat semula jadi manusia. Yakni tidur sebenarnya melambangkan kesihatan seseorang, di mana mental dan fizikalnya dapat berehat. Tidak cukup tidur boleh memudaratkan individu. Seseorang itu mungkin akan mengantuk di siang hari dan tidak dapat memberi tumpuan kepada kerja. Ini akan memberi kesan kepada hasil kerja dan mungkin menyebabkan kecuaian serta kemalangan. Keadaan kesihatan juga semakin terhakis.

Demikian juga halnya apabila seseorang itu tidak dapat tidur. Keadaan tidak dapat tidur dengan sempurna atau masalah gangguan tidur diistilahkan sebagai “insomnia”. Masalah ini dianggap sebagai satu gangguan kesihatan yang dialami oleh sejumlah orang. Ia sudah tentu meninggalkan kesan buruk sekiranya berlaku secara berterusan.

Di dalam perubatan moden, kecanggihan peralatannya membantu para doktor mengenalpasti samada seseorang itu boleh tidur atau tidak. Umpamanya, sejenis alat yang dikenali sebagai EEG (electroencephalography) boleh merakamkan tahap-tahap perubahan dalam proses tidur dan seterusnya membuat diagnosis. Bahkan di negara Barat, terdapat makmal khas yang disebut sebagai makmal tidur (sleep laboratory).

Di dalam perubatan homeopati, diagnosisnya berbeza dengan kaedah perubatan moden. Perubatan moden lebih percaya kepada peralatan serta pengujian, dan hasil pemeriksaannya sahaja yang dianggap objektif. Sedangkan homeopati tidak memerlukan kepada bantuan alat seperti EEG. Malah maklumat pesakit yang dianggap subjektif oleh para doktor alopati merupakan informasi bermakna di dalam rawatan homeopati.

Pesakit yang menghadapi masalah insomnia boleh merujuk kepada homeopati dan meluahkan sebanyak mana maklumat berkaitan dengan tidur dan kemungkinan sebab musabab dia tidak dapat tidur. Samada gangguan itu berpunca daripada faktor luaran, dalaman, psikologi atau perubatan, semuanya akan dikutip sebagai sebahagian daripada maklumat bagi mendapatkan gambaran keseluruhan simptom.

                   Terdapat pelbagai penawar homeopati yang akan dipilih berdasarkan maklumat lengkap pesakit. Antaranya ialah Aconite, Belladonna, Calcarea carbonica, Ignatia dan Phosphorus, yang mana kesemuanya diberi dalam bentuk potensi. Dalam sesi rawatan, biasanya maklumat yang paling utama diberi tumpuan ialah terhadap simptom mental.

          Kadangkala sesi rawatan itu tidak memerlukan masa yang panjang bagi mengecam masalah dan penawar yang seraksi. Bagi pesakit yang datang dengan membawa simptom gelisah dan takut-takut, ada masanya sembuh dengan penawar akut yang dikenali sebagi Aconite sahaja. Demikian juga ada pesakit yang mengalami gangguan tidur kerana tersangat letih akibat kerja-kerja berat yang dilakukan pada sebelah siangnya. Untuk masalah seperti ini penawar seperti Arnica mungkin sudah cukup bagi melegakan gangguan tersebut.

          Preskripsi yang seumpamanya boleh diberikan apabila maklumat dapat dikumpulkan secara mudah.  Sebab ada pesakit yang tidak dapat tidur kerana terlalu gembira atau terlalu kenyang. Ada pula yang mendapat gangguan apabila ditimpa kesedihan, kerana hidung tersumbat atau takutkan petir. Sebahagiannya mungkin mengalami keadaan di mana jantungnya sentiasa berdebar dan kerana itu langsung tidak dapat tidur. Bagaimanapun, kesemua maklumat itu diperoleh dan dirumuskan hanya selepas melalui sesi konsultasi.

          Di dalam situasi-situasi yang rumit pula, cerita-cerita yang bersifat subjektif pesakit perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya bagi mendapatkan kunci simptom dan kesembuhan. Umpamanya, kita dapat saksikan ada pesakit mengadu mengalami rasa terlampau panas yang luar biasa dan bermimpi perkara-perkara yang menakutkan. Sehingan, kadang-kadang mimpi itupun perlu dianalisis. Ada juga segolongan  pesakit yang kerap terjaga di waktu ayam berkokok dan selepas itu tidak dapat tidur lagi. Dari kalangan kanak-kanak, ada yang tidak dapat tidur sebelah malam, menjerit-jerit semasa tidur dan dahi dipenuhi peluh.

          Pengamal homeopati yang cekap dan berwibawa selalunya bersikap peka dan teliti. Mereka sedar ada sebahagian pesakit datang dalam sesi konsultasi dengan membawa penjelasan yang singkat dan dapat dirumus secara mudah. Sebaliknya terdapat keadaan di mana di sepanjang sesi konsultasi itu hanya pesakitnya sahaja yang bercakap, sehingga pengamal sendiri mempunyai amat sedikit peluang untuk mencelah. Dalam keadaan tersebut, pengamal tidak boleh dengan mudah menyimpulkan masalah tersebut sebagai insomnia dan terus memberi penawarnya. Rawatan yang sedemikian tidak menjadikan kaedah itu kaedah rawatan homeopati.

          Pengamal homeopati yang baik adalah mereka yang sabar dan mengetahui dengan terperinci simptom-simptom penawar di dalam materia medika. Dalam rekod homeopati terkumpul pelbagai gelagat dan maklumat pesakit yang berkaitan dengan gangguan tidur yang dialami. Maklumat ini bukannya dikumpul secara sia-sia dan tanpa tujuan, tetapi sebaliknya ia mempunyai nilai terapeutik yang tersendiri. Ia direkodkan kerana terdapatnya penawar seperti Belladonna, Calcarea carbonica, Coffea, Ignatia, Nux vomica, Phosphorus, Kali carbonica, Sambucus, Opium, Spigelia, Avena Sativa dan Gelsemium.

          Dengan begitu banyak remedi yang boleh dipilih di dalam sistem perubatan homeopati, tidak seharusnya pesakit insomnia mudah tersasar dan mengambil jalan cepat dengan cara bergantung kepada ubat tidur. Perubatan moden sememangnya mengakui kesan-kesan negatif daripada penggunaan ubat tidur, dan preskripsi para doktorpun dibuat sebagai jalan akhir. Kesedaran serupa ini harus wujud bukan hanya di kalangan doktor atau pengamal perubatan, malah pesakit sendiri.

          Sebagai satu alternatif dan pelengkap kepada satu sistem perubatan yang tidak dapat menyelesaikan kesemua masalah insan, homeopati menawarkan khidmatnya untuk kemaslahatan diri dan masyarakat. Insomnia adalah salah satu masalah yang mungkin homeopati dapat memberikan sumbangannya. WaLlahu ‘alam.

 

(dipetik daripada majalah DAKWAH, Julai 2000)

 

TAJUK

 

 © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD