Koleksi Artikel

 

 

 

 

 

 PENGAMAL VIRTUAL HOMEOPATI MALAYSIA 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

 

 

 

MEMARTABATKAN PENDIDIKAN PERUBATAN ALTERNATIF DI MALAYSIA

Oleh:

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

 

Salah satu bidang ilmu di mana institusi pendidikan di negara kita alpa dan abai ialah bidang perubatan alternatif. Di dunia Barat ilmu ini diberi tempat yang bersesuaian serta terdapat institusi pendidikan yang membuka fakulti bagi tujuan memperkembangkan ilmu dan kajian berkaitan dengan ubat-ubatan yang digunakan di dalam sistem rawatan alternatif tersebut. Kini sebutan perubatan alternatif juga lebih cenderung disebut sebagai sistem perubatan komplementari agar ia mendapat reaksi positif masyarakat di samping membantu menutupi ruang-ruang kegagalan dalam pelaksanaan perubatan konvensional.  

Di beberapa negara Timur seperti India dan China, ilmu perubatan tradisional terus dibangunkan dengan lebih giat. Bukan ilmu perubatan yang berasal daripada masyarakat setempat sahaja yang dimajukan, tetapi turut mendapat tempat ialah  ilmu-ilmu perubatan asing yang boleh menyumbangkan kepada kesihatan sejagat. Kerana itu di samping Ayurveda dan akupunktur, beberapa sistem lain khususnya homeopati diperkembangkan oleh individu, institusi dan pihak kerajaan.

Sehingga kini India dan Pakistan menjadi tempat biaknya perubatan homeopati dengan wujudnya kilang-kilang ubat, farmasi-farmasi, klinik-klinik, hospital-hospital dan institusi-institusi pendidikan (universiti & kolej) paling banyak berbanding dengan negara-negara lain. Sungguhpun homeopati berasal daripada German dan perkembangan ketara berlaku di England dan Amerika Syarikat, namun nampaknya India menjadi tempat paling subur dan paling mendapat tumpuan masyarakat.

            Di antara sebab yang mengizinkan perkembangan ilmu dan amalan perubatan tersebut ialah kerana kebebasan dan dokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak. Di dalam hal ini, sudah tentu pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam memberi endorsement terhadap praktik dan perakuannya. Bahkan tokoh besar dan negarawan India  Mohandas K. Ghandi pernah menegaskan, “Homeopati merupakan kaedah terkini dan bersih dalam merawat pesakit baik dari segi ekonomi maupun ketiadaan amalan kekasaran. Kerajaan mesti menggalakkan dan menaunginya dalam negara kita…….”

            Pada waktu ini kementerian kesihatan Malaysia amat terbuka terhadap usaha ke arah memajukan perubatan alternatif sama ada yang bersifat tradisional atau mempunyai nilai-nilai saintifik yang tersendiri. Akupunktur dan homeopati telah mendapat perhatian yang agak serius kerana keduanya mempunyai asas dan sistem ilmu yang mantap tetapi usaha memartabat dan memajukannya memakan masa terlalu lama.

            Dalam suasana kerajaan yang diwakili kementerian kesihatan dan kementerian penerangan melakukan sesuatu yang baik bagi tujuan memperkenal dan menghebahkan ilmu perubatan alternatif kepada masyarakat, institusi pendidikan di Malaysia tidak melihat perkembangan itu sebagai peluang untuk memperkembangkan sayapnya. Institusi pendidikan di Malaysia sekadar meneruskan  tumpuannya kepada melanjutkan tradisi keilmuan lama dan membicarakan mengenai bidang-bidang sedia ada. Justeru, masyarakat tidak perlu terperanjat sekiranya mereka mendapati perpustakaan universiti-universiti dan kolej-kolej di Malaysia tidak mempunyai walau sepuluh buah buku-buku rujukan berkaitan ilmu berkenaan meskipun buku-buku seperti itu boleh didapati sebanyak ratusan malah mungkin ribuan buah di institusi-institusi pendidikan di luar negara.

            Tiadanya keprihatinan dan minat institusi pendidikan tempatan ke arah usaha memajukan ilmu-ilmu ini bukan suatu hal yang pelik. Jika tidak, bagaimana mungkin institusi-institusi pengajian tinggi yang tegak begitu lama boleh dikalahkan oleh universiti-universiti yang baru tumbuh dalam perkembangan ilmu teknologi maklumat (IT)? Tetapi kesan sikap para intelek yang gah dengan tradisi keilmuannya sahaja tidak membantu ke arah perkembangan ilmu-ilmu secara menyeluruh dan adil.

            Demikianlah halnya dengan ilmu-ilmu perubatan alternatif. Ia menjadi terpencil dan dipencilkan dalam arena pendidikan tanah air. Para pelajar yang mengikuti bidang-bidang tradisional seperti sosiologi, antropologi, sejarah dan sains sosial membuat kajian di dalam bidang berkenaan hanya sekadar meraba pada peringkat permukaan dan sekadar memenuhi latihan akademik. Fakulti perubatan tentulah tidak dapat membantu kerana pertentangan teori dan prinsip, lebih-lebih lagi perubatan alternatif merupakan saingan sejak berzaman.

            Sehingga berakhirnya alaf kedua Masehi, tugas pengajaran dan pengembangan ilmu perubatan alternatif berlalu dalam suatu sistem pondok. Ia dilaksanakan oleh individu-individu, pusat-pusat rawatan dan persatuan-persatuan secara bersendirian. Sijil-sijil dan diploma umumnya dikeluarkan oleh pihak persatuan sahaja. Sementara sebahagian sijil dan diploma yang dikeluarkan oleh sebuah persatuan perubatan mungkin tidak diiktiraf oleh persatuan perubatan yang lain. Kekacauan ini masih berlaku dan tiada usaha yang cukup keras bagi menangani masalah ini.

            Selain daripada pihak kementerian kesihatan yang cuba berjinak-jinak dan membantu menyelesaikan masalah persatuan-persatuan perubatan alternatif yang gagal berdiri di bawah satu payung itu melalui sesi-sesi pertemuan dan perbincangan, institusi pendidikan gergasi yang ada tidak pernah membuka mindanya yang kritis untuk memikirkan tentang dunia ilmu yang menjadi tarikan orang Barat hari ini. Paling akhir kita mendapat khabar, Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam menawarkan kursus Diploma Homeopati untuk sesi pengajian tahun 2000. Suatu kemajuan yang amat bermakna tetapi tidak mencukupi.

            Dalam masa yang sama pelanggan yang sakit tetap ada dan mengunjungi pusat-pusat rawatan alternatif dengan seribu harapan. Mereka tidak bertanya di mana ahli-ahli perubatan itu berguru atau institusi mana yang mengeluarkan sijil pengamal. Demikian juga mereka yang sakit bukan mengenepikan perubatan moden dan mendahulukan perubatan tradisional @ alternatif. Dalam banyak kes, pesakit mengunjungi tempat berkenaan kerana mereka didiagnoskan tiada penyakit, penyakitnya tidak dapat disembuhkan, penyakit yang disembuhkan oleh doktor berulang kembali atau sememangnya tiada ubat konvensional yang mujarab pada waktu ini.

            Kes di mana sebuah pusat perubatan homeopati di Melaka yang mendakwa dapat mengubat penyakit AIDS dengan bayaran di antara RM3,000 hingga RM13,000  seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada awal Julai 2000 lalu adalah satu daripada kesan membiarkan pendidikan ilmu ini berkembang secara sendirian dan kelulusan diploma diberi tanpa kawalan. Tanpa bukti yang nyatapun iklan boleh dibuat secara besar-besaran. Tetapi implikasi yang jelas ialah bukan sahaja tindakan pusat rawatan itu telah mengeksploitasi pengguna dan memperkecilkan peranan kementerian kesihatan, malahan merosakkan imej perubatan homeopati itu sendiri.

            Kendatipun, kes di atas hanyalah sebahagian daripada kecelaruan yang timbul dalam penyalahgunaan amalan perubatan homeopati (homoeopathic practice abuse). Adalah dipercayai seandainya pengajaran bilik darjah dapat dikemaskinikan dan latihan yang mencukupi diberikan nescaya penyalahgunaan amalan homeopati dan peristiwa yang tidak diingini oleh masyarakat dapat dielak atau dikurangkan. Ini sudah pasti bermakna corak pendidikan perubatan alternatif umumnya dan perubatan homeopati khususnya harus mengharungi suatu reformasi yang besar.

            Dalam hal ini, institusi pendidikan awam atau swasta sedia ada patut memikirkan mengenai kemungkinan membuka suatu fakulti atau jabatan khusus berkaitan perubatan alternatif. Kerajaan yang selama ini banyak membantu dan mengawasi dari jauh juga mungkin boleh memainkan peranan yang lebih besar dengan menghantar bakal-bakal pensyarah untuk mengikuti kursus profesional ke arah mendalami ilmu berkenaan dan menjalani latihan yang mencukupi.

            Apabila ilmu perubatan alternatif seperti homeopati, akupuntur, naturopati, iridologi, refleksologi dan sebagainya berjaya dimartabatkan dan diberi kualiti yang setara di menara gading, soal pengambilan pelajar boleh diselesaikan menurut cara yang sama seperti yang diamalkan di kesemua fakulti lain. Ini akan menyelesaikan urusan pengambilan pelajar yang wewenang seperti yang berlaku hari ini justeru objektif individu dan persatuan yang ingin mencapai matlamat ekonomi dan keegoan.

            Saya percaya kementerian pendidikan dan kesihatan akan memberi respons positif dan menyokong penuh terhadap sebarang usaha ke arah mendaulatkan ilmu perubatan alternatif di persada pendidikan tanah air. Untuk memulakan langkah ke arah mencapai tujuan itu, mungkin jalinan kerjasama harus dibuat dari sekarang. Bahkan ia seharusnya turut menjadi agenda dalam pengisian globalisasi ilmu dan pemikiran.

            Apabila ada usaha penaikan taraf ilmu berkenaan, mungkin kita akan berjaya menangani atau mengurangi perkembangan ajaran dan amalan salah daripada berleluasa. Secara tidak langsung buku-buku yang berkaitan dengan ilmu berkenaan dalam bahasa Melayu juga akan mula bertambah. Minda masyarakat akan lebih terbuka. Sememangnya penantian ke arah cita-cita perluasan ilmu ini agar menjadi suatu realiti sudah terlalu lama. Dan idea murni ini pasti berjaya sekiranya para intelek serta pengamal perubatan bersikap proaktif. Bukankah ini juga merupakan satu lagi pengisian dalam memenuhi anjakan paradigma dunia ilmu dan pemikiran? WaLlahua’lam.

 

(Dakwah, Oktober 2000;

artikel asal Institusi Pendidikan: Tidak Prihatin)

 

TAJUK

 

 © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD